Kali ini, biarkan aku menceritakan sedikit apa yang terjadi dalam hidupku hari ini. Sesuailah dengan tajuk blog ini, 'Sebuah Cerita Suka Duka: Kisah Perjalanan Hidupku'.
Hari ini, aku telah ke suatu tempat kerana ada suatu urusan (macam rahsia besar pula!). Urusan itu sepatutnya bermula jam 1.00 petang, tetapi, oleh kerana waktu itu azan telah dikumandangkan, aku mengambil keputusan untuk bersolat terlebih dahulu. Baikkan aku (wekkk!).
Akupun ke musalla. Sesampainya disana, aku lihat pintunya tertutup rapat, tetapi ada sepasang kasut rapi di hadapannya. Aku mencapai tombol, memusingkannya, dan menolak daun pintu. Terbuka. Aku menjenguk ke dalam, dan aku dapati ada seorang pakcik separuh baya sedang tahyat akhir suatu solat.
'Pakcik ni solat apa, azanpun tak habis lagi,' gumamku sendiri. Biarlah (aku bukan suka ambil kisah sangat pasal orang). Aku membuka kasut, menanggalkan stokin, naik ke tempat wuduk, membuka paip, menadah air yang membuak keluar, dan mula membasuh muka (berkumur dan masuk air ke dalam hidung tak ada). Berwuduk.
Cuaca sangat panas. Di langit, tiada awan putih berarak. Anginpun mati. Aku yang berwuduk, sangat berasa nikmat bila badan disentuh air. 'Hmmm, ada hikmahnya juga Allah menyuruh berwuduk sebelum solat, tidaklah solat dalam kepanasan dan kelemauan,' gumam aku lagi.
Bila sudah mengambil wuduk yang ala kadarnya itu, akupun sekali lagi menolak daun pintu (aku belum masuk ke dalam musalla kerana tempat wuduk di luar). Bila aku masuk sahaja, mataku terus terpaku pada dua sejadah yang disusun dekat-dekat, satu disebelah kiri, sedikit ke depan, dan satu lagi sebelah kanan, sedikit ke belakang. Rupanya pak cik itu ingin solat zohor berjemaah denganku. Bagusnya.
Dia menunjukkan kepada aku dengan gaya mempelawa ke sejadah yang sedikit ke depan itu. Fahamlah aku, bahawa dia menyuruh aku menjadi imam. Aku mengunjuk tanganku pula, mempelawa dia sahaja menjadi imam. Namun, dia bersungguh pula mempelawa aku, dan dia sudah berdiri di sejadah yang terhampar sebelah kanan.
Tanpa suara, tanpa bicara, akupun maju ke depan. Ya, kami berkomunikasi tanpa sedikit suara. Bisu! Yang ada hanya isyarat tangan, dan isyarat sejadah. Hanya isyarat tangan dan sejadah. Isyarat sejadah yang mahukan solat berjemaah dan isyarat tangan yang mahukan aku menjadi imam dan isyarat tangan yang menolak dan isyarat tangan yang bersungguh tetap mahu aku menjadi imam.
Aku sempat menyeluruhi wajah separuh baya itu, dan badannya yang kurus dan kecil, hampir menyamai sosok tubuhku. Nak kata Melayu, mukanya tidak berapa Melayu. Nak kata Bangladesh atau kaum kerabatnya, tak berapa nampak macam Bangladesh. Indonesia? Jauh. Hmmm, tak mengapalah, yang penting, dia Muslim yang taat (sekali lagi, aku bukan suka ambil tahu hal orang). Akupun berdiri di sejadah merah itu (dua-dua sejadah berwarna merah...hahaha). Pak cik separa baya itupun qamatlah.
"Allahu Akbar, Allahu Akbar. Asyhadu an la Ilaha Illa Allah, Asyhadu an la Ilaha illa Allah..." dengan sangat perlahan, diulangnya dua kali setiap kalimah iqamat. Kita yang Melayu Malaysia ini, hanya kalimah 'Qad qamati al-Solah' sahaja diulang dua kali, tidak yang lainnya. Sah, Bangladesh atau kaum kerabatnya. Habis iqamat, aku mengangkat tangan berdoa. Kan kita selalu baca doa selepas azan dan iqamat. Tapi bila aku menjeling pada pak cik dibelakangku sebelah kanan itu, yang baru sudah 'melaungkan' iqamat sebentar tadi, tidak pula mengangkat tangan berdoa. Hmmm, biarlah, aku tak kisahpun. Ada aku pernah kisah? Tak ada kan.
