"Azim, boleh tak kita main gitar?" tanya seorang rakanku ketika kami sama-sama berada di UIA pada suatu petang Ramadhan, menunggu untuk ke tempat berbuka puasa.
"Boleh!" aku menjawab ringkas.
"Kenapa?" dia bertanya lagi, menyerlahkan sifat seorang pelajar Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam UKM; setiap hukum mesti didatangkan dengan dalil!.
"Sebab aku main gitar..." aku terbahak ketawa, dan menyambung lagi, "Cuba kau tanya pak-pak imam yang menghisap rokok, boleh tak kita menghisap rokok, dia akan jawab boleh...sebab diapun hisap rokok juga."
"Ye ye je kau ni Azim.." dan perbualan tidak tamat di situ.
Aku menulis ini bukan untuk menghuraikan hukum belajar gitar. Bukan. Akan tetapi, aku ingin menyentuh tentang istiqamah. Apa kaitannya dengan gitar dan cerita tadi? Kaitannya begini. Seperti yang disebutkan di atas, aku sebenarnya sedang belajar untuk bermain gitar. Tetapi, aku bukan mengikuti kelas gitar secara formal, cuma belajar melalui internet sahaja. Aku belajar daripada free guitar lesson - Justin Guitar. Terima kasih buat Justin Sandercoe untuk semua pelajaran percuma tersebut. (thank you very much for all your free lessons).
Apa yang ingin aku ceritakan di sini adalah kekaguman aku kepada Justin. Beliau membuat sebuah laman web dan mengajar secara percuma. Dengan mottonya Teaching the world to play - semuanya percuma - akses percuma, muat turun percuma, tiada tempoh percubaan; sesuatu yang terlalu amat jarang untuk diperolehi dalam internet. Beliau hanya meminta sumbangan daripada orang yang mampu dan sukarela sahaja untuk membiayai projeknya.
Kebaikan dan murah hati Justin tidak perlu dipersoalkan. Aku sebaliknya ingin mencuit tentang kesungguhannya dalam menjadikan Justin Guitar lebih bermakna. Kesungguhan itu, dalam bahasa agama, disebut Istiqamah. Ya, Justin cukup istiqamah dalam mengajar dunia secara percuma. Sekarang, cuba renungi diri. Cuba timbulkan satu persoalan. Kalau seorang pemain gitar begitu istiqamah menyebarkan ilmu gitar (secara percuma!) ke seluruh dunia, adakah kita, sang pembawa kebenaran, juga begitu?
Jawapannya, yang aku selalu perhatikan, kita umat Melayu Islam jarang ada yang betul-betul istiqamah dalam melakukan sesuatu, tambahan lagi, kalau ia percuma, dan tiada membawa sebarang hasil! Usah pergi jauh, lihat sahaja laman-laman blog keagamaan atas talian, berapa banyak yang terbengkalai. Itu hanya merupakan satu contoh.
Banyak lagi perkara sebenarnya. Ramai dikalangan kita yang hanya bersifat hangat-hangat tahi ayam. Tak kiralah dalam apa jua aspek dan bidang, kebanyakan kita bersemangat pada awal-awalnya sahaja. (Akupun!). Baik dalam berdakwah, dalam berpersatuan, dalam menulis blog, dalam berniaga, (dalam bercinta?), dalam semua aspek kehidupan. Tambahan lagi, bila ada halangan yang menghadang jalan, lagilah cepat berputus asa.
Terutamanya dalam dakwah. Mudah sangat futur, kata seorang teman. Masa belajar, bukan main lagi, cakap berapi. Bila sudah bekerja, sepi. Waktu bujang, lantang. Bila sudah berumah tangga, eh, dihinggap penyakit bisu pula. Waktu senang, hebat, bila digertak sedikit, menikus. Waktu semangat datang, bukan mainlah, empat blog sekali buat, tujuh entries sehari. Lepas dua tiga hari...eh??
Begitulah. Akupun begitu. Kadang-kadang hangat tahi ayam tu lebih lama daripada hangat semangat di dalam dada. Padahal agama Islam sangat menganjurkan istiqamah. Buatlah apa-apapun, yang penting istiqamah. Duduklah atas jalan Islam, kemudian istiqamah, kamu akan masuk syurga. Islam bahkan lebih menyukai sesuatu yang kecil yang istiqamah daripada besar, tapi cepat mampus (kata orang Kelantan - mati hanya untuk manusia).
Cuba perhatikan, kalau seorang pemain gitar boleh sebegitu istiqamah, kenapa kita tidak boleh? Sedangkan kita berada di jalan kebenaran. Sedangkan kita dijanjikan. Sedangkan kita sentiasa ada peluang. Sedangkan kita tiada cacat cela dan kurang. Sedangkan kita umat pilihan. Sedangkan setiap gerak kerja kita dikira amalan. Sedangkan kita ada Tuhan! Mengapa kita tidak boleh? Mengapa?
Tanpa istiqamah, kita tidak akan ke mana. Agama kita juga. Dakwah kita.
Oleh sebab itu, bolehlah kita berazam untuk mempertingkatkan lagi tahap istiqamah kita. Bukan hanya dalam amalan kerohaniaan, tetapi juga dalam gerak hidup seharian. Semoga dengan itu, kita umat terbaik ini kembali dikagumi dan dihormati.
Terima kasih Justin Sandercoe dengan Justin Guitar anda. Thank you very much. Halalkanlah segala ilmu gitar yang saya belajar.:D (semoga anda menemui kebaikan dan ketenangan hidup). (nantilah, kalau ada kesempatan, saya akan hubungi untuk projek penterjemahan, dan saya akan terjemahkan ke dalam Bahasa Melayu). Insya Allah.
nota: boleh contohi istiqamah Harun Yahya dalam berdakwah.
No comments:
Post a Comment