Pernahkah anda membaca novel 'Matahari di Atas Gilli' karya Lintang Sugianto? Bagi saya novel ini sangat berbekas di jiwa. Ia mengisahkan tentang seorang isteri yang sarat mengandung ditinggalkan suami untuk mencari sejernih rezeki. Sebelum pergi, dia berjanji akan pulang pada suatu jangka masa. Maka isteripun setia di pulau menunggu sang suami pulang, untuk menyulam kasih kembali. Dia tidak berseorangan menunggu, sebaliknya, dia bersama-sama anaknya setia di pelabuhan, mengintai setiap layar yang berlabuh.
Sang suami sebaliknya sedikit mungkir janji. Dia melanjutkan tempoh musafirnya. Bukan suka-suka, bukan tidak rindu isteri, tetapi kerana ingin menambah sedikit rezeki, untuk mengabulkan janjinya, membahagiakan hati isteri.
Si isteri tidak jemu menunggu dengan perut yang makin membesar, dengan kandungan yang makin matang. Suami akhirnya pulang juga, tetapi, terkandas pula di daratan sebelah sana, kerana berlaku sedikit kecelakaan.
Apabila semuanya sudah reda, suami akhirnya menjejakkan kaki di pulaunya, pulau tempat kekasih hatinya saban hari setia menunggu. Namun, takdirnya, sang isteri kembali dulu dijemput Ilahi, dengan meninggalkan seorang waris hasil cintanya kepada suami.
Akibatnya, suami menjadi gila.
Itu novel.
Tadi, selepas mandi, sementara menunggu waktu Maghrib, saya ada membelek-belek buku Maharat Istima' wal Fahm yang baru dibeli petang tadi (kawan tolong bayarkan dulu). Saya sempat membaca kisah perkahwinan bapa dan ibu Nabi s.a.w yang ada di dalam buku tersebut. Kemudian, saya terfikirkan sesuatu, dan menyebabkan saya hiba sendiri.
Abdullah dan Aminah, selepas berkahwin, menikmati hari-hari bahagia bersama-sama, menyulam kasih, mengikat janji dan menabur cinta.
Namun, bukan tugasnya lelaki untuk duduk goyang kaki berlenang-lenang. Belum habis menikmati 'bulan madu', Abdullah 'terpaksa' berpergian untuk mencari sesuap rezeki. Lelaki yang perkasa adalah lelaki yang kuat berusaha untuk membahagiakan keluarga.
Abdullahpun pergi mengikuti rombongan dagang ke Syam. Syam yang letaknya jauh di utara semenanjung Tanah Arab, hanya dituju dengan menunggang unta merentas padang pasir. Abdullah pergi meninggalkan kekasih, menitipkan benih cinta. Tunggu kepulanganku.
Saya tidak berapa mengetahui sejarahnya. Tetapi saya bayangkan begini:
Abdullah pergi bukan sehari. Aminahpun sabar menunggu di Makkah, sabar menunggu kekasih yang dicintai. Abdullah berdagang di Syam, menjual dan membeli barang.
Kemudian tiba waktu pulang. Abdullah membeli banyak hadiah untuk Aminah. Abdullah pulang dengan gembira, dengan penuh hati. Gembira akan bertemu lagi dengan kekasih yang ditinggalkan.
Takdirnya, Abdullah sakit dalam perjalanan pulang dan ditinggalkan di Madinah, lalu akhirnya meninggal di sana.
Orang zaman itu tiada telefon bimbit, tiada TV, dia semua jenis alat perhubungan canggih seperti hari ini. Yang ada khabar daripada mulut orang. Jadi, Aminah di Makkah hanya mampu menunggu, menanti detik ketibaan suaminya dengan penuh harap, penuh sabar, penuh setia.
Pedagang pergi dan pulang, ada musimnya. Semakin dekat musim pulang, semakin gembira, semakin besar pengharapan untuk menatap wajah suami lagi.
Hati semakin dipenuhi rindu.
Begitulah, rombongan pedagang berdatangan pulang, sehinggalah sampai khabar kepada Aminah bahawa kekasihnya, suaminya Abdullah tidak akan pulang lagi sampai bila-bila. Tidak akan untuk selama-lamanya. Tidak akan dapat menatap wajahnya lagi, tidak akan mampu mengusap bahagia lagi, tidak akan ada waktu untuk menyulam kasih lagi.
Bayangkan betapa remuknya hati seorang kekasih yang setiap hari sabar menunggu kepulangan kekasih, tetapi yang hadir cuma seberkas berita menghancurkan rasa. Bayangkan apa perasaannya apabila mengetahui satu hakikat bahawa suaminya tidak akan pulang lagi untuk menguntum senyum kepadanya.
Aminah tabah...
Semua bayangan itu membuatkan saya sayu sendiri. Kemudian, saya ingin beristighfar memohon keampunan kepada Allah, kalau-kalau dengan bayangan-bayangan ini, saya telah menyentuh peribadi ayah dan bonda Nabi.
Selawat dan Salam ke atas Nabi, keluarga dan sahabat baginda.
Betapa sedihnya ditinggal sendiri.
=> dan dalam setiap denyut nadi, ada sebuah kerinduan.
No comments:
Post a Comment