F1 1Malaysia (Selingan 'jer')

Murni sungguh hasrat PM 1Malaysia kita. Murni sungguh. Beliau mahu menubuhkan satu pasukan F1 1Malaysia. Tengah-tengah ribut pasukan-pasukan ‘otai’ F1 menarik diri, atau berniat menarik diri daripada kancah perlumbaan F1, Perdana Menteri kita naik angin hendak berlumba. Tak mengapa katanya, pasti ramai yang akan menyumbang dana. OK lah, biarlah dia.

Yang murninya, pasukan F1 1Malaysia ini akan 100% Malaysia. Diulangi, 100% Malaysia. Begitulah kehendak Perdana Menteri.

Tadi, selepas solat Isya’, aku sempat menonton berita sukan TV3 sekejap. Berita menguar-uarkan tentang proses pemilihan pelumba. Dan Fairuz menjadi calon utama. Maka, banyaklah dibuat temu ramah, dan setiap yang ditemu ramah semuanya yakin bahawa Fairuz mampu menggalas cabaran sebagai pelumba F1 1Malaysia. Baguslah. 100% Malaysia. Konon.

Eh, betullah 100% Malaysia. Kereta Malaysia. Jurutera Malaysia. CEO Malaysia. Pemandu Malaysia. Minyak Malaysia. Apalagi? Danapun DUIT (rakyat) Malaysia. Semua Malaysia. Semua yakin, kereta Malaysia, jurutera Malaysia, pemandu Malaysia, minyak Malaysia, CEO Malaysia mampu membawa F1 1Malaysia ke peringkat global. Baguslah, akupun boleh tumpang bangga.

Tapi tadi, semasa aku menonton berita, semua yang diwawancara bercakap menggunakan bahasa Inggeris. Aik? Kata 100% Malaysia.

Semua Malaysia, kecuali bahasa. Kenapa? Apa Malaysia tiada bahasanya sendirikah? Bahasa Malaysia tidak mampu menyumbang kepada F1 1Malaysiakah?

Jadi, aku katakan, 100% Malaysia ‘wak lu’. Usahlah berusaha mencipta identiti Malaysia diperingkat antarabangsa kalau soal bahasapun masih terkeliru.

Siapa yang bersalah dalam hal ini, tidak pula aku ketahui. Akulah yang bersalah agaknya, terlalu fanatik dengan bahasa Malaysia.

Kesimpulannya, kalau tanya aku, aku kata tak payahlah mengada-ngada hendak 'mempromosi 1Malaysia' di litar F1. Membazir minyak sahaja. Bukankah minyak sekarang mahal? Minyak petrol rakyatpun kerajaan sudah tak larat nak tanggung subsidi. Minyak kereta F1 ada siapa hendak bayar subsidi?

Nota: aku sendiri tak tahu apa maksud ‘wak lu’, tapi kawan aku ada seorang itu selalu sebut perkataan tu. Jadi, aku bedal ‘aja’lah.

nota satu lagi: rakyat didahulukan, F1 diutamakan. (Nak buat macam manakan. F1 itu 1Malaysia.)

No comments: