Daripada Diri Kamu Sendiri.

~Nabi dalam tulisan ini bermaksud Nabi Muhammad s.a.w. Jadi, setiap kali terjumpa perkataan Nabi, berselawatlah keatas baginda~


Dan mengapa kamu (hairan) ketika ditimpa musibah (kekalahan pada perang Uhud), padahal kamu telah menimpakan musibah dua kali ganda (kepada musuh-musuhmu pada perang Badar) kamu berkata, "Dari mana datangnya (kekalahan) ini?" katakanlah, "Itu daripada (kesalahan) dirimu sendiri." Sungguh, Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
(al-Quran, Ali Imran 3: 165)

Terjemahan ayat al-Quran di atas menceritakan kepada kita bagaimana umat Islam telah mengalami kekalahan setelah mereka berjaya menewaskan kaum Quraysh dalam peperangan Badar setahun sebelum itu. Apabila mereka telah ditimpa kekalahan, mereka tertanya-tanya, mengapa mereka kalah, padahal mereka pernah menang, bahkan pada pusingan pertama, mereka telahpun menang.

Maka, dalam ayat di atas, Allah telah menjawab persoalan mereka dengan menyatakan bahawa kekalahan itu adalah disebabkan oleh mereka sendiri. Mereka sebenarnya telahpun memenangi peperangan Uhud pada awalnya, namun, akibat daripada sebahagian daripada mereka yang ditempatkan di atas bukit Uhud melanggar perintah Nabi, mereka akhirnya diserang kembali dari belakang oleh pasukan Quraysh yang diketuai oleh Khalid bin al-Walid yang pada ketika itu masih belum memeluk Islam.

Merekapun mengalami sedikit kucar kacir. Jelas, semuanya disebabkan oleh mereka sendiri.

Persoalannya, mengapa Allah tidak membantu mereka, padahal mereka umat Islam yang teguh imannya, terdiri daripada Nabi dan para Sahabatnya. Mengapa Allah 'membiarkan' mereka kucar kacir dalam peperangan Uhud tersebut? Mengapa?

Hal ini demikian kerana (ayat spm), Allah telah menetapkan bahawa semua perkara yang terjadi di dunia ini adalah mengikut sunnah-Nya, sunnatullah, lumrah alam, ada sebab dan akibatnya. Maksudnya? Sebab kepada kejayaan adalah usaha yang bersungguh-sungguh. Kegagalan adalah disebabkan malas, perancangan yang tidak teratur, tidak mengikut arahan, strategi yang salah dan sebagainya.

Begitulah yang terjadi kepada Muslimin di medan Uhud. Mereka kucar kacir kerana mereka tidak mengikut arahan Nabi. Jadi, sunnatullahnya, sesiapa yang melanggar arahan, tidak mengikut strategi, mereka akan dikalahkan oleh orang yang pandai mengatur strategi dan tetap mengikuti strategi yang diatur.

Faham setakat itu?

Ok, seterusnya, hari ini kita melihat umat Islam ditindas. Dihina. Dilabel sebagai pengganas. Mundur. Ekstrim. Teruk lagi, miskin. Comot. Dan sebagainya. Dan lain-lain. Islam di Malaysia dihina, diperlekehkan, dicabar, dan dalam setengah-setengah keadaan diperkotak-katikkan.

Persoalan yang timbul dalam benak kita, mengapa semua ini harus berlaku (macam lirik lagu plak)...? Biar kita jawab sama-sama, semua ini berlaku kerana kita sendiri - sikap kita, sifat kita, akhlak kita, jiwa kita, hati kita, perangai kita, usaha kita dan sebagainya.

Kenapa? Bukankah kita Islam? Bukankah kita membawa agama Allah, penganut Agama Allah?

Hal ini demikian kerana (sekali lagi, ayat spm), kita juga tidak terlepas daripada sunnatullah, lumrah alam. Hari ini kita dapat lihat (sesetengah - ramai) umat Islam yang lalai, leka, malas, suka berhibur, malas belajar, tak boleh dikritik, suka meletupkan hotel, dan lain-lain. Kenapa umat Islam mundur? Kerana mereka malas, tak kreatif, tak proaktif. Kenapa umat Islam tak boleh membela saudaranya yang tertindas di Palestin misalnya? Kerana mereka bergaduh sesama sendiri. Dan senarainya akan bertambah, bertambah, bertambah, meleret.

Pokok persoalannya, setiap apa yang berlaku itu ada sebab dan musababnya. Dan sunnah Allah tidak akan berubah. Matahari tidak akan terbit dari barat, kecuali bila nak berlaku kiamat.

(Demikianlah) hukum Allah yang telah berlaku sejak dahulu, kamu sekali-kali tidak akan menemukan perubahan pada hukum Allah itu.
(al-Quran, al-Fath 48: 23)

Sebab sembuh bagi orang sakit demam adalah berubat. Kalau nak kaya, tapi kerjanya hanya bersusun cawan di kedai kopi, sampai kiamat lah...

Kemudian, kalaulah hamba tertanya-tanya mengapa hamba dibenci orang, maka hamba harus menyedari bahawa itu juga adalah datang daripada diri hamba sendiri, sebab hamba sendiri. Perangai hambalah yang menyebabkan hamba dibenci orang, kerana, lumrahnya, setiap orang membenci orang yang berperangai buruk dan teruk.

Kan?

(Xyahla blagak cam ustaz klu prangai teruk.)

No comments: