wish a happy new year

i'm feeling sad.

=> dan dalam setiap denyut nadi, ada sebuah kerinduan.

Selamat Tahun Baru

Mahkamah putuskan Herald boleh guna perkataan ”Allah”

31/12/2009 8:36pm

KUALA LUMPUR 31 Dis. — Majalah mingguan Katolik, Herald, boleh menggunakan perkataan “Allah” dalam penerbitannya, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan hari ini.

Mahkamah itu membuat keputusan bahawa setiap orang mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan “Allah”.

Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan perkataan “Allah” dalam penerbitan mingguan itu. - Bernama

sumber: klik di sini

p/s: 1Malaysia

Janji

Dan aku sangat berpegang pada janji, kerana di situ terletak harga diri.

daripada lensa kameraku




























Gerhana Bulan

Gerhana bulan separa Jumaat ini

30/12/2009 5:22pm

PUTRAJAYA 30 Dis — Fenomena gerhana bulan separa dijangka berlaku Jumaat ini 1 Jan 2010 bersamaan dengan 15 Muharam 1431H bermula pukul 1.17 pagi hingga 5.28 pagi waktu tempatan.

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, gerhana akan bermula dengan fasa penumbra pada pukul 1.17 pagi dan mencapai tahap gerhana maksimum pada pukul 3.24 pagi.

"Gerhana ini dijangka berakhir pada pukul 5.28 pagi. Gerhana yang jelas hanya dapat dilihat apabila bulan memasuki bayang umbra bumi iaitu dari pukul 2.53 pagi sehingga gerhana maksimum,” kata kenyataan itu.

Sehubungan fenomena itu, masyarakat Islam digalakkan menunaikan solat sunat khusuf atau solat sunat gerhana bulan yang disertai dengan khutbah khas gerhana bulan, bersempena dengan kejadian gerhana bulan itu.

Ekoran gerhana yang berlaku semasa cuti sambutan tahun baru 2010, orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan fenomena alam semula jadi itu dan turut serta menunaikan solat sunat khusuf yang akan diadakan di Masjid Negara.

"Program yang merupakan anjuran bersama Masjid Negara, Jakim dan Agensi Angkasa Negara itu bertujuan meningkatkan tahap keimanan masyarakat Islam,” kata Jakim.

— BERNAMA

Sumber: klik di sini.

Satu Hari Yang Indah

Aku ingin menulis diari. Di sini. Kisah hidupku hari ini. Boleh?

Malam semalam aku tidur tak pakai baju. Bila pagi, aku asyik tersedar sahaja, kesejukan. Tengok jam di penjuru skrin telefon, lambat lagi mahu cerah. Sebelum tidur, aku sudah berazam untuk bangun pagi dan bersolat Subuh secara berjemaah, sesuatu yang sudah terlalu lama aku tingggalkan. Aku berazam untuk solat di masjid UKM.

Tepat jam 4.45 pagi waktu yang diawalkan lima minit, ayam dalam telefon akupun berkokoklah, dan akupun bangun. Gosok gigi dan mandi. Bersiap, dan aku turun berjalan kaki ke masjid.

Aku tak pandai nak cerita panjang-panjang, biar aku cerita ringkas-ringkas sahaja.

Aku berjalan turun ke masjid. Motosikal? Malaslah. Sesampai sahaja aku di Pusat Kemudahan Ibrahim Yaakob, azan dilaungkan, bertelingkah. Aku menoleh ke surau - gelap. Maka akupun mengambil keputusan untuk singgah sekejap dan melaungkan azan.

Aku masuk, buka lampu, tekan suis benda alah tu, kemudian, akupun azanlah. Sambil aku azan, aku terfikir, 'ini sampai mana sahaja suara aku ni, entah dengar entah tidak di blok-blok asrama.' Aku berfikir sedemikian kerana pada malam semalam, semasa aku turun solat Isya', aku berada di kafe atas suraupun tak dengar bacaan imam. Mungkinlah cafe bising, tetapi bila aku turun ke bawahpun tak dengar. Bila aku sampai sebelah surau barulah aku dengar, itupun daripada speaker dalam surau. Di luar surau tak ada speaker gamaknya.

Dan aku terus melaungkan azan, dan aku terus berfikir. 'Rasanya dengar kot di blok perempuan. Kalau dengar kat sana tu kira ok la kan. Kalau blok aku, sahih-sahih tak sampai.'

Siap melaungkan azan, aku tutup suis benda alah pembesar suara tersebut dan menutup lampu. 'Ni kalau aku tutup lampu, ada orang datang, maunya azan sekali lagi ni. Tapi, kalau aku tak tutup, kang malas pula nak singgah masa balik nak tutup lampu.' Aku tutup juga, dan keluar, dan menutup pintu.

Di luar rupanya azan masih belum habis. Yalah, aku azan pendek-pendek sahaja. Hayya 'alas solah, 'laahh' tu muazin biasa maunya 3 minit tarik lagu. Aku tak ada, lima saatpun tak sampai. Jadi tak hairanlah kalau aku mula azan lewat tapi cepat siap. Tak ada lagu, tak ada bunga, tak ada panjang-panjang. Azan untuk kejut orang bangun subuh, cukuplah.

Baru aku nak melangkah, aku dengar "Assolatu khairon minan naum...." Lah! Aku tak sebut 'assolatu khoirun minan naum' tadi. Patutlah cepat habis. Hahaha...Tak mengapalah, lupa, kan? Bukan sengaja. Kalau masa jadi imampun boleh lupa, inikan pula azan.

Aku turun ikut tangga ke jalan raya. Tiba-tiba aku nampak binatang sedang berjalan di atas jalan raya. Kambing? Sebiji macam anak kambing. Aku tengok betul-betul. Lah, anjing. Namun, dia dengan hal dia dan aku dengan hal aku. Dengan menyarung hud baju sejuk dan berpeluk tubuh, aku terus melangkah ke masjid.

Sampai sahaja di depan kolej Burhanuddin Helmi, tiba-tiba aku mendengar azan baru dilaungkan. Agak jelas. Sah!!! Ada orang melaungkan azan sekali lagi di surau Ibrahim Yaakob! Sah! Tak mengapalah kan, zaman Nabi kan Subuh azan dua kali. Zaman Nabi, azan pertama dilaungkan oleh Bilal sebelum masuk waktu subuh, azan kedua oleh Ibn Ummi Maktum bila masuk subuh. Ni, dua-dua azan dalam waktu subuh, belum berselang lima minit, apa cerita?

Kemudian, aku sampai di masjid, solat. Sudah, balik.


Dalam perjalanan balik, aku berfikir lagi. Yelah, pagi-pagikan otak segar, mudah berfikir. Aku berfikir, Nabi s.a.w dulu bila masuk waktu Subuh, baginda akan mengerjakan solat sunat dua rakaat ringan di rumah, baru pergi ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Mesti rumah Nabi s.a.w dekat kan dengan masjid. Rumah baginda dengan A'isyah memanglah tersangat dekat. Tetapi, dalam hadith Bukhari, Ibn Abbas meriwayatkan hadith tersebut semasa beliau bermalam di rumah Maimunah, isteri Nabi s.a.w. Di sanalah beliau memerhatikan dan meniru cara Nabi s.a.w berqiamullail.

Aku kalau nak solat sunat di bilik dulu, boleh juga, tetapi kena datang ke masjid dengan motosikallah. Tapi masalah juga, azan bukannya boleh didengar di bilikku. Hmm, rugi juga kalau tak solat sebelum subuh tu. Solat fajar sebelum subuh lebih baik daripada dunia dan segala isinya. Kan?

Aku jalan lagi, terserempak pula dengan dua orang perempuan berjogging. Awalnya.

Balik, aku ngaji sekejap, buka laptop, baca akhbar Kosmo! atas talian sekejap, tengok mel elektronik, sambung tidur. Bangun pukul 9.15 pagi. Mandi, solat Duha, pergi ke kelas.

Habis kelas pukul 12, aku ke PTSL, pinjam buku Ulum al-Hadith. Nak bacalah konon, nanti petang takut kena soal. Rajin tak aku? heheh...Keluar dari PTSL, terserempak pula dengan dua orang rakan. Singgah dulu, borak-borak. Salah seorang daripadanya kemudiannya pergi ke kelas.

Kemudian, kawan yang sorang yang tinggal itu mengajak aku pergi mencuba makanan cina di FSSK pula. Aku sudahlah tengah pokai. Tau pokai?

Pergi jugalah. Di sana, dia yang pesan semuanya, aku jadi pak turut sahaja. Memang sudah tabiat aku macam itu. Tak pandailah kalau nak tempah benda pelik-pelik ni. Kalau masuk McD ke KFC ke, aku tak pandai tempah. Kalau pergi panggung wayang, aku tak pandai nak beli tiket. Huh, kuno kan...yang aku tahu, tempah nasi gorang pataya di cafe KIY ini sahaja. Hahaha.. Bahkan nak bayar di pasaraya, aku suruh orang lain kadang-kadang.

Tengah beratur nak ambil makanan itu, datang pula seorang Arab, ingin mencuba juga. Kemudian kamipun berboraklah. Campur, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Tak mengapa, yang rosak bukan bahasa Melayu...hahaha...Dia berasal daripada Palestin. Masya Allah, dan dia ceritakan kepada aku keadaan semasa di Palestin.

Tak pernah aku berbicara secara langsung dengan seorang yang berasal dari Palestin. Dia datang mengambil sarjana di FTSM. Alhamdulillah.

Kemudian kami berpisah, dan aku masuk kelas pukul 2. Belajar, tukar kelas pukul empat, sambung belajar, sampai pukul 6.

Sebelum pulang, kami solat beramai-ramai, berjemaah dalam bahasa yang tepatnya. Baru mula solat, hujan turun dengan lebatnya. Alamak, aku nak balik macam mana?

Sudah solat, kami menunggu hujan reda. Aku sangat penat dan mengantuk. Penat memerah otak cuba memahami apa yang diajar. Hehehe...yelah sangat.

Pukul 7.15, kawan aku cakap, "nampak macam dah reda hujan tu."

"Molek ah, ata kawe meta..." aku hari ini datang ke kelas berjalan kaki sahaja. Bagi motor rehat sedikit. Dan mulalah menyusahkan orang.

Diapun hantar. Tuan asal motor kata boleh kan. Baiknya. Terima kasih. Tengah jalan rupanya hujan masih lebat lagi. Kuyuplah kami. Pemandu motosikal lagilah kuyup daripada aku. Sampai di bilik, akupun menggigil. Kemudian mandi, kemudian solat, kemudian aku malas nak cerita lagi.

habislah. Sebenarnya ada beberapa perkara menarik yang terjadi pada hari ini...tetapi...entahlah...biarlah, aku penat ni.

=> dan dalam setiap denyut nadi, ada sebuah kerinduan.

p/s: apa ya?

Ulasan berita

Baca dulu berita ini:-

Harga minimum rokok RM6.40 - Usaha mencegah kanak-kanak, remaja daripada terjebak dalam tabiat merokok


KUALA LUMPUR - Mulai Jumaat ini, harga minimum rokok di pasaran tempatan ditetapkan pada kadar RM6.40 bagi pek 20 batang bagi mengurangkan akses kanak-kanak serta remaja daripada terjebak dalam kancah merokok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, penguatkuasaan peraturan itu akan dapat membendung golongan tersebut daripada membeli rokok selain menyekat aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

"Demi menjaga kepentingan kanak-kanak dan remaja daripada terjebak dengan ketagihan rokok dan seterusnya kemungkinan risiko penyalahgunaan dadah serta penularan penyakit-penyakit kronik, kerajaan komited untuk mengambil pendekatan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok oleh golongan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tegas beliau, banyak kajian sama ada dari dalam mahupun luar negara membuktikan bahawa peningkatan cukai dan harga rokok mampu mengurangkan kadar merokok dalam masyarakat terutama di kalangan kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah.

"Hasil kajian yang dibuat pada 2004 di Malaysia menunjukkan bahawa dengan peningkatan harga rokok sebanyak 10 peratus, ia akan dapat mengurangkan penggunaan terhadap rokok sebanyak 3.8 peratus," katanya.

Menurut beliau, peraturan baru itu dikuatkuasakan melalui Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No.2) 2009 yang telah diwartakan.

Sumber: klik di sini

Ulasan:

1. Kenapa tak haramkan terus?

2. Ok, untuk mencegah remaja dan kanak-kanak untuk terjebak dalam tabiat merokok. Nampaknya bagus. Mungkin berjaya.

3. Walaupun tidak dibolehkan, penjual tetap menjual rokok sebatang-sebatang. Maksudnya, remaja dan kanak-kanak yang tak banyak duit masih boleh lagi membeli rokok, sebatang dua batang. Tak perlu beli sebungkus terus untuk hisap rokok. Tetapi, langkah menaikkan harga ini mungkin akan berjaya mencegah remaja dan kanak-kanak supaya tidak terjebak dalam ketagihan merokok.

4. Itu cerita remaja dan kanak-kanak yang belum cuba merokok. Bila mereka nampak harga rokok yang mahal, merekapun tak beli. Tetapi bagaimana pula dengan remaja dan kanak-kanak yang SUDAH terjebak dalam kegiatan merokok ini? Mereka akan berhenti? Mungkin.

5. Kita selalu mendengar bahawa peragut terdiri daripada penagih dadah, dan ragut menjadi jenayah sekunder kerana 'kesuntukan' untuk mendapatkan dadah. Cara mudah adalah dengan meragut. Mungkinkah selepas ini kita akan mendengar pula remaja meragut untuk membeli rokok? Kita tahu remaja tak kerja, tiada sumber pendapatan. Dan kita tahu, bahawa rokok boleh menyebabkan ketagihan, dan kita tahu, ketagihan rokok juga sukar untuk dihentikan. Maka, akan meningkatkah jenayah ragut? Curi? pecah rumah amatur? Minta jauhlah...

6. Untung sebenarnya kerajaan bila naikkan harga rokok. Sebab itu, kerajaan tak nak haramkan terus. Tetapi, itu cakap-cakap kedai kopi, hearsay orang putih kata. Sahih tak sahih, belum tentu lagi.

7. Bukankah rokok tidak boleh dijual kepada orang yang berumur 18 tahun ke bawah?

Sekian. Fikir-fikirkan.

Apa-apapun, aku memang sokong usaha kerajaan ini. Yelah, aku tak merokok kan. Baguslah kerajaan buat macam ini.

=> dan dalam setiap denyut nadi, ada sebuah kerinduan.

p/s: aku ingin mengucapkan tahniah kepada ayahku kerana telah mengambil langkah bijak dengan berhenti merokok, dan tahniah kerana mampu melakukannya, tanpa bantuan apa-apa ubatan, tanpa bantuan sesiapa, hanya dengan kekuatan azam dan kesedaran dalam diri. Alhamdulillah, ayahku berhenti merokok lama dahulu sebelum menjadi trend kerajaan menaikkan harga rokok setiap kali bajet negara. Sayang ayah!!

Menunggu kekasih yang tak pulang

Pernahkah anda membaca novel 'Matahari di Atas Gilli' karya Lintang Sugianto? Bagi saya novel ini sangat berbekas di jiwa. Ia mengisahkan tentang seorang isteri yang sarat mengandung ditinggalkan suami untuk mencari sejernih rezeki. Sebelum pergi, dia berjanji akan pulang pada suatu jangka masa. Maka isteripun setia di pulau menunggu sang suami pulang, untuk menyulam kasih kembali. Dia tidak berseorangan menunggu, sebaliknya, dia bersama-sama anaknya setia di pelabuhan, mengintai setiap layar yang berlabuh.

Sang suami sebaliknya sedikit mungkir janji. Dia melanjutkan tempoh musafirnya. Bukan suka-suka, bukan tidak rindu isteri, tetapi kerana ingin menambah sedikit rezeki, untuk mengabulkan janjinya, membahagiakan hati isteri.

Si isteri tidak jemu menunggu dengan perut yang makin membesar, dengan kandungan yang makin matang. Suami akhirnya pulang juga, tetapi, terkandas pula di daratan sebelah sana, kerana berlaku sedikit kecelakaan.

Apabila semuanya sudah reda, suami akhirnya menjejakkan kaki di pulaunya, pulau tempat kekasih hatinya saban hari setia menunggu. Namun, takdirnya, sang isteri kembali dulu dijemput Ilahi, dengan meninggalkan seorang waris hasil cintanya kepada suami.

Akibatnya, suami menjadi gila.

Itu novel.

Tadi, selepas mandi, sementara menunggu waktu Maghrib, saya ada membelek-belek buku Maharat Istima' wal Fahm yang baru dibeli petang tadi (kawan tolong bayarkan dulu). Saya sempat membaca kisah perkahwinan bapa dan ibu Nabi s.a.w yang ada di dalam buku tersebut. Kemudian, saya terfikirkan sesuatu, dan menyebabkan saya hiba sendiri.

Abdullah dan Aminah, selepas berkahwin, menikmati hari-hari bahagia bersama-sama, menyulam kasih, mengikat janji dan menabur cinta.

Namun, bukan tugasnya lelaki untuk duduk goyang kaki berlenang-lenang. Belum habis menikmati 'bulan madu', Abdullah 'terpaksa' berpergian untuk mencari sesuap rezeki. Lelaki yang perkasa adalah lelaki yang kuat berusaha untuk membahagiakan keluarga.

Abdullahpun pergi mengikuti rombongan dagang ke Syam. Syam yang letaknya jauh di utara semenanjung Tanah Arab, hanya dituju dengan menunggang unta merentas padang pasir. Abdullah pergi meninggalkan kekasih, menitipkan benih cinta. Tunggu kepulanganku.

Saya tidak berapa mengetahui sejarahnya. Tetapi saya bayangkan begini:

Abdullah pergi bukan sehari. Aminahpun sabar menunggu di Makkah, sabar menunggu kekasih yang dicintai. Abdullah berdagang di Syam, menjual dan membeli barang.

Kemudian tiba waktu pulang. Abdullah membeli banyak hadiah untuk Aminah. Abdullah pulang dengan gembira, dengan penuh hati. Gembira akan bertemu lagi dengan kekasih yang ditinggalkan.

Takdirnya, Abdullah sakit dalam perjalanan pulang dan ditinggalkan di Madinah, lalu akhirnya meninggal di sana.

Orang zaman itu tiada telefon bimbit, tiada TV, dia semua jenis alat perhubungan canggih seperti hari ini. Yang ada khabar daripada mulut orang. Jadi, Aminah di Makkah hanya mampu menunggu, menanti detik ketibaan suaminya dengan penuh harap, penuh sabar, penuh setia.

Pedagang pergi dan pulang, ada musimnya. Semakin dekat musim pulang, semakin gembira, semakin besar pengharapan untuk menatap wajah suami lagi.
Hati semakin dipenuhi rindu.

Begitulah, rombongan pedagang berdatangan pulang, sehinggalah sampai khabar kepada Aminah bahawa kekasihnya, suaminya Abdullah tidak akan pulang lagi sampai bila-bila. Tidak akan untuk selama-lamanya. Tidak akan dapat menatap wajahnya lagi, tidak akan mampu mengusap bahagia lagi, tidak akan ada waktu untuk menyulam kasih lagi.

Bayangkan betapa remuknya hati seorang kekasih yang setiap hari sabar menunggu kepulangan kekasih, tetapi yang hadir cuma seberkas berita menghancurkan rasa. Bayangkan apa perasaannya apabila mengetahui satu hakikat bahawa suaminya tidak akan pulang lagi untuk menguntum senyum kepadanya.

Aminah tabah...

Semua bayangan itu membuatkan saya sayu sendiri. Kemudian, saya ingin beristighfar memohon keampunan kepada Allah, kalau-kalau dengan bayangan-bayangan ini, saya telah menyentuh peribadi ayah dan bonda Nabi.

Selawat dan Salam ke atas Nabi, keluarga dan sahabat baginda.

Betapa sedihnya ditinggal sendiri.

=> dan dalam setiap denyut nadi, ada sebuah kerinduan.

Puasa pada hari Asyura

Puasa pada hari Asyura

قال النبيُّ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ عَاشُورَاءَ: إِنْ شَاءَ صَامَ

Terjemah: Nabi s.a.w bersabda tentang hari Asyura: “Sesiapa yang mahu, berpuasalah.

قال البخاري: حدثنا أبو اليمان: أخبرنا شعيب, عن الزهري قال: أخبرني عروة بن الزبير: أن عائشة رضي الله عنها قالت: كان رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَمَرَ بِصِيَامِ يَوْمِ عاشُورَاءَ, فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانُ, كانَ مَنْ شَاءَ صَامَ وَمَنْ شَاءَ أَفطَرَ.

Terjemah: Al-Imam al-Bukhari berkata: Telah Mengkhabarkan kepada kami Abu al-Yaman: Telah menghkabarkan kepada kami Syuaib, daripada al-Zuhri, beliau berkata: telah mengkhabarkan kepadaku Urwah bin Zubair: Sesungguhnya A’isyah r.a telah berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya berpuasa pada hari Asyura. Apabila difardukan puasa Ramadan, maka (puasa hari Asyura itu) bagi sesiapa yang mahu berpuasa, bolehlah berpuasa, dan bagi sesiapa yang mahu meninggalkannya, bolehlah meninggalkannya (berbuka).”


عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم المَدِينَةَ, فَرَأَى اليَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عاشُورَاءَ, فَقَالَ: (ما هذا؟) قالُوا: هذا يَوْمٌ صَالِحٌ, هذا يَوْمٌ نَجَّى اللهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ, فَصَامَهُ مُوسى. قالَ: (فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسى مِنْكُمْ). فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِه.

Terjemah: Daripada Ibn Abbas r.a, beliau berkata: Apabila Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, maka Baginda telah melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Maka Nabi s.a.w bersabda: “Apakah (hari) ini (mengapa kamu berpuasa pada hari ini)?” Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik, pada hari ini Allah telah memberi kemenangan kepada Bani Israel ke atas musuh mereka, maka Nabi Musa telah berpuasa pada hari ini.” Nabi s.a.w bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa a.s berbanding dengan kamu.” Maka Nabi s.a.w pun berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan (umat Islam) supaya berpuasa pada hari tersebut.


عن سَلَمَةَ بْنِ الأَكْوَع رضي الله عنه قالَ: أَمَرَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً مِنْ أَسْلَمَ: أَنْ أَذِّنْ في النَّاسِ: أَنَّ مَنْ كانَ أَكَلَ فَلْيَصُمْ بَقِيَّةَ يَوْمِهِ, وَمَنْ لَمْ يَكُنْ أَكَلَ فَلْيَصُمْ, فَإِنَّ اليَوْمَ يَوْمُ عاشُورَاءَ.

Terjemah: Daripada Salamah bin Al-Akwa' r.a, beliau berkata: Nabi s.a.w telah memerintahkan seorang pemuda daripada Bani Aslam: “Hebahkanlah di kalangan manusia: Sesiapa yang telah mengambil makanan, hendaklah dia berpuasa pada baki hari yang masih tinggal, dan sesiapa yang belum makan, hendaklah dia meneruskan puasa, kerana hari ini adalah hari Asyura.”


Marilah kita sama-sama berpuasa pada hari Asyura.

Sekian.

=> dalam setiap denyut nadi, ada sebuah kerinduan.

p/s: maaf, setting blog ini lari sedikit. Tak dapat nak copy and paste daripada Microsoft Word dengan betul, dan tak dapat nak masukkan nota kaki. Oleh itu, boleh juga rujuk di blog Beberapa Catatan Waktu.

Sudah mati

Slobodan Milosevic kena 40 tahun penjara

26/12/2009 4:02am

BELGRADE, Serbia 25 Dis. - Mahkamah Agung Serbia telah menjatuhkan hukuman maksimum 40 tahun penjara ke atas bekas ketua keselamatan presiden, Slobodan Milosevic kerana melancarkan serangan bunuh ke atas pemimpin pembangkang pada tahun 1999.

Mahkamah mendapati Radomir Markovic bersalah melakukan pembunuhan peringkat pertama. Enam pembantu Markovic, termasuk bekas komander separa tentera juga telah dijatuhkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Mereka dihukum kerana mendalangi kemalangan kereta yang membunuh empat orang pada Oktober 1999, di mana mangsa yang disasarkan Vuk Draskovic, tokoh penentang utama Milosevic ketika itu, terselamat dalam kemalangan tersebut.

Milosevis telah digulingkan pada tahun 2000 dan mati pada tahun 2006 ketika sedang menjalani perbicaraan di mahkamah jenayah perang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AP

berita ini dipetik daripada Utusan Online.

p/s: jenayah penghapusan etnik macam mana?

Cghito di sbutei kapong...

"Habih doh ngaji?" soale paling keghek oghe kapong dok tanya. Lamo bena doh ko aku dok ngaji skolohnyo? Hmmm..
"Eh, dok lagi..."
"Ado baghapo taung lagi?"
"Stahung stengoh lagi doh..."
"Ooo, tok lamo doh tuh. Pah tu khijo oh?"
"Tahu la. Khijo kalih." Aku senyung.

Habih sbabok. Maghi hok lain pulok. Gitu la sokmo-sokmo gak kalu aku kelik kapong. Hari tu, duo tigo haghi aku nak maghi UKM, lepah asar, aku gi tubek deghak ppade meta, nok tengok oghe maing bola. Aku lalu kok blake ghumoh aku tu, ado jale kot tepi umoh bughuk. Bo aku tubek jjale semin, aku napok soghe mok cik tu dok nyako tanah. Aku baik jugok la ngn mok cik ni. Akupun tegur dia, yo la oghe kapong ke, cekak nak wak sombong...dohla aku ni kecik lagi...kena benno la sikik ko oghe tuo.

"Wak ggapo mok nik?" Aku tanyo. Padahal aku napok doh dia tu dok tebokok-bokok dok nyakul.
"Eh, wak jale ni." Dia dok cako tangga bowoh pohong kkabu naik ko jale semin. Aku senyung jah la.
Bo aku jjale lepah cikit jah pade dia tu, dia panggei aku smula, "eh, si, maghi smeta nok ghoyak."
"Ho, ghoyak ah..." aku gi dekat dio.
"Maghi ngaji ghumoh mok nik deh, ghabu ni. Buleh?"
"Bilo?" Aku tanya, mugo aku dekat dah nak gi UKM doh ni, takot tok dei.
"Ghabu ni la, esok luso."
"Ghabu dekat ni?" peseng aku doh bghehi banyok tanyo.
"Ho la. Bulih ke dok? Ayoh skali."
"Kito buleh. Ayoh tok tahu la, keno gi tanya dia sdighi la..."

Wat pendek ko cghito, akupun stujula. Akupun nok gi la pade, mugo niat aku nok gi pade, ke...? Bo aku stat ayun lakoh tu, tembong la pulok ngan nnatu mok cik tu sakni. Dia dengar ghuponyo aku dok kecek ngan tok tuo dia.

"Buleh ngaji?" dio tanyo aku, tok ccayo. Aku sengih.
"Buleh," aku jawab. Dia kelih ko muko aku.
"Sgoti eh, buleh ngaji?" dia tanya skali lagi. Bekali dia tok cayo tengok ko muko aku, sghebeng nga ghambot panje tok gguting, budok lagi pulok tu.
"Bakpo? Tok cayo ko?" aku tanyo dio balik.
"Eh, cayo, tengok muko pun cayo doh," dia jawab cepat-cepat, cover malu aa tu. Dia kelih ko tok ttuo dia, mencari kepastian, bahasa surat kato. Mok cik tu anggok-anggok, susik-susik bisik gapo ko dia, aku tok dengar doh. Aku wat bodo ah jale hala ko pade.

Ha, baghu dia tahu. Ingat oghe ghambut panje supo aku ni xpanda ngaji Qur'e ko. Dia tok kenal aku mugo dio tok dok kapung aku, dio dok llain.

Pahtu, esokke tu puloknyo,...uh, skak tu la dulu..sambong smula-smula la pulok. Panje lagi cghito nih kalu ikut eghe gak.

maah la, ejo'e tok tepat lah mano.

=> dalam setiap denyut nadi, ada sebuah kerinduan.

p/s: kina faham tak? Hehik...

Sunyi...

"Sunyila..." Hens menghantar satu pesanan ringkas, SMS.
"Playboy pn sunyi? Plik bunyinya" SMS Hens dibalas. Hens tersenyum.
"Hahaha...Xde mood nk wat jht kat ppuan..." Hens membalas lagi, sengaja menyakitkan hati.
"Crlah mood. k,bye" marah benar nampaknya. Ya, Hens tahu, si pengirimnya terasa, makan hati. Makan hati dengan sikap Hens selama ini.

"Homesick" Hens YM dengan seorang teman.
"Windu umah ye?"
"Haah" Hens membalas.
"balikla umah" Hens diberi cadangan.
"Nak balik cane?" Hens bertanya, laju menaip papan kekunci komputer ribanya.

"Rindula" Hens memberitahu hatinya sendiri.
"Aku tahu, dan aku merasakan denyutnya," balas hati.
"Aku menanggung pedihnya," tambah sang hati lagi.

Dan Henspun memberitahu dunia bahawa dia sedang merindu, tanpa mengambil peduli pada hati yang kian terluka.

Beza antara Bahasa Kelantan dan Bahasa Baku

Penggunaan perkataan pergi dan balik.

Orang Kelantan sangat sayang akan tempat asalnya. Mungkin sedikit fanatik. Maka mereka membezakan antara tempat asal mereka dan tempat mereka bermastautin dengan penggunaan perkataan pergi dan balik.

Baiklah. Kita kemukakan satu situasi. Adzim berasal dari Kg. Bertam Baru, Gua Musang. Sekarang dia belajar di UKM.

Jadi, apabila tiba musim balik kampung, orang Kelantan akan bercakap begini:-

1) Apabila Adzim ingin balik ke kampungnya di Gua Musang:-

-Orang yang berada di UKM akan bertanya, "Mu nak balik bilo?"
-Orang di kampung akan bertanya, "Si kelik bilo?"

Di sini, jelas bahawa apabila seseorang itu pulang ke tempat asalnya, orang Kelantan akan menggunakan kalimah balik atau kelik. Balik dengan kelik itu sama sahaja maksudnya - pulang, kembali.

2) Apabila Adzim ingin kembali semula ke UKM:-

-Orang kampungnya akan bertanya, "Nak gi bilo UKM?"
-Orang yang berada di UKM akan bertanya, "Mu mari bilo?"

Jadi, orang kampung akan menggunakan perkataan pergi. Itu bermaksud seseorang itu akan menempuh perjalanan daripada tempat asalnya ke tempat yang lain, mungkin tempat kerja, tempat belajar atau tempat tinggalnya yang lain.

Manakala orang yang berada di tempat mastautinnya (dalam situasi ini UKM) akan menggunakan kalimah mari. Mari dalam bahasa Kelantan bermaksud datang. Perkataan ini secara tidak langsung menyedarkan orang yang di soal itu bahawa dia adalah pendatang di tempat orang. Oleh itu hendaklah pandai menjaga diri dan hendaklah dia ingat asal usulnya (teori aku sendiri...hahaha)...Begitu juga perkataan pergi. Pergilah dengan berhati-hati.

Bagaimana kalau seseorang itu memiliki dua kampung? Contohnya, kampung asal ayah ibunya di A, tetapi kemudiannya dia berkahwin dan menetap di kampung B. Dalam keadaan ini, penggunaan istilah itu terpulang kepada individu dan situasi. Ada yang memakai istilah seperti situasi di atas, ada juga yang menggunakan balik sahaja untuk semua situasi.

Semasa aku mula-mula belajar di DQ dahulu, aku sedikit pening apabila pulang semula ke DQ dari kampung. Teman sebilik aku bertanya, "balik bila?"

Berkerut dahi aku. Aku tanya balik, "balik ke mana?" Sebab, aku sudah datang ke DQ, mustahil juga dia baru hendak bertanyakan bila aku pulang ke kampung. Sudah sebulan lebih. Dalam pemahaman aku yang berasal dari Kelantan ini, balik itu bererti balik ke rumah.

"Balik ke sinilah," jawabnya.

"Oh, sampai pagi tadi." Aku menggaru kepala.

Untuk semua keadaan, mereka menggunakan perkataan balik sahaja. Bila balik ke kampung dan bila balik ke UKM.

Oleh itu, sebagai kesimpulannya, Bahasa Kelantan itu amatlah kaya dengan istilah-istilah yang tepat untuk menggambarkan hal keadaan situasi. Siapa yang setuju, angkat tangan!

Itulah sepanjang pengetahuan aku berkenaan bahasa Kelantan, dan sepanjang pemerhatian aku terhadap bahasa pertuturan rakan-rakanku seluruh Malaysia.

Bahasa dan loghat lainpun kaya juga, dalam cara mereka yang tersendiri pula. Aku berbangga dengan bahasa Kelantan, dan aku mengagumi loghat Utara, loghat Pahang dan lain-lain. Kita semua sama, beza bunyi sahaja.

Penulisan ini bukan untuk memperbesarkan perbezaan atau menunjukkan kefanatikan, tetapi sebagai satu penjelasan mengapa aku selalu pening apabila di soal, "balik bila?"...

=> dalam setiap denyut nadi, ada sebuah kerinduan.

p/s: bahasa kita kaya, mengapa malu untuk menggunakannya.

Apa nak jadi...

Hari ini, mari kita bercerita tentang mentaliti kelas ketiga. Biar kita definisikan mentaliti kelas ketiga itu dengan satu sikap yang kolot, mundur, tiada sivik dan lain-lain lagi perangai hodoh.

Sebelum kita mengupas tentang mentaliti kelas ketiga ini, ada baiknya kalau kita membaca satu berita yang disiarkan di akhbar Kosmo! hari ini. Kita petik ke sini:-

Ancaman objek terbang - Pelbagai benda dibuang dari tingkat atas termasuk batu giling, sinki

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammarjazlan.madlela@kosmo.com.my

ABDUL HAMID (kiri) dan Md. Saleh menunjukkan batu giling yang dibuang penghuni di PPR Batu Muda, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Impian mempunyai kediaman sendiri walaupun sekadar rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sudah pasti menggembirakan.

Bagaimanapun, bagi penduduk di PPR Batu Muda khususnya di Blok F di sini, impian tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri ekoran sikap segelintir penghuninya yang kurang kesedaran sivik.

Walaupun disediakan rumah sampah namun ada pihak yang mengambil jalan mudah membuang sampah dari tingkat atas kediaman masing-masing.

Sebut apa sahaja daripada objek plastik hingga kepada kasut, sinki, topi keledar malah batu giling turut dibuang oleh penghuninya.


GAMBAR KANAN: Serpihan sinki yang dibuang oleh penghuni tidak bertanggungjawab di PPR Batu Muda, Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi Surau Al-Muhajirin, Abdul Hamid Abdul Ghani berkata, keadaan itu sudah berlarutan sejak PPR itu mula dihuni sejak lebih setahun lalu.

"Bagaimanapun, ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, jika dulu sekadar sampah atau botol plastik sahaja kini ia membabitkan objek-objek berbahaya.

"Setakat ini, seorang penduduk cedera akibat terkena serpihan sinki yang dibuang dan kami tidak tahu siapa yang bertanggungjawab kerana PPR ini mempunyai 17 tingkat," katanya di sini semalam.

Abdul Hamid berkata, ekoran kejadian itu, para penghuni blok berkenaan semakin bimbang dan sentiasa berwaspada untuk keluar dan masuk ke kediaman masing-masing.

(sumber: klik di sini)


Berita ini dengan jelasnya menunjukkan kepada kita tentang budaya dan mentaliti dan sikap dan perangai kelas ketiga yang masih wujud dan berkembang subur dalam masyarakat kita pada hari ini, termasuk masyarakat bandar yang selalu dikatakan maju dan setapak ke depan berbanding masyarakat di kampung-kampung. Dan berita di atas dengan sejelas-jelasnya mengkhabarkan bahawa ia memang dilakukan oleh penduduk bandar, atau mungkin sedikit pinggir bandar.

Bandar ataupun tidak tuan-tuan, ia tidak menjamin tahap mentaliti seseorang. Ramai juga penduduk kampung sangat tinggi dan maju mentalitinya. Sebab itu adalah tidak wajar mengkampungkan orang-orang yang bermentaliti kelas ketiga ini.

Baiklah. Bagaimana mentaliti ini masih wujud dalam masyarakat kita? Aku pernah bersembang dengan seorang rakan tentang masalah ini. Aku berkata, "saya berpendapat bahawa orang yang tinggal di bandar itu datangnya dari kampung. Dan mereka masih mengekalkan ciri-ciri kekampungan mereka itu. Mereka membuang sampah merata-rata, membuat pembakaran terbuka...bla bla bla...Di kampung tak mengapalah kalau membakar sampah secara terbukapun..."

Maka rakan saya itu menjawab. Dia jawab begini:

"Akupun hairan," katanya. "Sebanyak-banyak benda di kampung itu, ciri kotor itu juga hendak di bawa ke bandar. Padahal di kampung ada budaya tolong-menolong. Di kampung ada budaya tegur-menegur. Di kampung, kita kenal jiran kita, bahkan satu kampung kita kenal. Di kampung ada semangat gotong royong. Banyak benda baik ada di kampung. Tapi kita tak bawa ke bandar. Kita di bandar tak kenal jiran. Kita di bandar tak bertegur sapa, bahkan kita marah kalau ada orang menegur kesalahan anak kita. Yang kita bawa hanyalah sikap buruk kita, perangai hodoh kita. Tengoklah flat..." katanya lagi, "sampah penuh, berbau busuk...penyakit banyak...bla bla bla..."

Itu daripada segi kekampungannya. Yalah, tidak semua. Kan. begitu juga aku melihat dalam kes PPR di atas. Mereka itu dulunya tinggal secara 'biasa-biasa' dalam kemajuan bandar. Apabila melihat keadaan ini, dan keadaan mereka ini boleh 'mencacatkan' 'kemajuan' sesebuah bandar, maka kerajaan mengambil inisiatif untuk 'memodenkan' mereka. Terima kasih kepada kerajaan. Sekurang-kurangnya kerajaan prihatin kepada masalah mereka, yang dulunya berumah 'ala kadar' sahaja.

Kerajaan mengambil inisiatif untuk memberi kemudahan kelas 'pertama' kepada mereka. Boleh dipersoalkanlah kan sejauh mana pertamanya kemudahan tersebut, tetapi, secara bandingannya, ia jauh lebih baik daripada hal keadaan mereka dahulu. Lihatlah keadaan setinggan, dan lihat pula keadaan PPR. Aku selalu pergi ke Taman Maluri Cheras, dan dekat-dekat situ ada PPR...Wah, mewah, siap ada taman permainan kanak-kanak...ok lah kan. Tersusun. Selesa. (sedikit selesa - bagi yang tak bersyukur).

Namun, yang menimbulkan masalahnya adalah, mereka yang berpidah ini, daripada kehodohan tempat tinggal mereka yang lama kepada yang cantik, tidak berpindah daripada akhlak dan perangai yang hodoh dulunya diamalkan semasa tinggal di tempat yang hodoh kepada akhlak dan amalan dan sikap dan sifat yang murni dan terpuji dan mulia. Maka tinggallah mereka dalam mentaliti kelas ketiga itu terus-menerus, zaman berzaman.

Maka timbullak berita seperti di atas. Timbullah isu sampah, isu busuk, isu kotor. Tuan cantik. Rumah cantik. Taman cantik. Tapi busuk. Busuk kenapa? Kerana sampah, kerana najis. Kenapa ada sampah, ada najis? Kerana sikap sambil lewa dan tidak ambil peduli dan tidak ambil kesah dan tidak ambil berat. Inilah tuan-tuan perangai yang sangat kita sesalkan.

Banyak lagi yang boleh diperkatakan sebenarnya. Tetapi biarlah. Tak ada gunanya juga kita membuka pekung di dada. Bukankah?

Tuan-tuan, cuba kita melihat kepada masyarakat di Barat. (mungkin orang akan mempersoalkan - tapi tak mengapa - memang di mana-mana ada mentaliti kelas ketiga ini). Cuba lihat di Barat. Masyarakat mereka sangat mementingkan etika, nilai, akhlak dan moral dalam kehidupan mereka.

Kita bagi contoh ya, tentang kebersihan, sebab isi utama perbincangan kita hari ini adalah tentang kebersihan. Masyarakat di Barat sangat mementingkan kebersihan. Hatta sampahpun mereka basuh terlebih dahulu sebelum dibuang ke dalam tong sampah, supaya tidak berbau. Mereka mengasingkan sampah yang kering dengan sampah yang basah. Mereka menolong jiran mereka yang tidak peka untuk menguruskan sampah. Buktinya? Ha, pandai-pandailah cari sendiri...hahaha...

Tak ada kah masyarakat kita begitu? Adaaa..Cumanya...Hmmm..malas nak menyebut.

Baiklah. Daripada segi keselamatan sosial misalnya, keselamatan kanak-kanak, mereka sangat peka. Mereka sangat menjaga ketenteraman awam. Dengan kata mudahnya, mereka memiliki satu mentaliti kelas pertama. Sesuailah dengan kemajuan yang mereka miliki. (Walaupun akhlaknya bobrok!)

Kita? Usahkan nak basuh sampah tak nak bagi berbau, usahkan nak tolong buang sampah jiran, usahkan nak asingkan sampah kering dengan sampah basah; sudah ada tong sampah betul-betul depan matapun, boleh lagi buang sampah di tepinya alias di luarnya tong sampah itu. Tidakkah itu bahlol namanya? (kalau aku boleh sedikit berkasar).

Ok, kemudiannya, kita mengatakan kita Muslim. Ya, kita Muslim. Negara kita negara Islam. Ya, daripada satu sudutnya. Tetapi...ya, tetapi tuan-tuan, akhlak kita...sangat tidak Islam. Ya, sangat tidak Islam. Akhlak Islamkah itu baling-baling batu tenggiling dari tingkat atas ke bawah, baling singki ke bawah, padahal ada tong sampah? Hatta kalau tak ada tong sampah sekalipun, akhlak Islamkah itu baling-baling?

