Mengapa Harus Berbeza?

Aku tak pernah mengerti. Aku tak pernah mengerti dengan orang-orang dan golongan-golongan yang suka sangat mencari dan menonjolkan perbezaan. Suka sangat menyebut-nyebut perbezaan, dan suka sangat membeza-beza.

Memang, aku tidak pernah menafikan bahawa setiap makhluk itu sangat berbeza. Biar aku kecilkan skop. Kita bicarakan sahaja soal manusia. Ya, memang manusia antara seorang dengan seorang yang lain sangat berbeza. Antara satu golongan dengan golongan yang lain pasti berbeza. Pasti berbeza walaupun sedikit. Pasti ada. Kerana memang Tuhan ciptakan setiap sesuatu itu berbeza-beza. Sengaja Tuhan ciptakan begitu.

Sengaja.

Akan tetapi, perbezaan itu diciptakan bukan untuk diperbesar-besarkan, sehingga menimbulkan permusuhan dan persengketaan. Perbezaan diciptakan bukan untuk meluaskan jurang antara manusia. Bukan. Bahkan perbezaan itu diciptakan untuk mewarnawarnikan dunia ini, menghiasi hidup manusia. Perbezaan diciptakan dengan tujuan utamanya, untuk saling berkenalan dan saling menghormati, menumpahkan kasih sayang. Renunglah ayat Quran, jangan sekadar baca sambil lalu sahaja. Bukankah Allah ada menyatakan bahawa Dia menciptakan manusia itu bersuku-suku dan berbangsa-bangsa hanya supaya manusia itu dapat saling mengenali? Mengenali apa? Mengenali perbezaan dan mengenali keindahan perbezaan itu.

Maka Allah menyatakan, orang yang paling mulia adalah orang yang paling bertaqwa.

Oleh itu, aku sekali lagi berasa hairan kepada orang yang suka melebarkan perbezaan. Mengapa terlalu gembira mewujudkan jurang? Tambah lagi, unsur perbezaan itu ditokok dengan nafsu dan emosi.

Maka lahirlah (maafkan aku) 'dia itu Wahabi' 'itu ahli bid'ah', 'dia itu jemaah lain', 'jangan ikut dia, dia JIM', 'kuat PAS tu', 'ahli amno tu', 'kaum muda tu', 'ortodoks tu', 'keluaran pondok tu', 'dia tu Jabatan Quran Sunnah tu, anak murid ustaz sekian-sekian', bla bla bla..

"Dia tak baca qunut tu."

"Bid'ah sesat tu."

Habis cerita.

Itu baru selingkar 'Ahli Sunnah wal Jamaah'. Kalau nak tepat sikit, itu baru selingkar Malaysia. Kalau tengok luas sikit, ada lagi, 'itu Syiah, sesat'. Kalau luas lagi, 'Kristian tu, kafir!!!'

Seperti yang aku nyatakan awal-awal tadi, tidak salah wujudnya perbezaan. Sebab memang Allah jadikan begitu. Tetapi, yang sangat aku hairankan, mengapa terlalu bersemangat untuk membeza-beza? Mengapa?

Aku tak kisah kalau disebut perbezaan hanya sekadar keperluan. Contoh, "Adzim mana?" "Alaa, Adzim Quran Sunnah tu." Ok.

Tetapi malangnya, ramai yang menyebut perbezaan dengan nada membenci. 'Ahli bid'ah' sangat membenci 'Wahabi'. 'Wahabi' sangat menyesatkan 'ahli bid'ah'. (Segelintir sahaja yang berperangai begini sebenarnya, tetapi sudah cukup untuk membuat aku hairan). (Jangan marah dengan label-label yang aku tulis, sebab itulah yang selalu menyapa kuping aku yang dua ini). Orang yang mengikut usrah PAS sangat membenci golongan yang mengikut usrah JIM (istilah sahaja, ok).

Dan kebencian-kebencian ini, perbezaan-perbezaan ini melenyapkan titik kebersamaan kita. Betapa perbezaan diperbesarkan sehingga tiada ruang lagi untuk bersatu. Tiada jalan lagi untuk ahli bid'ah duduk berbincang dan bertukar hujah dengan ahli wahabi. Tiada jalan lagi pengikut usrah ini untuk berkongsi idea dengan pengikut usrah tersebut.

Mengapa kita tidak boleh duduk di atas satu (atau beberapa) titik persamaan? Mengapa kita tidak pernah cuba mengiktiraf bahawa antara kita banyak persamaan?

Kita bersama di atas kalimah tauhid. Kita sama-sama mengucap syahadat. Kita sama-sama mengikuti (atau berusaha) mengikuti Rasul. Kita solat. Kita mengadap Tuhan yang satu; sama-sama taat untuk mengadap kepala ke Baitullah. Sama-sama. Serupa.

Maka mengapa kita terlalu membesarkan 'dia tu syiah'-'sesat!'.

Siapa yang betul, siapa yang salah, itu terpulang kepada hujjah, dan Allah telah nyatakan bahawa orang yang paling mulia adalah orang yang paling bertaqwa. Mengapa kita perlu membenci orang lain yang tidak sama pemahaman dengan kita, sedangkan Allah tetap setia menilai ukur taqwa kita.

Ya, kebenaran haruslah disampaikan. Tetapi bukan dengan memperbesarkan nilai perbezaan. Cuba lihat Nabi Muhammad, bagaimana baginda menyampaikan kebenaran kepada raja Rom. Baginda tidak pernah membangkitkan 'Wahai kafir, engkau sekarang dalam kesesatan. Aku yang benar.' Tak pernah. Diulangi, tak pernah.

Apa nabi tulis dalam surat baginda? Antara pokok isinya, antara lain (lebih kurang) "Wahai ahli kitab, kita menyembah Tuhan yang sama." Kita menyembah Tuhan yang sama. Kalau Nabi boleh mengungkapkan begitu di dalam suratnya kepada orang yang pada pemahaman kita sangatlah kafir, maka mengapa kita tidak pernah cuba untuk menyatakan, 'kita menyembah Tuhan yang sama, Tuhan Yang Satu' kepada saudara kita, yang hanya berbeza dalam masalah qunut, yang berbeza dalam masalah imamiah, berbeza dalam masalah fiqh.

Itulah puncanya mengapa dakwah kita sangat dibenci orang. Diulangi, dakwah kita sangat dibenci orang. Sebab? Kita suka sangat melihat perbezaan.

Lihat kepada sukarelawan-sukarelawan 'kafir'. Sebelum itu, lihat kepada negara-negara 'malang' di seluruh dunia, siapa yang lebih ramai hadir menjadi sukarelawan? Mengapa ada di Palestin, sebuah negara berkomuniti Islam, ada sukarelawan bukan Islam?

Lihat kepada sukarelawan bukan Islam. Mengapa mereka datang dan menyukarelakan diri mereka membantu umat Islam? Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana dalam jiwa mereka di tanam semangat persamaan. Ya, mereka lihat banyak persamaan. Mereka lihat mangsa perang, tak kira Muslim, Kristian, Buddha atau apa sahaja, memiliki satu persamaan, iaitu, mereka memiliki hak asasi manusia. Maka mereka bergerak atas landasan hak asasi manusia.

Mereka menyedari setiap manusia mempunyai hak untuk hidup aman dan selesa, maka mereka bekerja untuk itu. Mereka melihat semua manusia sama sahaja, harus dilayan sebagai manusia.

Maka, alangkah kita, sudah tentu terlebih aula untuk melihat persamaan antara kita, persamaan budaya, persamaan agama, persamaan apa lagi...

Betapa harmoninya dunia ini andai manusia boleh bergerak atas titik dan landasan persamaan. Pasir di pantai, indah kerana 'mereka' bersatu dan berbaik kerana mereka memikirkan bahawa mereka adalah sama. Cuba kalau pasir-pasir asyik memperbesarkan perbezaan dan sering berkelahi.

Alangkah banyaknya masa yang tidak perlu dibazirkan. Alangkah banyaknya tenaga yang boleh dijimatkan. Dan alangkah, mahkamahpun boleh kurang satu kes.

Sebenarnya, kita sering dilagakan. Ahli Sunnah dengan Syiah, Salaf dengan Khalaf, PAS dengan apa tu....(senyum)....

Tak mengapa untuk kita berbeza dan mengekalkan perbezaan. Tak mengapa. Sebab memang begitu dunia diciptakan. Tetapi, usahlah memperbesarkan perbezaan-perbezaan sehingga timbul permusuhan dan persengketaan.

Bukankah perbezaan itu dijadikan supaya saling mengenali dan saling menyanyangi?

nota: sokonglah kebenaran di manapun ia datang.

No comments: