
Ada orang yang hanya makan sekali sehari, sedangkan dia mampu makan dua atau tiga kali sehari. Dan fitrahnya, dia memerlukan makan dua atau tiga kali sehari. Apabila ditanya, kenapa tidak makan, dia menjawab, "Nak jimat."
Jimatkah begitu? Kita tinggalkan persoalan itu seketika.
Islam sangat mendidik umatnya supaya menjadi satu umat yang berjimat cermat. Hatta, dalam perkara ibadat khusus sekalipun, umat Islam digesa supaya berjimat cermat. Pernah Rasulullah menegur Saad bin Abi Waqqas kerana berlebih-lebihan dalam mengambil wudu'. Mengambil wudu'pun ada pembaziran? Ya, walaupun di sungai yang mengalir. Walaupun pada logiknya, air sungai tidak akan luak kalau kita sedikit berlebihan, tetapi, betapa 'berkira'nya Islam dalam perkara ini, perbuatan itu adalah dilarang.
Jadi, wajibkah berjimat? Ya, wajib. Cuma tinggal persoalan, apakah berjimat itu? Kita akan faham apa itu jimat apabila kita memahami apa itu kedekut, boros dan membazir. Kedekut adalah enggan mengeluarkan harta yang patut untuk kegunaan dan keperluan diri. Maksudnya, jika setiap hari seseorang itu memerlukan RM 10.00 untuk keperluan dirinya, sebagai contoh, tetapi dia hanya membelanjakan RM 3.00 sahaja, sedangkan dia memiliki RM 15.00, maka itu dikira kedekut. Lain ceritanya jika dia hanya memiliki RM 3.00. Kesimpulannya, kedekut adalah enggan mengeluarkan harta padakadar yang sepatutnya diperlukan.

Manakala membazir pula adalah membelanjakan harta pada perkara yang diharamkan oleh syara'. Sebagai contoh, menggunakan harta untuk berjudi, walaupun sedikit, membeli perkara haram, walaupun sedikit. Untuk contoh yang mudah, duit digunakan untuk membeli arak, walaupun yang berharga RM 2.50 satu tin, itu dikira membazir. Dan membazir adalah haram dalam Islam. Diulangi, haram. Orang yang membazir itu dikira saudara syaitan. Jadi, kita perlu jelas dalam perkara ini, bahawa membazir adalah haram, dan membazir itu tidak semestinya mengeluarkan harta dalam nilai yang banyak, cukup sekadar kalau membelanjakan pada jalan yang diharamkan syara'.

Maka, jelaslah kepada kita bahawa Islam menyuruh umatnya berjimat bukan bererti mengongkong atau melawan fitrah, tetapi, hanya sekadar mengawal diri supaya tidak terlalu mengikut nafsu.
Sekarang, berbalik kepada persoalan pertama yang ditimbulkan di atas, adakah ia jimat? Atau kedekut? Atau boros? Atau membazir? Atau apa? Biarlah persoalan tergantung di situ.
Itu perbincangan dalam konteks perbelanjaan kepada diri sendiri. Maka, termasuk juga dalam konteks ini, perbelanjaan dalam bersedekah, memberi hadiah dan seumpamanya.
Sebagai kesimpulannya, janganlah kamu membiarkan tangan kamu terbelenggu di leher kamu, dan janganlah kamu terlalu membukanya (terlalu pemurah). Berbelanjalah secara berhemah dan bersederhana.

No comments:
Post a Comment