Akupun menggulung kaki seluarku yang labuh. Yalah, biasanya aku solat begitu-begitu sahaja, tetapi, kali ini, aku menggulungnya biar nampak sedikit buku lali. Takut ada orang tegur pula. Nabikan marah orang yang melabuhkan pakaian. Aku sudah pernah kena tegur dulu, tapi tak juga serik-serik...hahaha.. Tapi kali ini, aku gulung. Nak jadi imam nih. Dasar!
Akupun angkat takbirlah, "Allahu Akbar".
Siaplah rakaat pertama, dan aku naik untuk rakaat kedua. Dekat-dekat nak rukuk rakaat kedua, tiba-tiba otak aku ini terfikir pula soal kerja, soal duit. Soal kerja sambilanlah. Dua ringgit sejam, dua ringgit setengah, tiga ringgit. Jam kerja kena tolak waktu solat dan makan. Otak aku terfikir, solat itukan wajib, hak pekerja, kenapa nak tolak-tolak pula jam bekerja.
Ligat otak aku berfikir, tak ingat dunia. Padahal dalam solat! diulangi, aku tengah solat. Tengah jadi imam lagi!
Aku sedar-sedar, sudah di rakaat ketiga. 'Eh, bila aku naik rakaat ketiga nih?' hatiku sudah curiga. Perkara terakhir yang aku ingat tentang solat adalah, aku hendak sujud selepas rukuk.
Kemudian, cerita inipun sampai pada klimaksnya. 'Eh, aku duduk tahyat awal tak tadi?'
Tengah baca fatihah rakaat ketiga ni. 'Aku duduk tahyat awal tak tadi.'
Habislah aku. Seingat-ingat aku, aku tak baca. Ataupun dengan kata lain, aku tak ingatpun aku duduk tahyat awal dan membaca tahyat. Tapi, aku tak ingat juga, adakah aku terus bangun selepas sujud. Masalah besar ni.
'Kenapa pak cik ni tak tegur aku kalau aku tak duduk tahyat.'
'Mesti pak cik ni menyesal suruh budak tak pandai solat jadi imam.' Macam-macam perasaan keluar daripada benakku.
Yang paling besar, 'Nak sujud sahwi tak lepas ni. Nak sujud sahwi ke tak. Nak sujud sahwi ke tak.' Parah. 'Kan kalau lupa kena sujud sahwi. Kalau was-was kena sujud sahwi. Kalau tak tahyat kena sujud sahwi.'
'Tapi kalau aku sujud sahwi, nanti apa pula kata pak cik makmum aku ni. Mesti dia pelik.' Dua hati aku, hati kecil dan hati besar berperang. Solat sudah hancur!
"...wa ala ali Ibrahim, fil alamin, innaka Hamidun Majid... Assalamualaikum warahmatullah.." Aku tak sujud sahwi. Dan aku tengok pak cik makmumpun ikut aku bagi salam (Ya lah, makmum nak ikut siapa lagi kalau bukan ikut imam). Kan.
Lepas bagi salam, aku toleh juga kepada pak cik kalau dia ada nak cakap apa-apa. Nihil. Bisu. Aku, lagilah bisu. Akupun, terus angkat tangan dan berdoa. Pak cik juga angkat tangan, mengaminkan doaku barangkali. Aku sudah malu-malu alah, malu pada pak cik itu, dan terlebih malu kepada diriku sendiri. Kepada Tuhan, tak malu?
Selepas berdoa dan salam, pak cik itu bangun dan mengangkat takbir lagi. 'Ni pak cik ni solat sunat ke solat zohor sekali lagi ni.'
Akupun keluar, pakai stokin, sarung kasut, bergerak untuk urusan yang harus aku selesaikan.
Akupun sedarlah betapa besarnya dunia dalam hatiku. Sampaikan saat bertemu Tuhanpun, masih sempat memikir dunia. Masih sempat.
Hmmm, mesti Tuhan cemburu.
No comments:
Post a Comment