Parut di dagu.

Parut di dagu itu masih ada di situ, seperti dulu-dulu juga. Parut di dagu itu masih ada ketika aku menatap wajahnya lagi. Dan parut di dagu itu akan terus ada di kenanganku, mungkin untuk sejuta tahun lagi.

Senyumnya tetap menawan, seperti selalu, walaupun kali itu, dia sudah tidak banyak tersenyum lagi.

Dan seperti dulu-dulu juga, bila aku tanyakan tentang kesihatannya, dia menjawab dengan nada yang itu juga, “siiihaaattt…”, nada yang tak mungkin akan aku lupa untuk selamanya. Perkataan itu selalu ada di kuping telingaku, terngiang-ngiang dan masih terasa kesegarannya. Betapa, aku merinduinya dalam segenap cara, dalam semua aspek tentang dirinya.

Wajahnya yang itu, terkadang bercermin mata, terkadang tidak, selalu sahaja hadir dalam mimpi-mimpiku, dengan hidung itu, dengan mata itu, dengan bibir itu, dengan senyuman itu; yang aku kira, suatu masa dahulu, semua itu milik aku.

Aku ingin berlama-lama dengannya. Berdiri tanpa senyumpun tak mengapa. Separuh abad terasa terlalu singkat pula. Aku ingin memandang dan menikmati parut di dagu itu sedalam-dalamnya, seolah-olah di situlah segala kasihku tumpah. Aku ingin masa berhenti untukku, sehingga aku boleh bersama-sama dengannya dalam keabadian. Kalau boleh, akan ku berlari mengejar masa, sehingga saat bahagiaku berdiri di hadapannya tidak akan pernah luput, dan saat untuk dia pergi lagi tidak akan pernah datang menjemput. Namun seperti datangnya, dia akhirnya pergi juga, meluncur laju menghilang dengan Grand Livina putihnya.

‘Dia sudah berjaya,’ getus hatiku. Aku sahaja yang masih di mana-mana. Aku lepaskan juga dia pergi, meninggalkan aku tercegat berdiri, dengan segala berat hati, dengan segala rasa di dalam dada, memerhati Grand Livina itu sehingga luput di mata. Siapalah aku untuk menahannya pula. Aku lepaskan dia pergi, kerana aku tahu bahawa hanya jasadnya sahaja yang hilang daripada pandangan, sedang parut di dagu, sudah aku ambil dan simpan.

Dia tiada di mataku, – mungkin sahaja – kerana kami terpisah beribu batu; namun tak pernah pula hilang dari hatiku. Dan aku tidak pernah tega melepaskannya keluar, melepaskannya pergi, kerana, setiap saat, ada sahaja suara hati yang berkata bahawa dialah segalanya untukku. Dialah segalanya untukku.

Dan aku ingin menatapnya lagi.

Lebih daripada itu, aku ingin memilikinya lagi. Aku ingin meminjamnya lagi daripada Tuhan, dan kali ini, pasti akanku jaga dengan lebih baik lagi. Aku ingin meminjamnya lagi, dan aku ingin bersama-sama dengannya sampai ke syurga.

Cinta bukan bererti memiliki. Cinta bukanlah menerima; cinta adalah memberi. Akan ku hamparkan lagi cintaku yang setia.

Dan, seperti setiap saat yang telah berlalu, aku merinduinya dalam segenap rasa. Bila lagi kita akan bersua? Adakah suatu waktu untuk kita bersama?

Di udara, lagu Untukmu Kekasih, nyanyian Ebiet G. Ade terbang entah ke mana-mana:

Ingin berjalan berdua denganmu kekasih,
Lewati malam setelah usai rinai gerimis,
Lelawa jadi luruh dengan rumput biru,
Jemari tangan kita lekat jadi satu,
Pipimu memerah, hasratku merekah,
Kenapakah waktu tertinggal jauh...

                --xxx--

Malam, suntingkan rembulan untukku,
Agar cinta tak berpaling dariku,
Lama aku pelajari satu puisi,
Sayang, bila hanya angin yang mengerti,
Oh burung bernyanyilah,
Demi terjalin cinta...
Oo hooo....hooo...

6 comments:

Anonymous said...

semuanya telah jelas..melangkah ke hadapan jangan berpaling lagi

adzim said...

hmmmm...kuatkah kaki untuk melangkah?

Anonymous said...

Apa yg diimpikan xsmstinya jd milik kita...jdkan pglmn smlm sbg pengajaran utk hari mendtg...kuatkan diri tabahkan hati..mungkin ad yang tersembunyi di sebalik yang terjadi..

adzim said...

iyer...banyak hikmah-Nya atas setiap apa yang terjadi.
tapi kita tidak dihalang untuk terus berusaha dan memasang impian.

Anonymous said...

xslh memASANG IMPIAN...byk perkara bermula dr impian...tp jgn biarkan impian menguasai diri....

adzim said...

Tak mengapa. Mungkin ada orang yang lebih suka hidup dengan impian-impian.