Hens termenung sendiri. Apa yang tidak pernah diberitahu oleh ayahnya (atau mungkin pernah diberitahu, tetapi Hens tak sempat simpan dalam kotak ingatan) adalah, cinta bukan sahaja boleh menyebabkan orang membunuh diri sendiri, tetapi cinta juga boleh membuatkan orang tergamak membunuh orang lain.
Dan itulah yang dibacanya dalam akhbar kemarin. "Kalau aku tak dapat, biar orang lainpun tak dapat." Maaf, itu bukan tajuk berita. Itu cuma kata-kata hero dalam cerita tersebut.
Lama Hens termenung, mengunyah baris demi baris kisah yang tertulis di dalam akhbar tersebut. Seorang lelaki, bekas pelajar UKM, berasal dari Kelantan, dihukum gantung kerana telah membunuh seorang perempuan, (bekas) kekasihnya.
Tahulah Hens bahawa cinta itu berbahaya rupanya. Atau, mungkinkah cinta tidak berbahaya, tetapi, akibat daripada cinta itu yang berbahaya? Entahlah, Henspun malas untuk berfikir. Yang terdetik di dalam sanubari Hens hanyalah rasa kasihan kepada mangsa; mangsa dengan erti kata mangsa yang telah mati ditikam dengan pisau. Alangkah ruginya, seorang Muslim yang terpelajar hilang begitu-begitu sahaja. Tapi, yang telah lepas itu telahpun menjadi takdir, biarlah. Yang penting, ia perlu dijadikan pengajaran untuk masa mendatang.
Tiba-tiba terdetik pula dalam hati Hens, mengapa kisah cinta 'agung' biasanya berakhir dengan episod yang menyanyat hati, berakhir dengan tragedi? Memang begitukah kisah cinta harus disulam untuk terabadi dalam sejarah sebagai cinta agung?
Cinta Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun masyhur sebagai kisah cinta yang agung, namun penuh tragedi dan tidak kesampaian (Hens sendiri tak pernah mendapat gambaran lengkap tentang kisah cinta ini). Agung hanya dibawa atas landasan suci dan tulus hati, bukan agung dilihat pada happy atau sad endingnya.
Dan hati Hens tertanya lagi, mengapa di Alam Melayu ini tidak ada satu kisah cinta yang agung? Atau ada, cuma Hens sahaja ada di bawah tempurung? Apa yang Hens pernah tahu, cinta yang ada di Alam Melayu ini cuma kisah Tuah melarikan Tun Teja (ngok - fikir Hens, bawa lari, bagi kepada orang lain), kisah syarat Puteri Gunung Ledang yang berkehendakkan tujuh dulang hati kuman dan darah putera mahkota untuk diterima lamaran. Itu sahaja. Cinta apa macam tu!
Tetapi, Hens sangat pasti, dalam bahasa pertuturan hariannya, sangat banyak ayat cinta yang agung. Lautan berapi sanggup ku renangi (memanglah, mana ada lautan api), bulanpun sanggup aku belah, aku akan gapai bintang di langit, bla bla bla. Dan betapa agungnya cinta, aku akan tunggumu di pintu syurga, atau, tunggulah aku di pintu syurga (ingat syurga itu che dia yang buat?) (kalau Hens, nak aja dia suruh kekasih dia tunggu dalam syurga terus, tunggu di pintu buat apa!)
Tetapi dengan ayat-ayat itu, tak pernah lahir dalam sejarah Melayu satu kisah percintaan yang agung.
'Kalau aku cipta sejarah, macam mana?' tanya hati Hens pada dirinya sendiri.
Buatlah sejarah. Carilah cinta agung. Jangan sampai membunuh, sudah.
Maka, mengertilah Hens, cinta itu terkadang boleh membuatkan orang membunuh diri sendiri, terkadang boleh pula membuatkan orang membunuh orang.
Pada Hens, itulah cinta tanpa iman. Dan cinta sejati itu, hanya pada Tuhan.
No comments:
Post a Comment