Bajet, PTPTN dan Pelajar.


Semalam, Bapa 1Malaysia ada di Parlimen membentangkan bajet 2010 untuk negaranya yang satu itu. Sempatlah juga aku mengikuti siaran langsungnya sekejap di TV3 sementara menunggu waktu asar. Tapi, tak faham sepatah harampun!! (dengar tengah-tengah, tak tahu mana ekor mana kepala, mana nak tahu jantan betina).

Pagi ini, aku terbaca tajuk berita 'Habuan Orang Muda'. Macam menarik. Tengok sikit. Dan memang aku dapati berita itu menarik. Antara yang menarik itu, ada satu perenggan yang aku kira sangat menarik. Ia berbunyi begini (bagi yang belum baca berita ini):

...Selain itu, Najib turut mengumumkan langkah menukar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa untuk para pelajar yang berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dengan kelas pertama atau setaraf dengannya...(sumbernya di sini)

Sebenarnya kalau dikira-kira, berita ini tiada kaitan dengan akupun, walaupun aku pelajar Ijazah Sarjana Muda. Tetapi aku rasa berita ini menarik, dan bajet ini menarik adalah kerana ia sangat menguntungkan golongan pelajar yang ada 'urusan' dan 'hubungan akrab' dengan ptptn.

Berita ini sepatutnya menjadi satu pembakar semangat kepada setiap pelajar yang berkenaan untuk terus berusaha dengan lebih gigih dan belajar dengan bersungguh-sungguh. Kalau sebelum ini, ramai yang merungut dan 'cemburu' akan aku, "Kau tak apalah Azim, biasiswa, kita orang ni pinjaman," sekarang kamu orang tak ada alasan lagilah. Kalau kamu tak mahu bayar balik pinjaman, sama seperti aku, haa, mulai sekarang, kenalah 'bercawat kote' kata orang Kelantan.

Tambahan lagi, peperiksaan sudah mampir dan melambai. Tinggal lagi, kita semua masuk dewan, senyum, dan jawab dengan tenang. Untuk dapat jawab dengan senyum dan tenang, perlu membaca dan mengulangkajilah. (Seronok bagi nasihat!) Biar kita semua, bermula daripada semester ini mendapat keputusan yang tertinggi, menjadi pelajar yang cemerlang.

(Nasib baik dia tak ada syarat sop skill. Kalau tak, aku nak nasihat suruh aktif persatuan semua).

Kepada kawan-kawan yang mengadu tak dapat Ijarah (Ujrah?) apa kebenda tu, marilah sama-sama kita berusaha untuk mencapai four flet (dalam bahasa dia). Jadikanlah berita ini (kalau tukang umum itu tak ada maksud nak menipulah-dan aku harap ia akan sampai ke muara, tak tersangkut pada akar buluh, akar aur di tebing di hulu) sebagai satu pemangkin untuk melipatgandakan usaha ke arah kecemerlangan.

Memanglah kita belajar untuk mendapat keredaan-Nya. Memanglah niat kita dalam belajar tidak boleh dipesongkan. Tetapi, berita sebegini agak sesuai untuk dijadikan pemangkin. Hanya pemangkin. Sekadar untuk mengejutkan motivasi yang kuyu mata di dalam jiwa. Sekadar untuk melancarkan darah di dalam pembuluh.

Kalau pinjaman kita ditukar menjadi biasiswa, jimaaaaatttt RM 19,000 (sekurang-kurangnya). Bukankah Allah menyuruh kita sentiasa berjimat sehabis boleh?.

Maka aku kira, adalah sewajarnya berita ini disambut dengan gembira. Ada ketika-ketikanya, kita tidak perlu terlalu bermasam muka dengan kerajaan. Ya, kita tidak harus sentiasa bermasam muka. Senyumlah, kerana senyum itu boleh memanjangkan usia.

Namun, dalam gembirapun, kita harus menunggu juga. Tengok dulu, pelaksanaannya seperti apa. Siapa akan dapat. Bila akan mula. Dan lain-lain perkara. Sebab, negara yang satu ini, yang baru ada KPI ini, sangatlah kuat dengan apa yang dipanggil berok krasi. Dan, tengoklah dulu, takut-takut definisi biasiswa 1Malaysia ini tak sama maksudnya dengan biasiswa yang sudah ada dalam pasaran. Mana tahu kan. Proton Sagapun ada dua versi. Kot-kotlah definisi biasiswapun ada dua tiga empat versi pula. Minta jauhlah, sebab aku dengar-dengar pengasas 1Malaysia ini sangat prihatin kepada rakyat jelata.

Terima kasih 1Malaysia. Pilihan raya, itu cerita lain pula.

nota: kita wajib selamanya menyokong kebaikan dan kebenaran.

Selamat maju jaya untuk peperiksaan.

No comments: