Bisik pada hati

Aki, Aki tak tahukah, Mija sangat sayangkan Aki? Mija sangat sayangkan Aki. Dia tahu, Aki tidak mendengar suara hatinya. Aki tidak ada dekat dengannya. Dan kalau Aki ada dekatpun, Aki tak akan dengar, sebab dia hanya berbicara dengan hatinya. Telinganya sendiripun tidak dapat mendengar. Hanya dia sendiri – dengan hatinya juga – yang mampu mendengar suara hatinya.

Aki, dengarlah, Mija sangat sayangkan Aki. Terbayang wajah Aki di tubir matanya. Aki, Akilah cinta pertama Mija. Akilah yang mengajar Mija tentang cinta. Akilah yang mengajar Mija makna rindu. Aki, Mija rindu akan Aki. Aki tak tahukah?

Kenapa Aki dah tak mahu menyambut cinta Mija? Apa kurangnya Mija?

Aki, Mija tahu, Mija tak sempurna. Mija pernah buat salah. Memang Mija akui, Mija dah buat kesilapan yang terbesar dalam hidup Mija. Tapi, Mija tak bermaksud untuk menjauhkan diri daripada Aki waktu itu. Setiap hari Mija fikirkan tentang Aki. Setiap hari Mija rindu akan Aki. Akilah satu-satunya lelaki dalam hidup Mija. Aki tak tahukah?

Aki, dalam surat Aki (surat yang terakhir untuk Mija), Aki cakap, Aki akan sayang Mija sampai bila-bila. Aki cakap Mijalah satu-satunya cinta Aki. Tetapi, kenapa akhirnya Aki tinggalkan Mija? Kenapa cinta Aki terhadap Mija pudar dan hilang?

Mija tahu, semua tu salah Mija. Tapi, Mija tak pernah berniat nak buat macam tu. Dulu Mija memang jahil tentang cinta. Mija jahil tentang perasaan lelaki. Mija tak faham perasaan Aki. Aki, maafkan Mija. Terimalah Mija lagi. Aki, Mija merayu pada Aki, terimalah Mija lagi. Mija sayang sangat-sangat akan Aki.

Dia memandang siling. Hitam dan kelam dalam pekat malam. Namun, serasa ada wajah Aki di situ, di siling yang menghitam. Lampu telah lama dipadamkan, namun matanya masih belum juga berat untuk tertutup. Dipaksakannya juga menutup matanya, namun akhirnya pedih sendiri. Dia membuka matanya lagi, dan di mana-manapun, ada wajah kekasih hatinya, ada wajah Aki.

Dia menarik selimut, menutup badannya. Kipas yang tergantung di siling berputar agak laju juga. Aki, terimalah Mija lagi. Mija cinta akan Aki. Cinta Mija akan Aki tak pernah berkurang, malah bertambah dari hari ke hari.

Dia mengiring, mencapai telefon bimbitnya yang berada di sisi. Ditekannya punat-punat di pad kekunci telefon bimbit itu, menaip satu mesej, ‘Selamat malam Aki. Mimpi indah.’ Dia kemudiannya memasukkan nombor telefon Aki, kemudian menekan butang send. Dia meletakkan kembali telefon itu ke sisinya, di bawah bantal. Pandangannya dihalakan lagi ke siling. Pandangannya itu serasa menembus, terus ke langit yang kelam, mencapai bintang-bintang. Dia tahu, Aki tidak akan membalas mesejnya. Tak mengapalah, dapat menghantar mesejpun sudah cukup bahagia dia rasa.

Aki, datanglah dekat Mija. Terimalah Mija lagi.

Aki, Mija tahu, Mija tak layak untuk Aki. Tetapi hati Mija ini tak pernah berhenti untuk mengharap pada Aki. Hati Mija hanya untuk Aki. Hati Mija hanya mengharapkan Aki. Mija sendiri tidak tahu mengapa. Cinta Mija sangat kuat terhadap Aki.

Mija ingat lagi, semasa kita berjumpa dahulu, Mija pakai selekeh sahaja. Mija tak cantik. Aki hensem. Mesti Aki malukan jalan-jalan dengan Mija. Tetapi Mija sayangkan Aki. Mija ingat juga, masa itu, Mija makan nasi di medan selera, Aki tak nak makan. Aki teman dan tengok sahaja Mija makan. Bila Aki pula makan di McD, Mija pula tak mahu makan. Mija tak pandai nak makan McD. Mija gadis kampung sahaja. Tentu Aki malukan ada awek macam Mija.

Lepas tu, bila Aki nak shopping, Mija tak teman. Mija suruh Aki pergi sendiri, Mija hanya duduk dan tunggu sahaja di bangku di tingkat bawah dalam Mall itu. Mija bukan sengaja tak nak teman Aki, tapi Mija tak larat. Mijakan datang dari jauh nak jumpa Aki. Mija tak tidur semalaman. Tak mengapalah, semua tu kan dah lepas.

Bila nak tengok wayang, Mija tak pandai nak beli tiket. Mija biar sahaja Aki beli tiket sorang-sorang. Memang Mija gadis kampung, tak pernahpun masuk panggung. Lainlah Aki, orang bandar. Biasa tengok wayang, main bowling, shopping, makan KFC, McD; dunia Aki luas. Mija tak tahu semua tu.

Tapi Aki, itu dulu. Aki, sekarang Mija sudah berubah. Mija sudah sedar. Mija sudah tahu, Mija tak boleh biarkan Aki sorang-sorang. Dulu, Mija tak mesej Aki, sebab Mija takut ganggu Aki nak belajar, Aki nak menduduki peperiksaan akhir. Mija takut Aki tak lulus. Tapi, sekarang, Mija sudah tahu, Aki perlukan teman untuk Aki belajar, atau buat apa sahaja. Aki, Mija janji, Mija akan sentiasa menemani Aki, tak akan berjauhan dengan Aki lagi. Terimalah Mija lagi.

Aki tahu tak, Mija selalu nak Aki ada dekat dengan Mija. Kenapa Aki tinggalkan Mija sorang-sorang? Aki cakap dalam surat Aki, walau macam mana marah sekalipun Aki kat Mija, Aki akan tetap sayang Mija. Kenapa Aki tinggalkan Mija?

Aki, remuknya hati Mija, hanya Tuhan yang tahu. Betapa, bila rindukan Aki, Mija tak tahu macam mana nak rasa – sakit, rindu, sayang, sedih, kecewa, cinta – semuanya meghiris-hiris dada Mija. Aki, terimalah Mija lagi. Mija pohon dengan tulus, terimalah cinta Mija untuk Aki.

Aki, Mija tahu, memang Mija tak romantik. Mija tak pandai nak layan Aki. Mija selalu menyakitkan hati Aki. Mija selalu buat Aki marah. Tapi bila Mija tanya, Aki marahkah, Aki selalu jawab, tak, cuma geram. Aki, mana Mija tahu, bila lelaki cakap geram, maksudnya marah. Mijakan tak pernah ada kawan lelaki sebelum Aki. Akilah lelaki pertama yang Mija berkawan, kemudian terus jatuh cinta. Mija dahulukan sekolah perempuan sahaja. Mija tak faham perasaan lelaki. Maafkan Mija bila waktu itu, Mija tak pandai layan Aki.

Aki, terimalah Mija lagi. Mija janji, kalau Aki terima Mija lagi, Mija akan jaga perasaan Aki dengan sebaiknya, Mija tak akan buat Aki marah Mija lagi, Mija tak akan buat Aki geram lagi. Mija janji akan layan Aki dengan baik.

Aki, berilah satu peluang untuk Mija ambil berat tentang Aki lagi. Berilah peluang untuk Mija menyayangi Aki lagi. Berilah satu peluang untuk Mija memenangi hati Aki lagi. Mija merayu pada Aki. Mija sangat sayangkan Aki. Mija tak boleh lupakan Aki.

Aki, tak pernah sedetikpun Mija lupakan Aki. Tak pernah sekelip matapun, tak pernah sehembus nafaspun Mija melupakan Aki. Aki ada dalam denyut nadi Mija. Aki ada dalam hembus nafas Mija. Mija tak boleh lupakan Aki. Mija tak pernah boleh berjauhan dengan Aki.

Aki, datanglah dekat Mija. Terimalah Mija lagi. Berilah peluang untuk Mija menyimpan hati Aki lagi. Kerana, hanya ada Aki dalam hati Mija. Hanya Aki.Hanya ada Aki dalam hidup Mija. Selamanya.

Terasa Aki hadir mendekat dengannya. Terasa Aki begitu dekat. Terasa Aki mendengar suara hatinya. Terasa Aki memenuhi hatinya, dadanya, jiwanya, fikirannya, memenuhi dirinya. Dan, tanpa dia sedari, ada sejernih air melintasi pipinya.

Aki, datanglah. Mija rindu akan Aki.

Aki, datanglah.

Dan di dalam selimut, dia teresak sendiri.



Oleh
Narma Mizda (nama pena).
-C090211-
KIY, UKM.

No comments: