salam

Masa terus berlalu, berdetak dan berdegup, dengan setia merakam setiap kisah manusia dan segala isi dunia untuk menjadi sejarah esoknya. Bilah-bilah hari bergantian, yang pergi tak akan berpatah kembali lagi. Ia pergi bersama kenangan, bersama sejumlah kejayaan dan juga beberapa kegagalan dalam hidup manusia.

Begitulah, dan aku hari ini kembali datang ke UKM untuk memulakan satu semester baru. Percaya ataupun tidak, aku sudah menginjak semester empat di UKM ini.

Keputusan peperiksaan semester tiga sudahpun diumumkan, dan aku sedikit kecewa. Sedikit sahaja,kerana aku rasa aku patut lebih banyak bersyukur. Aku kecewa kerana tidak mencapai sasaran dan ada subjek yang aku tak jangka aku akan dapat A-. Mana aci begitu... Keputusan aku jatuh berbanding dengan semester lepas. Itulah, banyak main. Tapi, yang syukurnya, aku cuma jatuh 0.01 sahaja, dan pngk aku naik 0.01...hahaha...

Aku kembali ke UKM hari ini menunggang motosikal. Ditimpa hujan dalam perjalanan. Biasalahkan.

Sampai di UKM, aku berasa sunyi sangat-sangat. Kemudian, kesedihanpun mengambil tempat dalam hati. Sedih apabila memikirkan apa yang telah berlaku, apa yang telah hilang. Sedih apabila mengenangkan kenangan-kenangan semalam. Semuanya telah pergi. Kemudian sedih pula memikirkan hari-hari mendatang, bagaimana harus aku hadapi. Tabahkah aku? Kuatkah?

Akhirnya aku tak mahu berfikir apa-apa. Dan ia mematikan daya kreativiti aku. Mematikan idea aku. Aku tak mampu untuk menghasilkan apa-apa buah fikiran.

Dan aku hidup begitu-begitu juga. Satu-satunya perkara yang boleh aku buat adalah datang ke kelas dan mendengar kuliah. Itupun datang dengan separuh perasaan. Dengar kuliahpun separuh perhatian. Maka keputusan peperiksaanpun separuh-separuh sahajalah.

Tak mengapa, semester ini banyak perancangannya.

Ah, malas nak menulis lagi. Tak mengapalah, nanti aku ceritakan lagi....

Hmmm, syukur itu kunci kebahagiaan. Aku ingin bersyukur. Kerana aku ingin hidup bahagia. Aku ingin bahagia. Hmmmm, bersyukurkah aku?

Ya Allah, aku inginkan kebahagiaan. Aku inginkan kedamaian. Aku inginkan ketenangan hati. Hmmm, bukankah itu kehendak semua manusia? Bukankah kita sering melihat betapa ramai orang yang menumpuk harta kerana ingin hidup senang dan bahagia? Tapi tak juga didapatkannya. Bukankah kita sering melihat betapa manusia bersuluk, menyendiri, menjauhkan dunia kerana ingin tenang dan bahagia? Tetapi tidak juga didapatkannya? Bukankah kita sering melihat ramai manusia menogok arak hingga berbuih mulut semata-mata ingin melupakan semua masalah dan mendapat ketenangan jiwa? Bukankah kita sedar bahawa mereka tidak pernah mendapatkan apa yang mereka inginkan itu?

Kemudian, bukankah kita orang Islam selalu sedar bahawa punca ketenangan jiwa dan kedamaian hati itu hanya ada pada Tuhan Pencipta jiwa? Bukankah kita selalu sedar bahawa cara terbaik untuk mendapatkan kebahagiaan adalah dengan duduk bersimpuh di kaki Tuhan Yang Maha Pengasih?

Maka mengapa kita masih terlolong-lolong? Maka mengapa kita masih mengecer-ecer cerita...

Sebagai penutupnya, kita mungkin boleh mendapatkan tilam yang cukup empuk, tetapi, kita belum tentu dikurniakan tidur yang lena.

Sekian dulu aku merapu pada malam ini.

p/s: belajarlah bahasa Mandarin seperti seruan PM 1Malaysia.

No comments: