Apa nak jadi...

Hari ini, mari kita bercerita tentang mentaliti kelas ketiga. Biar kita definisikan mentaliti kelas ketiga itu dengan satu sikap yang kolot, mundur, tiada sivik dan lain-lain lagi perangai hodoh.

Sebelum kita mengupas tentang mentaliti kelas ketiga ini, ada baiknya kalau kita membaca satu berita yang disiarkan di akhbar Kosmo! hari ini. Kita petik ke sini:-

Ancaman objek terbang - Pelbagai benda dibuang dari tingkat atas termasuk batu giling, sinki

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammarjazlan.madlela@kosmo.com.my

ABDUL HAMID (kiri) dan Md. Saleh menunjukkan batu giling yang dibuang penghuni di PPR Batu Muda, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Impian mempunyai kediaman sendiri walaupun sekadar rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sudah pasti menggembirakan.

Bagaimanapun, bagi penduduk di PPR Batu Muda khususnya di Blok F di sini, impian tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri ekoran sikap segelintir penghuninya yang kurang kesedaran sivik.

Walaupun disediakan rumah sampah namun ada pihak yang mengambil jalan mudah membuang sampah dari tingkat atas kediaman masing-masing.

Sebut apa sahaja daripada objek plastik hingga kepada kasut, sinki, topi keledar malah batu giling turut dibuang oleh penghuninya.


GAMBAR KANAN: Serpihan sinki yang dibuang oleh penghuni tidak bertanggungjawab di PPR Batu Muda, Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi Surau Al-Muhajirin, Abdul Hamid Abdul Ghani berkata, keadaan itu sudah berlarutan sejak PPR itu mula dihuni sejak lebih setahun lalu.

"Bagaimanapun, ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, jika dulu sekadar sampah atau botol plastik sahaja kini ia membabitkan objek-objek berbahaya.

"Setakat ini, seorang penduduk cedera akibat terkena serpihan sinki yang dibuang dan kami tidak tahu siapa yang bertanggungjawab kerana PPR ini mempunyai 17 tingkat," katanya di sini semalam.

Abdul Hamid berkata, ekoran kejadian itu, para penghuni blok berkenaan semakin bimbang dan sentiasa berwaspada untuk keluar dan masuk ke kediaman masing-masing.

(sumber: klik di sini)


Berita ini dengan jelasnya menunjukkan kepada kita tentang budaya dan mentaliti dan sikap dan perangai kelas ketiga yang masih wujud dan berkembang subur dalam masyarakat kita pada hari ini, termasuk masyarakat bandar yang selalu dikatakan maju dan setapak ke depan berbanding masyarakat di kampung-kampung. Dan berita di atas dengan sejelas-jelasnya mengkhabarkan bahawa ia memang dilakukan oleh penduduk bandar, atau mungkin sedikit pinggir bandar.

Bandar ataupun tidak tuan-tuan, ia tidak menjamin tahap mentaliti seseorang. Ramai juga penduduk kampung sangat tinggi dan maju mentalitinya. Sebab itu adalah tidak wajar mengkampungkan orang-orang yang bermentaliti kelas ketiga ini.

Baiklah. Bagaimana mentaliti ini masih wujud dalam masyarakat kita? Aku pernah bersembang dengan seorang rakan tentang masalah ini. Aku berkata, "saya berpendapat bahawa orang yang tinggal di bandar itu datangnya dari kampung. Dan mereka masih mengekalkan ciri-ciri kekampungan mereka itu. Mereka membuang sampah merata-rata, membuat pembakaran terbuka...bla bla bla...Di kampung tak mengapalah kalau membakar sampah secara terbukapun..."

Maka rakan saya itu menjawab. Dia jawab begini:

"Akupun hairan," katanya. "Sebanyak-banyak benda di kampung itu, ciri kotor itu juga hendak di bawa ke bandar. Padahal di kampung ada budaya tolong-menolong. Di kampung ada budaya tegur-menegur. Di kampung, kita kenal jiran kita, bahkan satu kampung kita kenal. Di kampung ada semangat gotong royong. Banyak benda baik ada di kampung. Tapi kita tak bawa ke bandar. Kita di bandar tak kenal jiran. Kita di bandar tak bertegur sapa, bahkan kita marah kalau ada orang menegur kesalahan anak kita. Yang kita bawa hanyalah sikap buruk kita, perangai hodoh kita. Tengoklah flat..." katanya lagi, "sampah penuh, berbau busuk...penyakit banyak...bla bla bla..."

