Showing posts with label Ajim menulis cerpen. Show all posts
Showing posts with label Ajim menulis cerpen. Show all posts

Bisik pada hati

Aki, Aki tak tahukah, Mija sangat sayangkan Aki? Mija sangat sayangkan Aki. Dia tahu, Aki tidak mendengar suara hatinya. Aki tidak ada dekat dengannya. Dan kalau Aki ada dekatpun, Aki tak akan dengar, sebab dia hanya berbicara dengan hatinya. Telinganya sendiripun tidak dapat mendengar. Hanya dia sendiri – dengan hatinya juga – yang mampu mendengar suara hatinya.

Aki, dengarlah, Mija sangat sayangkan Aki. Terbayang wajah Aki di tubir matanya. Aki, Akilah cinta pertama Mija. Akilah yang mengajar Mija tentang cinta. Akilah yang mengajar Mija makna rindu. Aki, Mija rindu akan Aki. Aki tak tahukah?

Kenapa Aki dah tak mahu menyambut cinta Mija? Apa kurangnya Mija?

Aki, Mija tahu, Mija tak sempurna. Mija pernah buat salah. Memang Mija akui, Mija dah buat kesilapan yang terbesar dalam hidup Mija. Tapi, Mija tak bermaksud untuk menjauhkan diri daripada Aki waktu itu. Setiap hari Mija fikirkan tentang Aki. Setiap hari Mija rindu akan Aki. Akilah satu-satunya lelaki dalam hidup Mija. Aki tak tahukah?

Aki, dalam surat Aki (surat yang terakhir untuk Mija), Aki cakap, Aki akan sayang Mija sampai bila-bila. Aki cakap Mijalah satu-satunya cinta Aki. Tetapi, kenapa akhirnya Aki tinggalkan Mija? Kenapa cinta Aki terhadap Mija pudar dan hilang?

Mija tahu, semua tu salah Mija. Tapi, Mija tak pernah berniat nak buat macam tu. Dulu Mija memang jahil tentang cinta. Mija jahil tentang perasaan lelaki. Mija tak faham perasaan Aki. Aki, maafkan Mija. Terimalah Mija lagi. Aki, Mija merayu pada Aki, terimalah Mija lagi. Mija sayang sangat-sangat akan Aki.

Dia memandang siling. Hitam dan kelam dalam pekat malam. Namun, serasa ada wajah Aki di situ, di siling yang menghitam. Lampu telah lama dipadamkan, namun matanya masih belum juga berat untuk tertutup. Dipaksakannya juga menutup matanya, namun akhirnya pedih sendiri. Dia membuka matanya lagi, dan di mana-manapun, ada wajah kekasih hatinya, ada wajah Aki.

Dia menarik selimut, menutup badannya. Kipas yang tergantung di siling berputar agak laju juga. Aki, terimalah Mija lagi. Mija cinta akan Aki. Cinta Mija akan Aki tak pernah berkurang, malah bertambah dari hari ke hari.

Dia mengiring, mencapai telefon bimbitnya yang berada di sisi. Ditekannya punat-punat di pad kekunci telefon bimbit itu, menaip satu mesej, ‘Selamat malam Aki. Mimpi indah.’ Dia kemudiannya memasukkan nombor telefon Aki, kemudian menekan butang send. Dia meletakkan kembali telefon itu ke sisinya, di bawah bantal. Pandangannya dihalakan lagi ke siling. Pandangannya itu serasa menembus, terus ke langit yang kelam, mencapai bintang-bintang. Dia tahu, Aki tidak akan membalas mesejnya. Tak mengapalah, dapat menghantar mesejpun sudah cukup bahagia dia rasa.

Aki, datanglah dekat Mija. Terimalah Mija lagi.

Aki, Mija tahu, Mija tak layak untuk Aki. Tetapi hati Mija ini tak pernah berhenti untuk mengharap pada Aki. Hati Mija hanya untuk Aki. Hati Mija hanya mengharapkan Aki. Mija sendiri tidak tahu mengapa. Cinta Mija sangat kuat terhadap Aki.

Mija ingat lagi, semasa kita berjumpa dahulu, Mija pakai selekeh sahaja. Mija tak cantik. Aki hensem. Mesti Aki malukan jalan-jalan dengan Mija. Tetapi Mija sayangkan Aki. Mija ingat juga, masa itu, Mija makan nasi di medan selera, Aki tak nak makan. Aki teman dan tengok sahaja Mija makan. Bila Aki pula makan di McD, Mija pula tak mahu makan. Mija tak pandai nak makan McD. Mija gadis kampung sahaja. Tentu Aki malukan ada awek macam Mija.

Lepas tu, bila Aki nak shopping, Mija tak teman. Mija suruh Aki pergi sendiri, Mija hanya duduk dan tunggu sahaja di bangku di tingkat bawah dalam Mall itu. Mija bukan sengaja tak nak teman Aki, tapi Mija tak larat. Mijakan datang dari jauh nak jumpa Aki. Mija tak tidur semalaman. Tak mengapalah, semua tu kan dah lepas.

Bila nak tengok wayang, Mija tak pandai nak beli tiket. Mija biar sahaja Aki beli tiket sorang-sorang. Memang Mija gadis kampung, tak pernahpun masuk panggung. Lainlah Aki, orang bandar. Biasa tengok wayang, main bowling, shopping, makan KFC, McD; dunia Aki luas. Mija tak tahu semua tu.

Tapi Aki, itu dulu. Aki, sekarang Mija sudah berubah. Mija sudah sedar. Mija sudah tahu, Mija tak boleh biarkan Aki sorang-sorang. Dulu, Mija tak mesej Aki, sebab Mija takut ganggu Aki nak belajar, Aki nak menduduki peperiksaan akhir. Mija takut Aki tak lulus. Tapi, sekarang, Mija sudah tahu, Aki perlukan teman untuk Aki belajar, atau buat apa sahaja. Aki, Mija janji, Mija akan sentiasa menemani Aki, tak akan berjauhan dengan Aki lagi. Terimalah Mija lagi.

Aki tahu tak, Mija selalu nak Aki ada dekat dengan Mija. Kenapa Aki tinggalkan Mija sorang-sorang? Aki cakap dalam surat Aki, walau macam mana marah sekalipun Aki kat Mija, Aki akan tetap sayang Mija. Kenapa Aki tinggalkan Mija?

Aki, remuknya hati Mija, hanya Tuhan yang tahu. Betapa, bila rindukan Aki, Mija tak tahu macam mana nak rasa – sakit, rindu, sayang, sedih, kecewa, cinta – semuanya meghiris-hiris dada Mija. Aki, terimalah Mija lagi. Mija pohon dengan tulus, terimalah cinta Mija untuk Aki.

Aki, Mija tahu, memang Mija tak romantik. Mija tak pandai nak layan Aki. Mija selalu menyakitkan hati Aki. Mija selalu buat Aki marah. Tapi bila Mija tanya, Aki marahkah, Aki selalu jawab, tak, cuma geram. Aki, mana Mija tahu, bila lelaki cakap geram, maksudnya marah. Mijakan tak pernah ada kawan lelaki sebelum Aki. Akilah lelaki pertama yang Mija berkawan, kemudian terus jatuh cinta. Mija dahulukan sekolah perempuan sahaja. Mija tak faham perasaan lelaki. Maafkan Mija bila waktu itu, Mija tak pandai layan Aki.

Aki, terimalah Mija lagi. Mija janji, kalau Aki terima Mija lagi, Mija akan jaga perasaan Aki dengan sebaiknya, Mija tak akan buat Aki marah Mija lagi, Mija tak akan buat Aki geram lagi. Mija janji akan layan Aki dengan baik.

Aki, berilah satu peluang untuk Mija ambil berat tentang Aki lagi. Berilah peluang untuk Mija menyayangi Aki lagi. Berilah satu peluang untuk Mija memenangi hati Aki lagi. Mija merayu pada Aki. Mija sangat sayangkan Aki. Mija tak boleh lupakan Aki.

Aki, tak pernah sedetikpun Mija lupakan Aki. Tak pernah sekelip matapun, tak pernah sehembus nafaspun Mija melupakan Aki. Aki ada dalam denyut nadi Mija. Aki ada dalam hembus nafas Mija. Mija tak boleh lupakan Aki. Mija tak pernah boleh berjauhan dengan Aki.

Aki, datanglah dekat Mija. Terimalah Mija lagi. Berilah peluang untuk Mija menyimpan hati Aki lagi. Kerana, hanya ada Aki dalam hati Mija. Hanya Aki.Hanya ada Aki dalam hidup Mija. Selamanya.

Terasa Aki hadir mendekat dengannya. Terasa Aki begitu dekat. Terasa Aki mendengar suara hatinya. Terasa Aki memenuhi hatinya, dadanya, jiwanya, fikirannya, memenuhi dirinya. Dan, tanpa dia sedari, ada sejernih air melintasi pipinya.

Aki, datanglah. Mija rindu akan Aki.

Aki, datanglah.

Dan di dalam selimut, dia teresak sendiri.



Oleh
Narma Mizda (nama pena).
-C090211-
KIY, UKM.

Musafir berdosa

oleh
Narma Mizda (nama pena)



“Lesen dengan road tax.”

Dia membuka dompetnya. Membelek-belek, kemudian mengeluarkan lesennya dan road tax yang baru diperbaharuinya sejam yang lalu. Pegawai itu menyambut hulurannya, membelek-belek dan meneliti dua keping – lesen dan road tax – itu.

“Ni P ni, ada P?” pegawai itu bertanya sambil mencari sticker P.

“Ada, ni,” jawabnya bangga sambil menunjukkan ke sticker P yang ditampal. Pegawai itu membelek-belek lagi lesen dan road taxnya.

“Nak gi mana ni?” tanya seorang pegawai lain yang duduk di kerusi di bawah khemah.

“Balik kampus.”

“Kenapa pakai selipar?”

Alamak.

“Masa test dulu pakai apa?”

“Kasut,” jawabnya ragu-ragu.

“Boleh tak pakai selipar?”

“Tak boleh.”

“Dah tu?” Dia memandang ke seliparnya.

“Hmmm, kasut tak ada, tercabut tapak. Hari tu masa balik kena hujan, tercabut tapak.”

“Turun dulu, gi selesai dengan pegawai tu,” arah pegawai yang memegang lesen dan road taxnya.

‘Pulak,’ bisik hatinya. Dia mematikan enjin, membuka topi keledar, menyangkutnya di cermin pandang sisi, turun dari motosikal, pergi ke khemah tempat pegawai itu duduk. Pegawai-pegawai lain sibuk menahan motosikal-motosikal yang lewat, dan memeriksa lesen dan road tax setiap penunggang.

Sebaik sahaja dia mendekati khemah, pegawai yang duduk itu bangun dan meninggalkannya, pergi mendapatkan penunggang lain yang baru tiba. Pegawai yang memegang lesen dan road tax motosikalnya datang mendekat.

“Duduk dulu,” pegawai itu mempelawa. Dia duduk. Tersengih-sengih.

“Awak ni dari segi luaran dah ok, lesen ada, road tax ada, P ada. Tapi dari segi dalaman, awak ada masalah. Awak pakai selipar.”

“Hmmm...”

“Kenapa pakai selipar?”

“Kasut rosak. Hari tu, masa balik kena hujan, tercabut tapak.”

“Awak tahu tak, awak dah melakukan kesalahaan.”

“Tak,” dia mengeleng.

“Saya boleh charge awak tidak memakai alas kaki semasa memandu. Kalau saya buka buku, buku ada kat belakang tu, sekarang ni, operasi raya cina, awak kena bayar dua ratus ringgit, tahu?”

“Ooo..”

“Jadi, macam mana? Awak nak saya tulis dalam buku tu ke, nak runding?”

“Rundinglah.”

“Kalau nak runding, sebelah tanganlah (sambil mengangkat tangan kirinya dan membuka telapak tangannya), ni jabatan ni, bukan macam jabatan lain, dua puluh ringgit, tiga puluh ringgit. Ni jabatan ni, lima puluh ringgit.”

‘Mampus,’ jerit hatinya. Dalam dompetnya hanya ada enam puluh tiga ringgit.

“Maaf cik, saya tak ada duit ni. Saya ada lima puluh ringgit je, nak buat isi minyak.” Dia mengeluarkan dompet, membukanya, dan menunjukkan isi dompetnya kepada pegawai tersebut.

“Itu saya tak tahu. Kalau nak runding, lima puluh ringgit. Kalau tak saya buka bukulah, awak kena dua ratus ringgit. Awak pilihlah.”

“Maaflah cik. Saya tak ada duit ni.”

“Kalau tak ada duit, saya buka bukulah, dua ratus ringgit. Awak pilihlah, jangan kata saya paksa. Awak nak rugi dua ratus ke awak nak runding, bayar lima puluh ringgit. Awak jangan kata saya paksa, saya tak paksa, terpulang kat awaklah. Saya tak paksa.”

“Maaflah cik. Ni first time ni. Saya ada lima puluh je, nak isi minyak.”

“Awak jangan cakap macam tu. Kalau tak ada duit, cakap ‘cik saya tak ada duit, buka bukulah’, saya boleh buka buku, awak kena dua ratus.

Dia diam. Perasaannya berperang sendiri. ‘Suruh sahaja dia tulis, nanti bayarlah dua ratus.’

‘Nanti susah pula. Nanti ada rekod. Duitpun tak ada nak bayar.’

‘Kalau bagi lima puluh sekarang, nak ambil duit di mana pula? Jauh lagi nak sampai. Nak isi minyak dengan apa?’

‘Nanti cucuk la kat ATM di stesen minyak mana-mana.’

‘Nak bagi lima puluh ke nak bayar dua ratus.’

“Cepatlah, orang lain ramai lagi nu. Macam mana? Nak suruh saya tulis ke nak runding? Awak jangan kata saya paksa. Saya tak paksa. Saya bagi awak pilihan. Kalau saya tulis terus, nanti kata tak ada tolak ansur, tak ada runding. Ni saya rundinglah. Awak nak yang mana?”

“Maaflah cik, sekali ni je.”

“Tu saya tak nak dengarlah. Awak belajar lagi?”

“Ha’ah.”

“Ha, awak belajar, awak tahulah kan. Nanti awak keluar, awak nak jadi orang besar juga. Awak pandai lagi daripada saya. Awak dah buat salah ni. Awak pilihlah, nak suruh saya tulis ke, nak runding. Cepatlah, ramai lagi orang lain.”

“Saya tak ada duit ni cik. Maaflah”

“Ni undang-undang, kalau saya buat longgar, nanti lagi ramai yang buat. Awak ni penunggang motosikal, bahaya. Dua tiga hari lepas, dua orang naik motosikal terjun dalam gaung. Ni awak ni, kalau saya tak tegas, masuk gaung jugalah. Kami tak kesah kereta, tengok, mana ada kami tahan kereta, kami tahan motosikal sahaja. Motosikal ni bahaya, sebab tu kena terperinci sikit.”

‘Yelah tu.’

Dia diam lagi.

“Cepatlah.” Pegawai tersebut tidak sabar lagi. ‘Suruh sahaja dia tulis, nanti bayar dua ratus. Apa masalahnya. Bayar sahajalah.’

‘Nanti susah pula.’

“Kalau awak nak, saya tulislah dalam buku kat belakang tu, awak bayar dua ratus.”

“Kalau tulis tu, macam mana?”

“Awak bayarlah dua ratus.”

“Bayar sahaja?”

“Ya, bayar sahaja, tak kena naik mahkamah ke apa, kompaun sahaja.”

‘Oklah, tulis,’ jerit hatinya.

“Hmmm,....



Bersambung...

Ingin mengetahui kesudahan cerita ini? Apakah keputusan yang diambil oleh penunggang motosikal tersebut? Adakah dia memberi lima puluh ringgit, atau menyuruh pegawai tersebut menulis dalam buku? nantikan sambungannya...


-C080211-
KIY, UKM.

Dalam kepekatan malam.

Dia duduk sendiri. Menyepi di beranda.

Angin malam sepoi-sepoi menyapa muka, mengusap rambut-rambutnya yang kian memanjang. Rambutnya itu, menggerbang, tidak terurus, bagai ingin menari-nari bersama angin. Dia masih juga duduk di situ, bertopang dagu, berjuntaian kaki, memandang entah ke mana pula. Ke manalah sangat pandangannya boleh tumpah dalam kegelapan malam yang semakin mencengkam. Tapi dia tetap juga memandang, seolah-olah pandangannya itu tembus, melintasi malam, menguak kelam, pergi jauh melintasi awan, menembusi angkasa, sampai ke langit yang paling tinggi.

Tidak. Pandangannya tembus terus ke tempat kekasih hatinya.

Angin yang datang, lembut dan sejuk. Di tanah, ada yang berbunyi, panjang dan nyaring, entah cengkerik, entah makhluk apa, entah memanggil kekasih, entah berzikir memuji Tuhan. Atau bunyi itu hanyalah sebuah lagi lagu sendu, lagu rindu - fikir hatinya.Dia tidak menghiraukan sangat bunyi itu. Bunyi itu, bunyi yang telah sebati dengannya sejak dia di dalam perut ibu. Biarkan. Biarkan dia berbunyi. Biarkan dia memuji Tuhan. Biarkan dia melagukan cinta. Biarkan. Dia tiada keinginan untuk menikmati bunyi itu, seperti dulu-dulu.

Dulu, dia boleh berlama-lama, juga di beranda itu, mendengar seribu macam bunyi, seribu satu suara. Dan dia selalu tahu, itulah satu-satunya hiburan hatinya, seorang anak desa yang tinggal terasing jauh daripada manusia.

Kini, dia banyak meningkat dewasa. Dan dengan meningkat dewasa itu, hatinya tidak lagi terpaut pada bunyi-bunyi makhluk malam itu.

Angin menyapa lagi, membawa khabar entah dari mana. Bulan di langit malu-malu, baru muncul dari puncak gunung. Gunung yang menghitam dalam pekat malam, tambah menghitam dibawah sinar samar rembulan. Bintang-bintang ada bertaburan, tidak mahu tenggelam dalam cahaya bulan. Bulan tanpa bintang tiada serinya juga - bisik hatinya lagi.

Bulan tidaklah terlalu purnama. Bintangpun tidaklah terlalu bercahaya. Awan juga tidak terlalu berat untuk berarak. Awan ada sedikit-sedikit, nipis bertompok-tompok, hitam di langit. Langit hitam, awan hitam, gunung hitam, semuanya legam. Dan masa depannya juga kelihatan kelam.

Cinta? Cinta entah tergantung di mana. Di awan, di bulan, di angin, di gunung, atau di bintang, dia tidak tahu. Yang pasti, cinta tiada lagi di hatinya.

Biarlah, bisik hatinya.

Angin yang menderu, seolah-olah mengalunkan pula bait-bait sajak Usman Awang, Dari Bintang ke Bintang:

Ketika mata saling menyapa senyum berbunga
Tasik hati mu mencecah jiwaku mesra
Betapa debar dada kurnia alam kasih bertakhta
Kau datang tanpa suara, menjamahku tanpa sabda

Subur laksana ladang petani di lereng gunung
Ranum menguntum dalam wujud rasa maha agung
Mata yang memberi hati ini penuh menanti
Kureguk kasih menghadapi hidup seluruh berani

Kini kulihat kepalamu tersandar di jinjang pelamin
Rambutmu tersanggul terandam mengilau di cahaya lilin
Gemersik kainmu membisikkan bahagia malam pengantin
Melimpah tumpah bahagia dalam tawa teman keliling

Ketika malam kulihat matamu pada bintang
Senyummu melambai di gemilang sinar bulan
Dari bintang ke bintang kunantikan lagumu
Hanya kerdipan dalam bisu suara hatiku bimbang

Jika aku berdiri di muka jendela hati terluka
Bulan sedang mengintai di balik awan kusapa
Angin yang datang dari pelaminmu kutanya
Ia bisa mengabarkan saat adinda sedang bahagia


"Masuklah, dah lewat malam ni," ibunya entah bila tercegat di pintu depan, memanggilnya masuk. Dia menoleh, merenung ibunya yang separuh baya, kemudian menarik nafas dalam-dalam. Nafas itu kemudiannya dilepaskan lemah pula, perlahan, putus asa.

"Emak tidurlah dulu."

"Buat apa ni kat sini sorang-sorang, malam-malam macam ni?" emaknya tiba-tiba melangkah turun juga ke beranda, melabuhkan punggung di sisinya.

"Tengok bulan, mak. Tapi tak nampak sangatpun. Bulan baru nak naik." Dia bangun, terasa emaknya mengganggu pula.

"Duduklah, mak pun nak tengok juga." Dia duduk kembali.

"Rindu akan siapa ni, malam-malam tengok bulan, tunggu bulan?"

"Alah mak ni...ke situ pula." Angin bertiup sedikit kencang. Dan bunyi makhluk entah alunan apa itu semakin meninggi. Malam juga semakin larut. Bulan makin meninggi. Dan hatinya semakin sunyi.

"Eh, ko da siap ke asaimen?"
"Nape plak?"
"Ni, seronok je dok tulis blog..."
"Hahahaha....aku kan nak jadi sasterawan."
"Sasterawan atas dahi ko...asaimen tak siap-siap agi."
"Baiklah. Jom tidur."

Bersambung...kihkihkih...jangan mara aa...


eh, sambung-sambung..

Dia menyepi. Dia hanya memandang dikejauhan. Emaknya seolah-olah tidak wujud pula.

Diam seribu bahasa. Yang ada cuma suara nyaring bersahut-sahutan, tingkah meningkah. Akhirnya emaknya bangun sendiri, menggosok-gosok bahunya, kemudian menoleh, dan meninggalkannya lagi, sendirian di beranda itu. Dia menoleh, menghantar emaknya masuk dan menghilang ke dalam rumah pusaka itu dengan pandangan matanya yang kosong.

Dari kejauhan, bunyi ayam jantan berkokok sambung menyambung. 'Tak tidur lagikah ayam ni?' soalnya sendiri. Namun bunyi ayam itu tidak juga mampu mengubat kesunyian dan kekosongan jiwanya.

Dia tetap diam di situ. Dan untuk menghibur hatinya sendiri, dia akhirnya menyanyi-nyanyi, lagu yang dia dengar sejak masih di sekolah rendah lagi. Dia menyanyi, menjiwai lagu itu, lagu Ku di halaman rindu - Lefthanded.

Di tengah kepekatan malam
Berdiri aku di halaman rindu
Di hembus kenangan lalu
Menjelmalah seraut wajah
Sekuntum bunga yang pernah ku puja
Tapi layu akhirnya

Ingin ku tembus tembok silam
Dan membaiki kesilapan kita
Yang tiada kita rasa
Dahulu maaf tak bererti
Darah muda menguasai diri
Gitu mudah membenci


Ku di halaman rindu
Hanya berteman bunga yang layu
Ku di halaman rindu
Tiada harum tiada madu



Oh kesalku membeku di kalbu
Oh sayangku penawar rinduku
Oh kasihku hanyalah untukmu
Oh sayang hanyalah untukmu

Hahaha...Daaaaaaaa...

"Nantilah, aku buatkan cerpen yang proper...aku kan Malaysian National Laureate to be"






Parut di dagu.

Parut di dagu itu masih ada di situ, seperti dulu-dulu juga. Parut di dagu itu masih ada ketika aku menatap wajahnya lagi. Dan parut di dagu itu akan terus ada di kenanganku, mungkin untuk sejuta tahun lagi.

Senyumnya tetap menawan, seperti selalu, walaupun kali itu, dia sudah tidak banyak tersenyum lagi.

Dan seperti dulu-dulu juga, bila aku tanyakan tentang kesihatannya, dia menjawab dengan nada yang itu juga, “siiihaaattt…”, nada yang tak mungkin akan aku lupa untuk selamanya. Perkataan itu selalu ada di kuping telingaku, terngiang-ngiang dan masih terasa kesegarannya. Betapa, aku merinduinya dalam segenap cara, dalam semua aspek tentang dirinya.

Wajahnya yang itu, terkadang bercermin mata, terkadang tidak, selalu sahaja hadir dalam mimpi-mimpiku, dengan hidung itu, dengan mata itu, dengan bibir itu, dengan senyuman itu; yang aku kira, suatu masa dahulu, semua itu milik aku.

Aku ingin berlama-lama dengannya. Berdiri tanpa senyumpun tak mengapa. Separuh abad terasa terlalu singkat pula. Aku ingin memandang dan menikmati parut di dagu itu sedalam-dalamnya, seolah-olah di situlah segala kasihku tumpah. Aku ingin masa berhenti untukku, sehingga aku boleh bersama-sama dengannya dalam keabadian. Kalau boleh, akan ku berlari mengejar masa, sehingga saat bahagiaku berdiri di hadapannya tidak akan pernah luput, dan saat untuk dia pergi lagi tidak akan pernah datang menjemput. Namun seperti datangnya, dia akhirnya pergi juga, meluncur laju menghilang dengan Grand Livina putihnya.

‘Dia sudah berjaya,’ getus hatiku. Aku sahaja yang masih di mana-mana. Aku lepaskan juga dia pergi, meninggalkan aku tercegat berdiri, dengan segala berat hati, dengan segala rasa di dalam dada, memerhati Grand Livina itu sehingga luput di mata. Siapalah aku untuk menahannya pula. Aku lepaskan dia pergi, kerana aku tahu bahawa hanya jasadnya sahaja yang hilang daripada pandangan, sedang parut di dagu, sudah aku ambil dan simpan.

Dia tiada di mataku, – mungkin sahaja – kerana kami terpisah beribu batu; namun tak pernah pula hilang dari hatiku. Dan aku tidak pernah tega melepaskannya keluar, melepaskannya pergi, kerana, setiap saat, ada sahaja suara hati yang berkata bahawa dialah segalanya untukku. Dialah segalanya untukku.

Dan aku ingin menatapnya lagi.

Lebih daripada itu, aku ingin memilikinya lagi. Aku ingin meminjamnya lagi daripada Tuhan, dan kali ini, pasti akanku jaga dengan lebih baik lagi. Aku ingin meminjamnya lagi, dan aku ingin bersama-sama dengannya sampai ke syurga.

Cinta bukan bererti memiliki. Cinta bukanlah menerima; cinta adalah memberi. Akan ku hamparkan lagi cintaku yang setia.

Dan, seperti setiap saat yang telah berlalu, aku merinduinya dalam segenap rasa. Bila lagi kita akan bersua? Adakah suatu waktu untuk kita bersama?

Di udara, lagu Untukmu Kekasih, nyanyian Ebiet G. Ade terbang entah ke mana-mana:

Ingin berjalan berdua denganmu kekasih,
Lewati malam setelah usai rinai gerimis,
Lelawa jadi luruh dengan rumput biru,
Jemari tangan kita lekat jadi satu,
Pipimu memerah, hasratku merekah,
Kenapakah waktu tertinggal jauh...

                --xxx--

Malam, suntingkan rembulan untukku,
Agar cinta tak berpaling dariku,
Lama aku pelajari satu puisi,
Sayang, bila hanya angin yang mengerti,
Oh burung bernyanyilah,
Demi terjalin cinta...
Oo hooo....hooo...

KEMARUK

Habislah hutan ni. Habislah!



Beruk-beruk yang baru keluar daripada kumpulan beruk itu tidak mahu masuk geng Mawas. Mereka ingin jadi pembela spesis beruk yang sebenar. Maka, mereka membentuk satu kumpulan baru; KEMARUK. Kemaruk adalah sebuah kumpulan yang berkecuali, tidak beruk dan tidak mawas, sebaliknya berada ditengah-tengah. Sebab itulah namanya kemaruk, iaitu Kem + Mawas + Beruk = Kemaruk. Merekapun sudah dapat tempat duduk baru di majlis kedai kopi.

Majlis kedai kopi itulah yang menjadi tempat bertemunya wakil-wakil mawas, beruk dan kemaruk ini. Di situlah mereka bertengkar, di situlah mereka melucah, di situlah mereka londeh melondeh. Dan di situlah tempatnya ahli kemaruk mendedahkan temberang kumpulan beruk, seorang demi seorang. Semuanya sudah tidak hiraukan lagi kehendak semua penduduk hutan yang memilih mereka sebagai suara. Mereka tak hirau lagi pasal berapa duit nak buat jambatan dari dahan ke dahan. Mereka tak hirau lagi kesah harga pisang hutan naik mendadak. Mereka tak kesah kalau harga air sungai tak turun-turun. Mereka tak pernah ada hati nak berbincang tentang kes-kes remaja beruk dan remaja mawas yang dengan sengaja membuang anak yang baru lahir dari atas pokok. Ada yang meninggalkan anak mereka di dahan, sampai dijumpai oleh penduduk hutan yang lain. Mereka tak mahu bincang yang itu.

Mereka hanya kesah cerita tarik ekor beruk jantan, cerita ketua mawas yang konon-konon sebelum jadi ketua dulu ada menendang sejenis spesis dari tanah tinggi dari atas pokok, tendang jatuh sampai mati. Itu sahajala yang mereka lalakkan dalam kedai kopi itu sehari-hari. Tak cukup dalam kedai kopi itu, mereka panggil pula wartawan buat sidang akhbar di layang atap kedai kopi.

“Saya dibayar juta-juta supaya menjatuhkan ketua mawas. Supaya saya memfetnah ketua mawas.”

“Rancangan Jumaat Kliwon nak rampas hutan ini daripada penguasaan mawas adalah bohong.”

“Bohong.”

“Bohong.”

“Moral pemimpin beruk dah tercemar dengan tuduhan menarik ekor beruk jantan.”



Semalam, manusia masuk kuliah. Pensyarahnya bersyarah:

“Kita mana boleh membuka aib orang. Melondeh orang. Walaupun kita dah tak suka satu kumpulan itu, kita dah nak mufaraqah daripada kumpulan itu, kita tak boleh buka aib dia. Kenapa nak buka aib orang. Nanti hari kiamat, Allah buka aib kita pula.”

“Semua penghuni hutan ini dah mula sedar siapa kumpulan beruk sebenarnya. Mereka akan boleh menilai.”



Ah, malas!!!...hehehe

Sedap ibu masak

"Hmm, sedap tak ibu masak?" aku bertanya kepada anakku, yang masih menyuapkan nasi ke dalam mulutnya. Comot habis mulutnya. Baru pandai makan sendiri. Baru pandai bercakap.
"Cedap," jawabnya dengan penuh mulut.
"Ucap terima kasih kat ibu. Cakap, terima kasih ibu, masak sedap-sedap."
"Terima kacih bu. cedap ibu macak."
"Sama-sama. Along makan la banyak-banyak, nanti cepat besar, cepat boleh belajar..."
Kami meneruskan makan.
"Ucap terima kasih juga kat ayah," ibunya pula bersuara.
"Kenapa?"
"Yalah, ayah penat cari rezeki, bagi kita makan. Cakap kat ayah, terima kasih ayah, ayah cari rezeki yang halal untuk kami."
"Terima kacih ayah." Aku tersenyum.
"Yang penting, kita kena bersyukur kepada Allah, sebab Dia yang beri kita semua rezeki ni. Allah yang bagi kita duit, bagi kita rumah, bagi kita makan, bagi kita semua yang kita ada ni."
"Kita nak ucap macam mana kat Allah, ayah?" tanya anakku, terpisat-pisat. Tak berapa faham lagi agaknya 'tazkirah' aku. Tak mengapa, aku tahu, otaknya sudah boleh berusaha untuk memproses maklumat.
"Itu, kena tanya ibu."
"Bu?" anakku menoleh pada ibunya, memandang tepat ke mata.
"Cakaplah, Alhamdulillah."
"Al-ham-lah tu apa?"
"Maksudnya, segala puji bagi Allah. Dia dah bagi kita rezeki, kita puji la dia. Pujinya, Alhamdulillah tu la."
"Ooo..."
Aku memerhatikan dengan penut minat. Anakku makan dengan berselera sekali. Sesekali aku menjeling memandang ibunya. Kami meneruskan makan, aku menambahkan apa yang patut ke dalam pinggan anakku.
"Along dah kenyang?" aku bertanya apabila kami selesai makan, apabila aku melihat anakku sudah berhenti makan. Pinggannya tidaklah begitu licin, tetapi, dengan usianya yang begitu, aku boleh katakan dia sudah habis makan.
"Kan ibu cakap, tak boleh makan campai kenyang. Nabi cakap kena berenti makan cebelum kenyang...Kan ibu kan?"
"Oh ya, ayah lupa..." aku tersengih-sengih. Kan dah terkena. Budak-budak, apapun yang dia terima, pasti akan cepat lekat di ingatan. Masih bersih lagi.
"Bila ibu cakap macam tu?" aku bertanya?
"Baru ni. Maca tu ayah tak ada. Ibu baca buku, pastu ibu cakap."
"Ooo, buku apa ibu baca?"
"Buku apa bu?" anakku bertanya pada ibunya, memandang muka ibunya.
"Buku apa ya? Ibupun dah lupa...."
"Alah, ibu ni..."
"Nanti lapar lagi.." aku membuat provokasi.
"Tak la, da tak lapar da."
"Ok. Jom gi basuh tangan."

Hahahaha....indah khabar dari rupa. itu pepatah Melayu. Hakikatnya? Hakikatnya aku tak ada anak lagi. Hakikatnya, anak aku tak ada ibu lagi.

Tak adalah, itu hanya sebuah cerpen yang tak menjadi. Bila kita baca novel contohnya, novel popular terutamanya, kita akan dapati bahawa kisah-kisah yang berlaku di dalamnya adalah to good to be true, atau, hakikat dalam dunia nyata adalah sebaiknya. Contohnya, di dalam novel, kita akan dapati seorang suami yang penyayang, yang tiptop penyayangnya. Tapi, dalam dunia nyata, ada ka? Ada la kot, kan...

Tak mengapa, aku tak kesahpun. Bagus juga, sekurang-kurangnya, setiap novel itu boleh memberi sedikit harapan positif kepada setiap pembacanya bahawa dunia ini indah, dunia ini menarik dan dunia ini penuh dengan kegembiraan dan kasih sayang. Novel juga boleh mengajar pembacanya untuk menjadi seorang yang  ideal - supaya dapat pula mewujudkan sebuah dunia yang ideal.

Dan, akupun hairan, sebab aku tiba-tiba aku menulis blog pagi ini. Adakah sebab aku rindu akan ibu kepada anakku? Ya. Aku rindu.

"Ayah, tak campaila." Anakku menjinjing untuk membasuh tangannya di sinki. Aku tersenyum, lalu mengangkatnya, supaya dia boleh membasuh tangannya itu.

Ok, murid-murid, sila cari latar tempat, latar masyarakat, latar ekonomi, latar sosial dalam cerpen ini. Sekian. Buat elok-elok ya, jangan kacau cikgu, cikgu tengah rindu kat ibu anak cikgu ni.

Makan

Waktu: Pukul 1.32 petang.

"Dah makan?"
"Dah tadi."
"Makan apa? Tak ajakpun."
"Makan nasi lah. Belum makan lagi ke?"
"Belum. Mandi pun belum."
***
Malam.

"Jemput makan."
"Makanlah dulu. Nasi masak sendiri ke?"
'Saya dah bersara."
"Rugilah bersara masa ni. Nanti hilang skill."
"Tak pe, tak guna pun. Nanti dah kawen, isteri yang masak."
"Nanti kalau boleh macam saya tak pandai masak kan haru juga. Baik awak jaga skill awak tu."
"Kalau boleh awak yang tak pandai masak, saya paksa kursus dengan mak saya dulu."
"Haha, nanti stres ma awak ajar orang tak pandai masak. Nak kerat-kerat ayam tak reti, nak perah santan lagi. Sempat satu tahun kursus tu."
"Tak pe, sebab kursus tu berbayar. Saya akan bayar mak saya guna duit hantaran. Kalau lambat pandai, habislah duit hantaran dia."
"Hahaha, bagusnya idea."
"Tengok oranglah. Hehehe...."

Amik kau


"Ma suruh jadi cikgu..."

"Moleklah. Jadilah cikgu..."

"Dengar cakap ma kan."

"Ha'ah. Jadi cikgu pukul dua dah boleh balik. Bulan dua belas cuti..."

"Itulah mindset orang Melayu, fikir balik awal, cuti. Jadi cikgu sebab balik awal, banyak cuti, kerja sikit...Dia tak fikir pasal gaji ke..."

Oh, merah muka. Amik kau, kena sebijik. Sound direct tu.

"Tapi cikgu sekarang, boleh je pakai Honda City." Cover la tu.

"Yelah, ijazah kan, mesti ok jugak gaji." Tak perasan kah ada muka yang terbakar?

"Hmmm, cikgu pun banyak kerja jugak tau." Cover lagi.

***

"Eii, ganasnya teksi, parking sampai atas (baju jalan, tempat pejalan kaki)."

"Entah, takdek manner lah diorang ni."

"Tak ada apa?"

"Tak ada manner."

"Apa tu?" Tak jelas kot sebutannya. Ya lah kan, orang ulu yang cakap, manner, manner...alaa, yang bulat-bulat tu, hitam-hitam...hahahaha..tu tahik kambing!!!

"Tak ada adab."

"Oo, ya,ya.."

"Tak ada siviklah diorang."

"Haha, kat tempat macam ni, tak sempatnya diorang nak sivik.."

"Habis, kalau kita tak cuba nak berubah, sampai bila? Tujuh keturunan pun akan tetap sama la macam ni. Kita tak ada keinginan untuk berubah. Tengok Singapore, dalam masa lima puluh tahun je, dia dah boleh..."

"Tengok pula, Singapore kecik je..."

"Ini bukan masalah kecik ke besar. Masalahnya, kita tak ada keinginanpun nak berubah. Singapore pun, driver teksi dia Melayu. Tapi kenapa diorang boleh ada sivik..."

"Singapore kecik, senanglah dia nak laksanakan undang-undang..."

"Bukan pasal undang-undang, tapi orang tu yang kena ada keinginan untuk berubah."

***


Rugi

***
"Tak payahlah kawen ngan orang yang isap rokok ek."

"Ha, rugiii...!!! Rokok sekotak sepuluh ringgit. Kalau sepuluh ringgit sehari, tiga hari dah tiga puluh ringgit, dah boleh beli baju."

"Ke situ plak dia..."

"Tu kalau sekotak sehari. Kalau lebih? Isy, rugi-rugi...Asap lagi, bukan dia sorang yang hisap, orang sekeliling dia...eeiiiii.."

"Tau takpe. Tak yahlah kawen ngan orang isap rokok ek."

"..."

"Kalau nak kawen, kawen ngan ajim je...."

Hahahahaha..
***

Dibenci Yang Dicintai

“Kau kenapa?”

“Ada orang benci aku.”

“Alah, biasalah kita hidup di dunia kalau orang benci. Kalau semua orang sayangpun susah juga. Biarlah ada musuh seorang dua.”

“Ah kau, cakap senanglah.”

“Alaa, aku gurau sahajalah. Yang kau emo-emo ni kenapa? Siapa pula benci kau? Biarlah kalau satu dunia nak benci kaupun, apa masalahnya?”

“Kau senanglah cakap. Masalahnya sekarang ni, aku suka kat dia, tapi dia benci kat aku.”

“Aik pelik je bunyinya? Sejak bila kau pandai suka kat orang ni? Lurus ke?”

“Luruslah bongok! Apa kau tengok muka aku ni ada ciri-ciri orang tak lurus ke?”

“Tak adalah. Hmmm, binti apa?”

“Tak ada binti-binti!”

“Aik, marah pula dia. Kata lurus.”

“Aku lurus ke tak lurus, binti ke tak binti, apa kaitannya pula dengan kau?”

“Yelah-yelah, aku tak berhak mencampuri urusan hidup kau. Hmmm, eh, kenapa pula dia benci kau?”

“Itulah, aku dah minta maaf....”

“Tak, sekarang ini aku tanya, kenapa dia benci engkau pula, bukan aku tanya kau dah minta maaf ke belum...”

“Aku ada buat salah dengan dia.”

“Iaitu?”

“Adalah. Banyak tanya pula dia. Apa kalau aku bagitau engkau, masalah boleh selesai?”

“Taklah, sekurang-kurangnya aku ambil berat pasal engkau. Monyok aja, macam ayam berak kapur.”

“Hahahaha...macam apa? Pandai juga engkau menggunakan peribahasa ya? Hahahaha...”

“Masalahnya?”

“Apa?”

“Kenapa beliau membenci anda?”

“Tak tahu. Dia marah kata aku selalu bagi kek kat adik dia sahaja, tak bagipun kek kat dia. Dia tuduh aku kalau adik dia tak ada atau tak nak terima kek aku, baru aku cari dia bagi kek kat dia.”

“Yang engkau buat macam tu kenapa?”

“Mana ada! Aku tak...”

“Kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang.”

“Bergoyang sebab ada beruklah bongok!”

“Cuba kau jaga sikit mulut tu. Sebab itulah orang benci, cakap main lepas mulut sahaja.”

“Baiklah tuan. Segala nasihat dan ingatan tuan akan saya ambil perhatian yang sewajarnya.”

“Kenapa kau bagi kek kat adik dia sorang sahaja?”

“Kau nak tahu cerita sebenarkan. Ok, aku cerita. Kalau kau nak tahu, masalahnya, dulu, masa mula-mula aku kenal dia, aku bagi kek kat dia sorang sahaja. Tapi, lepas tu, dia jarang ambil kek aku. Aku datang dia tak ada kat rumah. Bagi kek dia tak ambil. Akupun masa tu ingat aku ada buat salah ke, apa ke...ada terbagi kek basi ke, kek tak sedap ke. Dia sakit perut ke lepas makan kek aku. Takpun ada orang mengata kat dia ke selalu dapat kek daripada aku. Tapi aku masih mengirim lagi kek-kek. Lepas tu, aku fikir mungkin dia sibuk kot, selalu tak ada bilik aku datang bagi kek.”

“Hmmm, pelik pula cerita engkau ni ya...”

“Pelik tak pelik. Lepas tu, aku tak naklah ganggu dia selalu. Akupun bagi kek kat adik dia pula. Adik dia terima aja kek aku, banyak manapun aku bagi, dia terima. Selalu aja ada kat rumah. Lama-lama aku jadi banyak bagi kek kat adik dialah daripada bagi kat dia. Tapi, bukan bermaksud aku dah lupa kat dia..”

“Kejap, kejap, sejak bila kau kenal adik dia pula?”

“Aku kenal dia dengan adik dia serentak. Tapi masa awal-awal aku tak rapatpun dengan adik dia, aku lagi baik dengan dia. Bila aku dah rapat dengan adik dia, bukan bermaksud aku dah lupa kat dia. Tapi dia cakap, masa adik dia tak ada sahaja, baru aku nak bagi kek kat dia. Masalahnya, kalau pagi-pagi aku bagi kek kat dia, tak pernahnya dia nak ambil. Tapi, masa tu mungkin dia dah terasa dengan aku kot...Hurmm, susah, susah!”

“Apa susahnya?”

“Tak adalah. Tak seronoklah ada orang benci aku macam ini. Aku dah minta maafpun. Sekarang makin hari makin dia benci aku. Semua yang aku buat semuanya tak kena.”

“Err, kenapa kau suka kat dia pula?”

“Sebab aku luruslah aku suka kat dia. Takkan nak suka kat engkau pula. Kang tak pasal-pasal kau pergi ke pejabat agama mana-mana pula bersumpah wallahi, wabillahi.”

“Suka hati tuanku ajalah. Patik tiada apa-apa kepentingan dalam masalah ini. Ampun tuanku.”

“Aku suka dia sebab aku suka dialah, bo...er, mana aku tahu. Ada kau tahu kenapa kau tanya aku soalan pelik-pelik ni? Kau tanya aku sebab hati kau nak tanya kan, hati kau nak tahu kan. Macam tulah juga aku, dah hati aku kata suka kat dia..”

“Pandai pula kau berfalsafah ye. Orang dilamun cinta katakan.”

“Cinta tak cinta. Masalah sekarang ni, dia benci aku ni, nak buat macam mana?”

“Kau tak buat apa-apa?”

“Buat apa, semua yang aku buat ada aja yang tak kenanya. Makin buat dia benci aku adalah.”

“Peliklah engkau ni, pasal kek pun nak gaduh.”

“Siapa kata kami bergaduh?”

“Tu benci membenci...”

“Eh, tolong sikit. Aku tak benci dia, okay. Aku suka kat dia.”

“Yelah, yelah. Tak faham betul aku dengan engkau ni.”

“Ada aku suruh kau faham?”

“Kaupun satu, tau dah suka kat dia, buat lagi perangai pelik-pelik. “

“Yelah, nak buat macam mana. Aku tak ada niatpun macam apa yang dia cakap tu. Kadang-kadang kita salah faham, biasalah tu. Kan?”

“Suka hati engkaulah. Eh, biar ajalah dia benci engkau...”

“Beb, mana boleh. Umat Islamkan tak boleh tak bertegur sapa lebih dari tiga hari?”

“Kalau yang kau suka, nak ikut Islam pula ya? Hmmm, kenapa kau tak cakap awal-awal kau suka kat dia? kalau kau cakap, mungkin tak jadi macam ni.”

“Hmmm, aku rindu kat dia.”

***


 
~Draf awal sebuah cerpen. Cerita adalah rekaan semata-mata. Ada kaitan dengan yang masih hidup dan belum mati~

Hati Yang Hidup

~Fragmen cerpen hamba yang belum bertajuk. Sedang berjinak-jinak untuk menghasilkan cerpen dan novel. Masalahnya idea ada, tapi tak pandai nak tulis. Sama juga dengan penulisan ilmiah. Hmmm...sasaran hujung tahun ni, siap satu novel, boleh? Minta tunjuk ajar, siapa-siapa yang sudi.~


***
“Pernah kau dengar ungkapan yang mengatakan, bila kamu dicintai Yang Di langit, kamu akan dicintai semua yang dibumi?”

“Maksud kau?”

“Maksudnya, untuk menghidupkan hati, kau perlu kembali kepada Sang Pembuat Hati itu sendiri. Hati yang hidup adalah hati yang dekat dengan Penciptanya. Hati yang tunduk patuh pada segala titah-Nya. Bila hati sudah hidup, nah, ketika itulah, kau akan disayangi oleh segenap makhluk.”

“Bagaimana?”

“Hati itu kemudi kepada diri, kepada anggota. Kalau hati itu bersih, ia melahirkan sifat yang bersih pula, melahirkan sikap yang baik, akhlak yang terpuji, raut wajah yang jernih, tingkah yang sopan, senyum yang manis dan melahirkan tabiat yang tidak jelek. Ketika itulah kau akan terpandang. Ketika itulah kau akan digilai orang. Dan yang penting, ketika itulah kau akan hidup tenang. Kau faham tak ni?”

“Ya...”

“Makkah dibuka oleh hati-hati yang hidup. Palestin juga dibuka oleh hati-hati yang hidup, dan Konstantinople juga dibuka oleh askar yang hatinya hidup, dekat dengan Tuhan. Maka hati juga boleh dibuka dengan sebuah hati yang hidup.”

***

~hak cipta adalah terpelihara. Begitu juga dengan sajak-sajak hamba (yang tak menjadi itu)...sebab kemungkinan hamba akan hantar ke majalah tertentu lah. Kang tak pasal-pasal ada yang kena saman kang. Namun demikian, ambil dengan kreadit adalah dibenarkan...hehehe...(bajet penulis besar pula).~