Kita hari ini Muslim pada nama, pada kad pengenalan, pada masyarakat, pada negara, tetapi tidak Islam pada akhlak dan muamalah dan perangai. Kita tahu bahawa Islam sangat menjaga akhlak dan Islamlah yang mampu membawa kemajuan kepada manusia.

Tetapi kita lihat Umat Islam, Muslim sangat mundur. Atau supaya tidak nampak terlalu teruk, kita katakan bahawa umat Islam mundur (tak ada sangat). Kenapa? Sebab mereka tidak mengikut garis-garis Islam, tidak mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh Islam. Alah, soal kebersihan itu kecil ajeee...kita kan sudah solat, pergi haji. Bagus! bagus sekali pemikiran seperti itu.

Kalau yang kecil-kecil begitupun kita tidak boleh bagi komitmen, bagaimana kita hendak berinteraksi dengan nilai-nilai dan ajaran-ajaran dan prinsip-prinsip besar Islam? Sebab itu hari ini banyak berlaku rasuah (walaupun tonggeng-tonggeng orang tahu itu haram), remaja minum arak (walaupun sejak kecil orang tahu itu haram). Sebabnya, kita tidak diajar untuk menghalusi perkara-perkara kecil seperti isu kebersihan dan mentaliti ini.

Kemudian, tinggallah kita berkekalan dalam mentaliti kelas ketiga keempat kelima itu. Bawa datanglah mekanisme manapun, bawa datanglah infrastuktur apapun, bawa datanglah kemudahan kelas pertamapun, semuanya tidak akan membawa manfaat sedikitpun. Beli bas baru, rosak. Buat taman permainan baru, hancur. Sediakan rumah lawa-lawa, busuk. Sediakan telefon awam, jahanam. Buat pagar landasan keretapi, gunting. Tandas awam, bergelumang tahi. Begitulah, dan sampai kiamat Malaysia ini tidak akan maju.

Maju itu bermula dalam diri. Maju bukan bererti ada bangunan tinggi, ada kemudahan canggih, tetapi maju adalah kemampuan menggunakan setiap nikmat yang Tuhan beri dengan penuh berhemah. Maju tak zaman Nabi? Maju! Dengan teknologi dan kemudahan yang ada, mereka menggunakan sebaik mungkin kearah kebaikan dan kelestarian.

Kita tidak dikira maju kalau sampai bumipun nak hancur.

Oleh itu, dalam semangat Hijrah ini, dan tahun baru Masihi yang sedikit hari lagi akan menjelma, alangkah baiknya kalau kita mampu berhijrah, bukan sahaja dari kampung ke bandar, tetapi daripada akhlak 'kampung' ke akhlak 'bandar'. Berhijrah dari akhlak 'setinggan' ke akhlak 'PPR'. Dengan erti kata lain, berhijrah dengan maju setapak dalam pengamalan akhlak harian. Mungkin kita di Malaysia ini sangat malas untuk membasuh sampah, tak mengapalah, memadai untuk meletakkan sampah dalam tongnya yang betul.

Tak perlu dah rasanya kerajaan menbazir duit menyiarkan lagu tandas dalam tv. Mentaliti kita ini, janganlah bila ada orang mengikut peraturan, kita booo pula dia dengan 'skema' dan sebagainya.

Kadang-kadang, bukan orang tak nak berakhlak mulia, tetapi, gelaran untuk orang yang berakhlak mulia itu sangat kejam sehingga membantutkan hasrat murni mereka. Usah ada lagi skema, lurus dan sebagainya.

begitulah. Maafkan atas penggunaan istilah yang tidak tepat.

=> dalam setiap denyut nadi, ada sebuah kerinduan.

p/s: mengalu-alukan tren laju KL-Ipoh. Ke Kelantan bila?

cuti yang tak berapa cuti...

Cuti aku semester lepas bermula berapa hari bulan ya? Akupun tak ingat. Tapi, tidak seperti kebiasaannya aku terus balik apabila bermulanya cuti, kali ini, aku menggagahkan diri untuk bertahan di UKM dahulu...Ada beberapa program yang aku ikuti semasa cuti kali ini. Adalah agak pelik juga bila aku fikirkan kembali, kerana biasanya sebelum ini aku tidak pernah mengorbankan cuti aku untuk mengikuti apa-apa program, melainkan yang wajib sahaja. Harap maaf, bila aku cuti, aku memang hendak berada di rumah. Sahaja! Mungkin bagi orang lain bercuti itu adalah cuti daripada belajar dan pergi bergembira dengan rakan-rakan, mengikuti perkhemahan, melancong, berkumpul dan bertemu dengan rakan lama, tetapi, aku tidak begitu. Cuti bagi aku adalah berada di rumah. Bersama-sama ayah, ibu, adik-beradik dan keluarga.

Tapi kali ini lain.

Program pertama di permulaan cuti. Aku mengikuti rombongan ke Seremban, Negeri Sembilan bersama Sekretariat Rakan Muda UKM. Apa nama program itu entah, akupun malas nak ingat..hahaha...jangan marah ya ketua pengarah dia.

Dalam mengikuti program ini, aku telah dilantik (konon-kononlah) sebagai...apa ya? entahlah, akupun tak ingat...hahaha....haru tak? Tapi tak mengapa, biar aku ceritakan benda lain.

Di Seremban, kami menginap di Hotel Sri Malaysia, dan aku sebilik dengan dua orang lagi sahabatku, sama-sama daripada Fakulti Pengajian Islam. Banyaklah kami berbincang tentang penerimaan orang terhadap kami, dan penghinaan orang terhadap kami. Kemudian ditambah lagi ada beberapa orang pelajar perempuan yang juga datang daripada Fakulti Pengajian Islam, perbincangan kami menjadi lebih menarik. Sampaikan kami secara berseloroh mengatakan bahawa PhD kami hanyalah mengira populasi cicak di masjid sahaja. Ok lah kan...

Kami semacam satu kepala. Kebetulan pula aku pergi ke sana memang untuk mengambil sedikit angin selepas tamat musim peperiksaan. Jadi, akupun buatlah perangai sedikit sebanyak. Sampaikan bila dekat-dekat nak balik, aku secara bersahaja membuat polemik, dengan mencipta istilah 'geng FI'. Dan kami yang satu bilik berseloroh pula, "kamu daripada fakulti apa?", "FIS, Fakulti Islam Sosial." Hahaha...

Dan kamipun baliklah. Tetapi aku tidak terus pulang ke kampung. Aku bertahan dahulu beberapa hari di UKM, menginap di rumah sahabatku yang sama-sama ke Seremban sebelumnya. Hal ini kerana aku terpaksa...terpaksa apa ya? hmm, terpaksa...apa ayat dia ya? Sekejap...terpaksa menduduki ujian JPJ. Menduduki? Mendudukilah kot. Mengambillah sedap sikti. Aku mengambil ujian JPJ. Apabila sudah dapat lesen P, akupun baliklah. Rugi wooo...Hangus seminggu lebih cuti aku.

Aku balik, sudah dekat sangat hendak raya haji. Kemudian, raya hajipun datanglah. Emak aku tidak membuat ketupat, kerana beberapa sebab. Dan nenek aku melakukan ibadah korban.

Raya Haji 27 hari bulan kan? 30 hari bulan, aku datang lagi ke UKM. Sedih tau. Rugi cuti aku. Tapi tak mengapa, kerana aku datang adalah kerana (apa punya belit dah ayat) untuk menyertai Debat Bahasa Arab antara IPT 2009 yang bertempat di UM. Sampai 1hb di UKM, kami dalam kekalutan telah membuat beberapa persediaan. Tapi mana cukup beb. Dengan tak ada pengalamannya lagi...

3hb, kami berangkat ke UM. Dan bermulalah satu episod lagi kenakalan aku. Entah mengapa, entah diserang angin apa, entah disampuk apa, aku menjadi terlebih teruja, dan seorang kawan daripada UPSI menggelar kami (aku dan beberapa orang lagi) 'kepoh'...hahahaha...padan muka siapa-siapa yang menjadi mangsa. Kami segera akrab dengan 'runner' yang cantik-cantik dan manis-manis, segera mesra dengan kawan dari UPSI, UMK, UM dan lain-lain lagi. Dan aku digelar 'Abu Sorfi'...hahahahahaha..(Aku tengah gelak ni sambil taip).

tapi yang menjadi masalahnya, bila tiba waktu berdebat, aku jadi tergagap. Yelah, ingat senangkah nak bercakap arab. Spontan pula. Kalau orang hebat tak mengapalah kan. Ini aku, yang tak mengerti. Maka hancurlah pasukan debat bahasa Arab B UKM.

Tak mengapa. Yang penting, aku mendapat banyak pelajaran, pengajaran dan pengalaman. Aku mendapat beberapa nasihat berguna daripada para hakim; satunya, perubahan itu roh kepada kehidupan. Hanya mati sahaja tidak perlu kepada perubahan. Jadi, aku mesti berubah ke arah yang lebih baik, dan berubah dan berusaha berubah untuk terus menguasai bahasa Arab dengan lebih baik. Begitulah.

Kemudian kamipun balik. Aku boleh berbangga dengan pencapaian aku. Puihh..

Aku tidak terus balik kampung. Tidak tuan-tuan. tapi, aku melencong pula ke Port Dickson untuk menyertai Kolokium Sekretariat Rukun Negara, wakil UKM la ni...hahaha..seluruh IPTA dan IPTS ada datang, dan UKM sedikit menyerlah dengan pengelibatan sahabat-sahabatku, terutamanya pengerusi kami. Aku pergi sekadar mencukupkan korum sahaja. Dan aku pergi untuk makan. Hahaha

Kat sini, ada orang panggil aku ustaz...mana aci begitu.

Kemudian akupun baliklah pada 11hb. Lama tu beb.

Duduk di rumah dua tiga hari, aku terpaksa datang lagi ke UKM. Kenapa? Kerana semester baru akan bermula. Bila aku bersiap hendak kembali ke UKM, mak aku bertanya, "Berapa hari je cuti?"

"Cuti sebenarnya sebulan lima hari. Sebulan lebih seminggu. Sebulan tujuh hari."

Itu sahajalah.

nanti aku letak beberapa keping gambar. kalau ada salah eja, maaf. aku malas nak semak. esok-esoklah ya.

p/s: 1Malaysia.

salam

Masa terus berlalu, berdetak dan berdegup, dengan setia merakam setiap kisah manusia dan segala isi dunia untuk menjadi sejarah esoknya. Bilah-bilah hari bergantian, yang pergi tak akan berpatah kembali lagi. Ia pergi bersama kenangan, bersama sejumlah kejayaan dan juga beberapa kegagalan dalam hidup manusia.

Begitulah, dan aku hari ini kembali datang ke UKM untuk memulakan satu semester baru. Percaya ataupun tidak, aku sudah menginjak semester empat di UKM ini.

Keputusan peperiksaan semester tiga sudahpun diumumkan, dan aku sedikit kecewa. Sedikit sahaja,kerana aku rasa aku patut lebih banyak bersyukur. Aku kecewa kerana tidak mencapai sasaran dan ada subjek yang aku tak jangka aku akan dapat A-. Mana aci begitu... Keputusan aku jatuh berbanding dengan semester lepas. Itulah, banyak main. Tapi, yang syukurnya, aku cuma jatuh 0.01 sahaja, dan pngk aku naik 0.01...hahaha...

Aku kembali ke UKM hari ini menunggang motosikal. Ditimpa hujan dalam perjalanan. Biasalahkan.

Sampai di UKM, aku berasa sunyi sangat-sangat. Kemudian, kesedihanpun mengambil tempat dalam hati. Sedih apabila memikirkan apa yang telah berlaku, apa yang telah hilang. Sedih apabila mengenangkan kenangan-kenangan semalam. Semuanya telah pergi. Kemudian sedih pula memikirkan hari-hari mendatang, bagaimana harus aku hadapi. Tabahkah aku? Kuatkah?

Akhirnya aku tak mahu berfikir apa-apa. Dan ia mematikan daya kreativiti aku. Mematikan idea aku. Aku tak mampu untuk menghasilkan apa-apa buah fikiran.

Dan aku hidup begitu-begitu juga. Satu-satunya perkara yang boleh aku buat adalah datang ke kelas dan mendengar kuliah. Itupun datang dengan separuh perasaan. Dengar kuliahpun separuh perhatian. Maka keputusan peperiksaanpun separuh-separuh sahajalah.

Tak mengapa, semester ini banyak perancangannya.

Ah, malas nak menulis lagi. Tak mengapalah, nanti aku ceritakan lagi....

Hmmm, syukur itu kunci kebahagiaan. Aku ingin bersyukur. Kerana aku ingin hidup bahagia. Aku ingin bahagia. Hmmmm, bersyukurkah aku?

Ya Allah, aku inginkan kebahagiaan. Aku inginkan kedamaian. Aku inginkan ketenangan hati. Hmmm, bukankah itu kehendak semua manusia? Bukankah kita sering melihat betapa ramai orang yang menumpuk harta kerana ingin hidup senang dan bahagia? Tapi tak juga didapatkannya. Bukankah kita sering melihat betapa manusia bersuluk, menyendiri, menjauhkan dunia kerana ingin tenang dan bahagia? Tetapi tidak juga didapatkannya? Bukankah kita sering melihat ramai manusia menogok arak hingga berbuih mulut semata-mata ingin melupakan semua masalah dan mendapat ketenangan jiwa? Bukankah kita sedar bahawa mereka tidak pernah mendapatkan apa yang mereka inginkan itu?

Kemudian, bukankah kita orang Islam selalu sedar bahawa punca ketenangan jiwa dan kedamaian hati itu hanya ada pada Tuhan Pencipta jiwa? Bukankah kita selalu sedar bahawa cara terbaik untuk mendapatkan kebahagiaan adalah dengan duduk bersimpuh di kaki Tuhan Yang Maha Pengasih?

Maka mengapa kita masih terlolong-lolong? Maka mengapa kita masih mengecer-ecer cerita...

Sebagai penutupnya, kita mungkin boleh mendapatkan tilam yang cukup empuk, tetapi, kita belum tentu dikurniakan tidur yang lena.

Sekian dulu aku merapu pada malam ini.

p/s: belajarlah bahasa Mandarin seperti seruan PM 1Malaysia.