Itu daripada segi kekampungannya. Yalah, tidak semua. Kan. begitu juga aku melihat dalam kes PPR di atas. Mereka itu dulunya tinggal secara 'biasa-biasa' dalam kemajuan bandar. Apabila melihat keadaan ini, dan keadaan mereka ini boleh 'mencacatkan' 'kemajuan' sesebuah bandar, maka kerajaan mengambil inisiatif untuk 'memodenkan' mereka. Terima kasih kepada kerajaan. Sekurang-kurangnya kerajaan prihatin kepada masalah mereka, yang dulunya berumah 'ala kadar' sahaja.

Kerajaan mengambil inisiatif untuk memberi kemudahan kelas 'pertama' kepada mereka. Boleh dipersoalkanlah kan sejauh mana pertamanya kemudahan tersebut, tetapi, secara bandingannya, ia jauh lebih baik daripada hal keadaan mereka dahulu. Lihatlah keadaan setinggan, dan lihat pula keadaan PPR. Aku selalu pergi ke Taman Maluri Cheras, dan dekat-dekat situ ada PPR...Wah, mewah, siap ada taman permainan kanak-kanak...ok lah kan. Tersusun. Selesa. (sedikit selesa - bagi yang tak bersyukur).

Namun, yang menimbulkan masalahnya adalah, mereka yang berpidah ini, daripada kehodohan tempat tinggal mereka yang lama kepada yang cantik, tidak berpindah daripada akhlak dan perangai yang hodoh dulunya diamalkan semasa tinggal di tempat yang hodoh kepada akhlak dan amalan dan sikap dan sifat yang murni dan terpuji dan mulia. Maka tinggallah mereka dalam mentaliti kelas ketiga itu terus-menerus, zaman berzaman.

Maka timbullak berita seperti di atas. Timbullah isu sampah, isu busuk, isu kotor. Tuan cantik. Rumah cantik. Taman cantik. Tapi busuk. Busuk kenapa? Kerana sampah, kerana najis. Kenapa ada sampah, ada najis? Kerana sikap sambil lewa dan tidak ambil peduli dan tidak ambil kesah dan tidak ambil berat. Inilah tuan-tuan perangai yang sangat kita sesalkan.

Banyak lagi yang boleh diperkatakan sebenarnya. Tetapi biarlah. Tak ada gunanya juga kita membuka pekung di dada. Bukankah?

Tuan-tuan, cuba kita melihat kepada masyarakat di Barat. (mungkin orang akan mempersoalkan - tapi tak mengapa - memang di mana-mana ada mentaliti kelas ketiga ini). Cuba lihat di Barat. Masyarakat mereka sangat mementingkan etika, nilai, akhlak dan moral dalam kehidupan mereka.

Kita bagi contoh ya, tentang kebersihan, sebab isi utama perbincangan kita hari ini adalah tentang kebersihan. Masyarakat di Barat sangat mementingkan kebersihan. Hatta sampahpun mereka basuh terlebih dahulu sebelum dibuang ke dalam tong sampah, supaya tidak berbau. Mereka mengasingkan sampah yang kering dengan sampah yang basah. Mereka menolong jiran mereka yang tidak peka untuk menguruskan sampah. Buktinya? Ha, pandai-pandailah cari sendiri...hahaha...

Tak ada kah masyarakat kita begitu? Adaaa..Cumanya...Hmmm..malas nak menyebut.

Baiklah. Daripada segi keselamatan sosial misalnya, keselamatan kanak-kanak, mereka sangat peka. Mereka sangat menjaga ketenteraman awam. Dengan kata mudahnya, mereka memiliki satu mentaliti kelas pertama. Sesuailah dengan kemajuan yang mereka miliki. (Walaupun akhlaknya bobrok!)

Kita? Usahkan nak basuh sampah tak nak bagi berbau, usahkan nak tolong buang sampah jiran, usahkan nak asingkan sampah kering dengan sampah basah; sudah ada tong sampah betul-betul depan matapun, boleh lagi buang sampah di tepinya alias di luarnya tong sampah itu. Tidakkah itu bahlol namanya? (kalau aku boleh sedikit berkasar).

