oleh
Narma Mizda (nama pena)
“Lesen dengan road tax.”
Narma Mizda (nama pena)
“Lesen dengan road tax.”
Dia membuka dompetnya. Membelek-belek, kemudian mengeluarkan lesennya dan road tax yang baru diperbaharuinya sejam yang lalu. Pegawai itu menyambut hulurannya, membelek-belek dan meneliti dua keping – lesen dan road tax – itu.
“Ni P ni, ada P?” pegawai itu bertanya sambil mencari sticker P.
“Ada, ni,” jawabnya bangga sambil menunjukkan ke sticker P yang ditampal. Pegawai itu membelek-belek lagi lesen dan road taxnya.
“Nak gi mana ni?” tanya seorang pegawai lain yang duduk di kerusi di bawah khemah.
“Balik kampus.”
“Kenapa pakai selipar?”
Alamak.
“Masa test dulu pakai apa?”
“Kasut,” jawabnya ragu-ragu.
“Boleh tak pakai selipar?”
“Tak boleh.”
“Dah tu?” Dia memandang ke seliparnya.
“Hmmm, kasut tak ada, tercabut tapak. Hari tu masa balik kena hujan, tercabut tapak.”
“Turun dulu, gi selesai dengan pegawai tu,” arah pegawai yang memegang lesen dan road taxnya.
‘Pulak,’ bisik hatinya. Dia mematikan enjin, membuka topi keledar, menyangkutnya di cermin pandang sisi, turun dari motosikal, pergi ke khemah tempat pegawai itu duduk. Pegawai-pegawai lain sibuk menahan motosikal-motosikal yang lewat, dan memeriksa lesen dan road tax setiap penunggang.
Sebaik sahaja dia mendekati khemah, pegawai yang duduk itu bangun dan meninggalkannya, pergi mendapatkan penunggang lain yang baru tiba. Pegawai yang memegang lesen dan road tax motosikalnya datang mendekat.
“Duduk dulu,” pegawai itu mempelawa. Dia duduk. Tersengih-sengih.
“Awak ni dari segi luaran dah ok, lesen ada, road tax ada, P ada. Tapi dari segi dalaman, awak ada masalah. Awak pakai selipar.”
“Hmmm...”
“Kenapa pakai selipar?”
“Kasut rosak. Hari tu, masa balik kena hujan, tercabut tapak.”
“Awak tahu tak, awak dah melakukan kesalahaan.”
“Tak,” dia mengeleng.
“Saya boleh charge awak tidak memakai alas kaki semasa memandu. Kalau saya buka buku, buku ada kat belakang tu, sekarang ni, operasi raya cina, awak kena bayar dua ratus ringgit, tahu?”
“Ooo..”
“Jadi, macam mana? Awak nak saya tulis dalam buku tu ke, nak runding?”
“Rundinglah.”
“Kalau nak runding, sebelah tanganlah (sambil mengangkat tangan kirinya dan membuka telapak tangannya), ni jabatan ni, bukan macam jabatan lain, dua puluh ringgit, tiga puluh ringgit. Ni jabatan ni, lima puluh ringgit.”
‘Mampus,’ jerit hatinya. Dalam dompetnya hanya ada enam puluh tiga ringgit.
“Maaf cik, saya tak ada duit ni. Saya ada lima puluh ringgit je, nak buat isi minyak.” Dia mengeluarkan dompet, membukanya, dan menunjukkan isi dompetnya kepada pegawai tersebut.
“Itu saya tak tahu. Kalau nak runding, lima puluh ringgit. Kalau tak saya buka bukulah, awak kena dua ratus ringgit. Awak pilihlah.”
“Maaflah cik. Saya tak ada duit ni.”
“Kalau tak ada duit, saya buka bukulah, dua ratus ringgit. Awak pilihlah, jangan kata saya paksa. Awak nak rugi dua ratus ke awak nak runding, bayar lima puluh ringgit. Awak jangan kata saya paksa, saya tak paksa, terpulang kat awaklah. Saya tak paksa.”
“Maaflah cik. Ni first time ni. Saya ada lima puluh je, nak isi minyak.”
“Awak jangan cakap macam tu. Kalau tak ada duit, cakap ‘cik saya tak ada duit, buka bukulah’, saya boleh buka buku, awak kena dua ratus.
Dia diam. Perasaannya berperang sendiri. ‘Suruh sahaja dia tulis, nanti bayarlah dua ratus.’
‘Nanti susah pula. Nanti ada rekod. Duitpun tak ada nak bayar.’
‘Kalau bagi lima puluh sekarang, nak ambil duit di mana pula? Jauh lagi nak sampai. Nak isi minyak dengan apa?’
‘Nanti cucuk la kat ATM di stesen minyak mana-mana.’
‘Nak bagi lima puluh ke nak bayar dua ratus.’
“Cepatlah, orang lain ramai lagi nu. Macam mana? Nak suruh saya tulis ke nak runding? Awak jangan kata saya paksa. Saya tak paksa. Saya bagi awak pilihan. Kalau saya tulis terus, nanti kata tak ada tolak ansur, tak ada runding. Ni saya rundinglah. Awak nak yang mana?”
“Maaflah cik, sekali ni je.”
“Tu saya tak nak dengarlah. Awak belajar lagi?”
“Ha’ah.”
“Ha, awak belajar, awak tahulah kan. Nanti awak keluar, awak nak jadi orang besar juga. Awak pandai lagi daripada saya. Awak dah buat salah ni. Awak pilihlah, nak suruh saya tulis ke, nak runding. Cepatlah, ramai lagi orang lain.”
“Saya tak ada duit ni cik. Maaflah”
“Ni undang-undang, kalau saya buat longgar, nanti lagi ramai yang buat. Awak ni penunggang motosikal, bahaya. Dua tiga hari lepas, dua orang naik motosikal terjun dalam gaung. Ni awak ni, kalau saya tak tegas, masuk gaung jugalah. Kami tak kesah kereta, tengok, mana ada kami tahan kereta, kami tahan motosikal sahaja. Motosikal ni bahaya, sebab tu kena terperinci sikit.”
‘Yelah tu.’
Dia diam lagi.
“Cepatlah.” Pegawai tersebut tidak sabar lagi. ‘Suruh sahaja dia tulis, nanti bayar dua ratus. Apa masalahnya. Bayar sahajalah.’
‘Nanti susah pula.’
“Kalau awak nak, saya tulislah dalam buku kat belakang tu, awak bayar dua ratus.”
“Kalau tulis tu, macam mana?”
“Awak bayarlah dua ratus.”
“Bayar sahaja?”
“Ya, bayar sahaja, tak kena naik mahkamah ke apa, kompaun sahaja.”
‘Oklah, tulis,’ jerit hatinya.
“Hmmm,....
Bersambung...
Ingin mengetahui kesudahan cerita ini? Apakah keputusan yang diambil oleh penunggang motosikal tersebut? Adakah dia memberi lima puluh ringgit, atau menyuruh pegawai tersebut menulis dalam buku? nantikan sambungannya...
-C080211-
KIY, UKM.
Ingin mengetahui kesudahan cerita ini? Apakah keputusan yang diambil oleh penunggang motosikal tersebut? Adakah dia memberi lima puluh ringgit, atau menyuruh pegawai tersebut menulis dalam buku? nantikan sambungannya...
-C080211-
KIY, UKM.
2 comments:
cepat smbg...hehehe
penulis sedang sibuk, xdapat sambung lg...hehehe
Post a Comment