Ok, kemudiannya, kita mengatakan kita Muslim. Ya, kita Muslim. Negara kita negara Islam. Ya, daripada satu sudutnya. Tetapi...ya, tetapi tuan-tuan, akhlak kita...sangat tidak Islam. Ya, sangat tidak Islam. Akhlak Islamkah itu baling-baling batu tenggiling dari tingkat atas ke bawah, baling singki ke bawah, padahal ada tong sampah? Hatta kalau tak ada tong sampah sekalipun, akhlak Islamkah itu baling-baling?

Kita hari ini Muslim pada nama, pada kad pengenalan, pada masyarakat, pada negara, tetapi tidak Islam pada akhlak dan muamalah dan perangai. Kita tahu bahawa Islam sangat menjaga akhlak dan Islamlah yang mampu membawa kemajuan kepada manusia.

Tetapi kita lihat Umat Islam, Muslim sangat mundur. Atau supaya tidak nampak terlalu teruk, kita katakan bahawa umat Islam mundur (tak ada sangat). Kenapa? Sebab mereka tidak mengikut garis-garis Islam, tidak mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh Islam. Alah, soal kebersihan itu kecil ajeee...kita kan sudah solat, pergi haji. Bagus! bagus sekali pemikiran seperti itu.

Kalau yang kecil-kecil begitupun kita tidak boleh bagi komitmen, bagaimana kita hendak berinteraksi dengan nilai-nilai dan ajaran-ajaran dan prinsip-prinsip besar Islam? Sebab itu hari ini banyak berlaku rasuah (walaupun tonggeng-tonggeng orang tahu itu haram), remaja minum arak (walaupun sejak kecil orang tahu itu haram). Sebabnya, kita tidak diajar untuk menghalusi perkara-perkara kecil seperti isu kebersihan dan mentaliti ini.

Kemudian, tinggallah kita berkekalan dalam mentaliti kelas ketiga keempat kelima itu. Bawa datanglah mekanisme manapun, bawa datanglah infrastuktur apapun, bawa datanglah kemudahan kelas pertamapun, semuanya tidak akan membawa manfaat sedikitpun. Beli bas baru, rosak. Buat taman permainan baru, hancur. Sediakan rumah lawa-lawa, busuk. Sediakan telefon awam, jahanam. Buat pagar landasan keretapi, gunting. Tandas awam, bergelumang tahi. Begitulah, dan sampai kiamat Malaysia ini tidak akan maju.

Maju itu bermula dalam diri. Maju bukan bererti ada bangunan tinggi, ada kemudahan canggih, tetapi maju adalah kemampuan menggunakan setiap nikmat yang Tuhan beri dengan penuh berhemah. Maju tak zaman Nabi? Maju! Dengan teknologi dan kemudahan yang ada, mereka menggunakan sebaik mungkin kearah kebaikan dan kelestarian.

Kita tidak dikira maju kalau sampai bumipun nak hancur.

Oleh itu, dalam semangat Hijrah ini, dan tahun baru Masihi yang sedikit hari lagi akan menjelma, alangkah baiknya kalau kita mampu berhijrah, bukan sahaja dari kampung ke bandar, tetapi daripada akhlak 'kampung' ke akhlak 'bandar'. Berhijrah dari akhlak 'setinggan' ke akhlak 'PPR'. Dengan erti kata lain, berhijrah dengan maju setapak dalam pengamalan akhlak harian. Mungkin kita di Malaysia ini sangat malas untuk membasuh sampah, tak mengapalah, memadai untuk meletakkan sampah dalam tongnya yang betul.

Tak perlu dah rasanya kerajaan menbazir duit menyiarkan lagu tandas dalam tv. Mentaliti kita ini, janganlah bila ada orang mengikut peraturan, kita booo pula dia dengan 'skema' dan sebagainya.

Kadang-kadang, bukan orang tak nak berakhlak mulia, tetapi, gelaran untuk orang yang berakhlak mulia itu sangat kejam sehingga membantutkan hasrat murni mereka. Usah ada lagi skema, lurus dan sebagainya.

begitulah. Maafkan atas penggunaan istilah yang tidak tepat.

=> dalam setiap denyut nadi, ada sebuah kerinduan.

p/s: mengalu-alukan tren laju KL-Ipoh. Ke Kelantan bila?

No comments: