Selamat Tinggal UKM (Buat sementara waktu)

Sekali lagi, buat diriku sendiri,

"Look to the future, because that is where you'll spend the rest of your life." -George Burns.

Selamat tinggal UKM, buat sementara waktu. Akan aku datang lagi, untuk berbakti, untuk mencari sejernih ilmu bekal diri.

Akan ku datang lagi.

Di sini gedung ilmu,
Takungan cerdik pandai dan cendekiawan,

Aku pulang menjenguk kampung laman,
Yang ku tinggalkan demi sebuah pencarian
makna kehidupan,
Demi menyahut seruan Tuhan.

Aku pulang menghampar teduh rindu,
Pada pepohon merimbun, sungai yang jernih.
Aku pulang meneguk kasih tak pernah habis,
Ayah bonda yang semakin dimamah usia.

Akan ku datang lagi mendaki puncak ini,
mencari sejernih ilmu bekal diri,
buat pedoman, buat penyuluh.
Jalan hidup yang berliku.

Akan ku datang lagi,
menatap buku-buku menghadam jutaan ilmu.
Akan ku datang lagi, untuk mengubah nasib diri.


-C 290410-
K15A 101B, KIY, UKM.
1:54 AM.


Kenangan Yang Tak Mahu Aku Lupa.

Ada kenangan yang tak mahu aku lupa. Dan tak akan aku lupa.

Sedar atau tidak, sudah dua puluh tiga tahun aku menyedut udara di bumi ini. Dan kini, aku sudah dua tahun di UKM. Dua tahun yang sunyi. Dua tahun dengan luka di hati.

Sedang kenangan di DQ masih subur, dan akan tetap subur. Tak akan aku lupa dalam terik mentari, aku mengayuh basikal melalui pinggir hutan ke pekan.

"Wat pe tu?"
"Kayuh basikal."
"Tak pe ke mesej ni?"
"Tak pe je. Kayuh basikal dengan kaki, mesej dengan hati."
"Cane tu mesej dengan hati?"
....

Banyak kenangan yang tak akan aku lupakan.

Semester empat UKM

Semester empat telah aku lalui. Sudah dua tahun aku di sini. Semester empat merupakan semester yang parah bagiku. Parah.

Untuk peperiksaan kali ini, aku tidak menjangka apa-apa. Semuanya kelihatan kelabu, kelam dan suram.

Aku tidak dapat membuat program pengantarabangsaan untuk cuti kali ini, kerana aku perlu menjalani latihan amali industri. Kepada si dia yang juga menjalani latihan industri, selamat maju jaya. Jaga diri. Hati-hati.

Semester depan, aku insya Allah akan aktif dalam berpersatuan dan sukan. Namun, entahlah, kerana peperiksaan kali ini sedikit aku tidak yakin dengannya. (Apa punya belit ayat tu.)

Tak mengapa, kerana semuanya terpulang pada usaha. Aku akan dapat sekadar apa yang aku telah usahakan.

Dan aku selalu yakin bahawa aku tak pernah gagal. Aku hanya mendapat sesuatu yang lain daripada apa yang aku kehendaki akibat daripada tindakan aku sendiri. Dan aku bersedia untuk itu.

Cumanya aku tetap berdoa dan berharap agar keputusan peperiksaanku nanti tidaklah teruk, dan lebih baik pula hendaknya daripada semester-semester lepas. Insya Allah.

Kita tahu di mana kita.

Cepatnya masa berlalu.

Alangkah cepatnya masa berlalu. Saat-saat bahagia telah lama berlalu, sedang aku belum puas menikmatinya. Bak kata Ella dalam lagunya, "Dan yang tinggal kini kelukaan..."


Alangkah cepatnya masa berlalu. Sedang masih terbayang ditubir mata ini hari-hari awal di UKM. Masih berbekas di hati ini diherdik oleh senior hanya kerana tunduk ketika mendengar mereka berleter entah apa-apa. Alangkah cepatnya masa berlalu, baru semalam rasanya mula melangkah ke dewan kuliah dengan seribu azam, yang kemudiannya cepat pula mati, secepat berlalunya masa.


Alangkah, masih rindu pada semua kenangan. Sedang malam ini, sudah malam terakhir di UKM untuk tahun kedua. Bulan tujuh nanti, insya Allah akan datang lagi untuk tahun ketiga. Alangkah cepatnya masa berlalu, sudah dua tahun aku mengayun langkah di bumi UKM ini. Sudah dua tahun. Sedang ilmu yang digali tetap cetek di permukaan.


Alangkah cepatnya, sudah lebih separuh perjalanan diharungi. Sedang kenangan dulu masih tetap utuh, masih tetap berbekas, masih tetap panas dalam fikiran, dalam hati. Ya, kenangan dulu masih terlalu panas untuk ditinggalkan. Mengapa masa begitu cepat berlalu, meninggalkan aku sendiri dengan hati yang pilu.


Alangkah masa yang berlalu tidak akan kembali. Alangkah masa yang berlalu akan tetap berlalu. Akan tetap menjauh. Alangkah masa berlalu menjadi masa silam.


Masih tebayang ditubir mata, betapa saat-saat bermain hujan, menghanyutkan kapal kertas di longkang air di tepi rumah, melihatnya basah dan tenggelam, sangat menggembirakan.


Masih berbekas dihati betapa nenek setiap pagi menghantar ke sekolah separuh perjalanan sejauh dua kilometer. Betapa nenek setia pula menunggu di petang hari untuk menjemputku pulang. Betapa aku melangkah berseorangan meniti landasan kereta api, kiri kanan hutan, untuk ke sekolah, kerana aku tahu, di situ ada ilmu. Betapa masih terbayang, masih berdegup semua itu.


Masih terngiang di telinga bila setiap hendak tidur nenek bercerita kisah ibu nyamuk berkorban mencari darah untuk anaknya. Betapa, aku mengalir air mata setiap kali mendengar cerita nenek, apabila nenek menyebut pesan ibu nyamuk kepada anaknya, kalau ia tak kena tampar, dia akan balik. Tunggulah.


Betapa banyaknya kenangan. Betapa banyaknya kenangan. Maka mengapa aku tidak mampu lagi mengukir kenangan-kenangan indah? Mengapa yang ada hanya hari-hari yang penuh luka, mengalirkan air mata?


Alangkah cepatnya masa berlalu, meninggalkan kenangan-kenangan indah, meninggalkan peristiwa-peristiwa, suka duka.


Alangkah kini aku sepi sendiri, memendam sedih di hati. Siapa tahu kalau hati ini terluka. Siapa tahu kalau hati ini menderita. Siapa tahu kalau aku terlalu kecewa.


Dan siapa peduli, kerana aku bukan siapa-siapa.


Tak mengapa, kerana itu adalah kehidupan. Dan aku cuma menjalani sebuah kehidupan. Namun ada yang disesalkan. Betapa aku mensia-siakan saat-saat bahagia, mensia-siakan sebuah kehidupan, menyiakan harapan menjadi secebis kenangan.


Sungguh, aku ingin kembali ke saat itu. Saat aku boleh hidup dengan gembira. Saat aku boleh hidup dengan merdeka.


Masa akan terus berlalu. Yang ada cuma masa depan. Maka, bilakah akan aku kecapi secebis bahagia?

Look to the future

"Look to the future, because that is where you'll spend the rest of your life." -George Burns.

oh i wish we could go back to where we started...

Tazkirah

Adapun hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan, "Salam."
(Terjemahan al-Quran, al-Furqan 25: 63)

Dan apabila mereka mendengar perkataan yang buruk, mereka berpaling darinya dan berkata, "Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amal kamu, semoga selamatlah kamu, kami tidak ingin (bergaul) dengan orang-orang bodoh."
(Terjemahan al-Quran, al-Qasas 28: 55)

Dan bersabarlah (Muhammad) terhadap apa yang mereka katakan dan tinggalkanlah mereka dengan cara yang baik.
(Terjemahan al-Quran, al-Muzzammil 73: 10)



Makan

Waktu: Pukul 1.32 petang.

"Dah makan?"
"Dah tadi."
"Makan apa? Tak ajakpun."
"Makan nasi lah. Belum makan lagi ke?"
"Belum. Mandi pun belum."
***
Malam.

"Jemput makan."
"Makanlah dulu. Nasi masak sendiri ke?"
'Saya dah bersara."
"Rugilah bersara masa ni. Nanti hilang skill."
"Tak pe, tak guna pun. Nanti dah kawen, isteri yang masak."
"Nanti kalau boleh macam saya tak pandai masak kan haru juga. Baik awak jaga skill awak tu."
"Kalau boleh awak yang tak pandai masak, saya paksa kursus dengan mak saya dulu."
"Haha, nanti stres ma awak ajar orang tak pandai masak. Nak kerat-kerat ayam tak reti, nak perah santan lagi. Sempat satu tahun kursus tu."
"Tak pe, sebab kursus tu berbayar. Saya akan bayar mak saya guna duit hantaran. Kalau lambat pandai, habislah duit hantaran dia."
"Hahaha, bagusnya idea."
"Tengok oranglah. Hehehe...."

Amik kau


"Ma suruh jadi cikgu..."

"Moleklah. Jadilah cikgu..."

"Dengar cakap ma kan."

"Ha'ah. Jadi cikgu pukul dua dah boleh balik. Bulan dua belas cuti..."

"Itulah mindset orang Melayu, fikir balik awal, cuti. Jadi cikgu sebab balik awal, banyak cuti, kerja sikit...Dia tak fikir pasal gaji ke..."

Oh, merah muka. Amik kau, kena sebijik. Sound direct tu.

"Tapi cikgu sekarang, boleh je pakai Honda City." Cover la tu.

"Yelah, ijazah kan, mesti ok jugak gaji." Tak perasan kah ada muka yang terbakar?

"Hmmm, cikgu pun banyak kerja jugak tau." Cover lagi.

***

"Eii, ganasnya teksi, parking sampai atas (baju jalan, tempat pejalan kaki)."

"Entah, takdek manner lah diorang ni."

"Tak ada apa?"

"Tak ada manner."

"Apa tu?" Tak jelas kot sebutannya. Ya lah kan, orang ulu yang cakap, manner, manner...alaa, yang bulat-bulat tu, hitam-hitam...hahahaha..tu tahik kambing!!!

"Tak ada adab."

"Oo, ya,ya.."

"Tak ada siviklah diorang."

"Haha, kat tempat macam ni, tak sempatnya diorang nak sivik.."

"Habis, kalau kita tak cuba nak berubah, sampai bila? Tujuh keturunan pun akan tetap sama la macam ni. Kita tak ada keinginan untuk berubah. Tengok Singapore, dalam masa lima puluh tahun je, dia dah boleh..."

"Tengok pula, Singapore kecik je..."

"Ini bukan masalah kecik ke besar. Masalahnya, kita tak ada keinginanpun nak berubah. Singapore pun, driver teksi dia Melayu. Tapi kenapa diorang boleh ada sivik..."

"Singapore kecik, senanglah dia nak laksanakan undang-undang..."

"Bukan pasal undang-undang, tapi orang tu yang kena ada keinginan untuk berubah."

***


Di larut malam


1 - Kepada yang rasa-rasa nak demam, janganlah demam. Sihat selalu ok.

2 - Kepada yang akan menduduki peperiksaan esok (hari ini) [23 April 2010], semoga sentiasa berjaya.

3 - Kepada yang ajim sakiti hatinya, ajim minta maaf. Tulus dari hati. Janji tak buat lagi.

4 - Kepada orang yang saya sayang, jangan pernah lupakan saya. Kerana saya tak pernah.

5 - Kepada sesiapa jua, kita hidup di dunia.

6 - Kepada yang membaca blog ini, tulisan ini, terima kasih.

7 - Saya sedang bersedih. Kerana saya masih terluka.

8 - Jaga kesihatan, jaga diri, hati-hati. [ :'-( ] Luv u much.

9 - Menyepi bukan bererti melupakan.

Sebenar-benar aku cinta



AKU INGIN MENCITAI-MU SETULUSNYA
SEBENAR-BENAR AKU CINTA
DALAM DOA, DALAM UCAPAN, DALAM SETIAP LANGKAHKU,
AKU INGIN MENDEKATI-MU SELAMANYA...






Petikan hari ini

"Adzim, bila nak gemuk ha?"
Jawapan dia: Saya tak nak gemuk, nak ideal je. Biar cukup BMI.

"Doakan aku ea."
"Doa aku tak makbul."
"Npe? Ko byk dosa ke?"
Jawapan dia: Banyak ya amat.

"Ko da nk tdo ke? Kn ko salu tdo awl."
"Apa kes tdo awal2..."
"Eleh, blah la."
Jawapan dia: Dah banyak hari aku tak tidur awal.

"Baik orang sayang kita, daripada kita sayang orang."
Jawapan dia???

Samb: Tawaddu'

Sambungan yang ini.
Mengapa manusia perlu bersifat tawaduk:
1 - Manusia diciptakan dari air mani.
2 - Manusia tidak mampu menembus bumi.
3 - Manusia tidak mampu menjulang setinggi gunung.
4 - Allah tidak menyukai orang yang sombong.
5 - Allah tidak menyukai orang yang membangga diri.
6 - Seburuk-buruk suara adalah suara keldai.
 
Contohnya:
 
Kita mengajar seseorang sesuatu ilmu. Dan dia tidak juga faham-faham. Kitapun kata: "Apalah bengap sangat. Benda mudah macam ni pun tak faham. Tak pernah lagi aku jumpa orang bodoh macam ni."
 
Kita mungkin tak kata depan dia, 'sembur' terus. Tetapi kita mungkin menyumpah dalam hati.
 
Tanpa kita sedar, yang kita boleh faham itupun, hanya kerana Allah bagi faham kepada kita. Cuba kalau Allah tidak bagi kefahaman tersebut kepada kita, ada kita akan faham?
 
Oleh itu, kalau kita lebih, ada yang lebih lebih.
 
Dan di atas setiap orang yang berpengetahuan ada yang lebih mengetahui.
(Al-Quran, Yusuf 12: 76)



Rugi

***
"Tak payahlah kawen ngan orang yang isap rokok ek."

"Ha, rugiii...!!! Rokok sekotak sepuluh ringgit. Kalau sepuluh ringgit sehari, tiga hari dah tiga puluh ringgit, dah boleh beli baju."

"Ke situ plak dia..."

"Tu kalau sekotak sehari. Kalau lebih? Isy, rugi-rugi...Asap lagi, bukan dia sorang yang hisap, orang sekeliling dia...eeiiiii.."

"Tau takpe. Tak yahlah kawen ngan orang isap rokok ek."

"..."

"Kalau nak kawen, kawen ngan ajim je...."

Hahahahaha..
***

Tawaddu'

Adapun hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan, "Salam," dan orang-orang yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada Tuhan mereka dengan bersujud dan berdiri. Dan orang-orang yang berkata, "Ya Tuhan kami, jauhkanlah azab Jahannam dari kami, kerana sesungguhnya azabnya itu membuat kebinasaan yang kekal," sungguh, Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.
(Al-Quran, al-Furqan 25: 63 - 66)

Dan janganlah engkau berjalan di bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan mampu menjulang setinggi gunung.
(Al-Quran, al-Isra' 17: 37)

Dan janganlah engkau memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri. Dan sederhanakanlah dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai.
(Al-Quran, Luqman 31: 18 - 19)

Maka hendaklah manusia memerhatikan dari apa dia diciptakan. Dia diciptakan dari air (mani) yang terpancar, yang keluar dari antara tulang punggung (sulbi) dan tulang dada.
(Al-Quran, al-Tariq 86: 5 - 7)



Tawaduk:
1 - Berjalan dengan rendah hati.
2 - Membalas kata-kata yang buruk dengan kata-kata yang baik.
3 - Beribadah pada malam hari.
4 - Berdoa kepada Allah.
5 - Tidak berjalan dengan sombong.
6 - Tidak memalingkan wajah daripada manusia.
7 - Tidak berjalan dengan angkuh.
8 - Tidak membanggakan diri.
9 - Bersederhana dalam berjalan.
10 - Melunakkan suara.

Sebab apa perlu tawaduk?
1 - Manusia itu hanyalah diciptakan daripada setitis air mani.

Bahasa Kelantan saya yang orang Kelantan lain tak faham.

Bahaso Klate kawe hok oghe Klate lain tok pehe.

1. Ceti.

Ceti secara mudahnya bermaksud kedekut. Dulu kan kalau kita tengok cerita P. Ramlee, orang berhutang dengan ceti. Masa tu mana ada along, yang bunuh-bunuh orang tu. Jadi, ceti ini akan datang, pakai baju kain putih, bawa payung, minta hutang. Sebab itulah timbul istilah ceti. Mula-mula saya ke Falahiah, saing-saing kato, ganah bahaso mung. Hahaha.

Contoh ayat:

Cetilah dia tu = kedekutlah dia tu.
Nga aku pun nak ceti = Dengan akupun kau nak kedekut.

Kalau contoh bahasa kasarnya, ia berbunyi begini (jangan tiru ya):

Cetila nate tuh = Kedekutlah dia tu.
Cetila nate ni = Kedekutlah engkau ni.

2. Luyut:

Ini hamba hairan, ada juga orang Kelantan tak tahu. Rasanya dah universal dah perkataan ni. Luyut dalam bahasa surat apa eh? Pokok ada julai kan? (julai pun tak tahu? Julai tu dahan) Jadi, apabila kita panjat pokok, meniti atas julai, dia luyut. Bukan patah, tapi luyut ke bawah. Mengampai ke bawah. Mengampaipun tak tahu?

Contoh:

Luyutla jula mokte tuh, pakat dok naik rama-rama = Luyutlah dahan rambutan tu, kalau dah semua naik ramai-ramai.
Luyut takpo, lamo ke nyo patoh gak, nyayo la = kalau luyut tak mengapa, takut patah ja, habislah.

3. Agha.

Kita bagi contoh ayat dulu.

Ooo, ado oghe blago muto sakni. Muto haco, tue tok tahu agha ke dok, tok de tengok = Tadi ada kemalangan motosikal. Motornya hancur, tapi tuannya tak tahu teruk ke tak, tak sempat nak tengok.

Agha bererti teruk (apabila terlibat dalam kemalangan). Ia juga boleh membawa maksud meninggal dunia (akibat kemalangan). Dan ia juga boleh membawa maksud yang lain lagi, terpulang kepada penggunaan.

Agha ko? = Teruk kah?
Tak dok eh, patoh tule belikat sikit jah = Tak adalah, patah tulang belikat aja.

Itulah ada tiga perkataan. Ada lagi, cukuplah dulu kot. Bahasa tu bukan hamba reka sendiri, hambapun dengar orang cakap, dan hambapun cakap jugalah.

"Luyutpun tak tahu? Oghe Klate gapo lagu ni?"
"Eh, Klatepun ado banyok bahaso jugok...."

Never Say Die.

Sejernih air matapun gugur.

Never say die. Never give up.

How could I waste my life, with that directive on my conscience? I don't think I could. I have an obligation to live my life the best I can for the person I love the most - whether she is here or on the other side.

(Creadit to The 8th Habit by Stephen R. Covey)

Selamat Menduduki Peperiksaan

Kepada semua orang yang bakal menduduki peperiksaan, sama ada bermula esok, lusa, tulat, minggu ini, atau minggu depan, (atau yang telah mula kelmarin atau minggu lepas), hamba ucapkan selamat menduduki peperiksaan. Hamba akan mula menduduki peperiksaan esok.

Semoga sentiasa berjaya kepada Muhamad Nur Adzim bin Amran dan semoga sentiasa berjaya kepada insan istimewa yang sentiasa ada dalam hatinya.


Kepada Muhamad Nur Adzim bin Amran, dan kepada si dia, semoga sentiasa berjaya.

"Ya Allah, aku tidak meminta nikmat yang lebih banyak, tetapi aku memohon kecerdikan yang lebih besar agar aku dapat menggunakan segala nikmat yang ada dengan lebih baik lagi. Ameen."

Semoga Sentiasa Berjaya. Bittawfiq wan najah.

Maafkan bila waktu itu...


~Love is the enchanted dawn of every heart - Alphonse Marie de la Martine.

Insan-Insan Kecil

Insan-Insan Kecil

Dalam dewan bosan menanti
Di luar mentari makin meninggi,
Ah, majlis entah bila akan dibismillahkan
Kami orang kecil menunggu orang besar datang.

Dewan sejuk menggigit ke tulang,
Majlispun berjalan tanpa acara gilang-gemilang,
Dan yang hadir cuma wakil menyampaikan salam.


-C 280310-
UKM, Bangi.
~kursus pra penempatan LAI~

Dibenci Yang Dicintai

“Kau kenapa?”

“Ada orang benci aku.”

“Alah, biasalah kita hidup di dunia kalau orang benci. Kalau semua orang sayangpun susah juga. Biarlah ada musuh seorang dua.”

“Ah kau, cakap senanglah.”

“Alaa, aku gurau sahajalah. Yang kau emo-emo ni kenapa? Siapa pula benci kau? Biarlah kalau satu dunia nak benci kaupun, apa masalahnya?”

“Kau senanglah cakap. Masalahnya sekarang ni, aku suka kat dia, tapi dia benci kat aku.”

“Aik pelik je bunyinya? Sejak bila kau pandai suka kat orang ni? Lurus ke?”

“Luruslah bongok! Apa kau tengok muka aku ni ada ciri-ciri orang tak lurus ke?”

“Tak adalah. Hmmm, binti apa?”

“Tak ada binti-binti!”

“Aik, marah pula dia. Kata lurus.”

“Aku lurus ke tak lurus, binti ke tak binti, apa kaitannya pula dengan kau?”

“Yelah-yelah, aku tak berhak mencampuri urusan hidup kau. Hmmm, eh, kenapa pula dia benci kau?”

“Itulah, aku dah minta maaf....”

“Tak, sekarang ini aku tanya, kenapa dia benci engkau pula, bukan aku tanya kau dah minta maaf ke belum...”

“Aku ada buat salah dengan dia.”

“Iaitu?”

“Adalah. Banyak tanya pula dia. Apa kalau aku bagitau engkau, masalah boleh selesai?”

“Taklah, sekurang-kurangnya aku ambil berat pasal engkau. Monyok aja, macam ayam berak kapur.”

“Hahahaha...macam apa? Pandai juga engkau menggunakan peribahasa ya? Hahahaha...”

“Masalahnya?”

“Apa?”

“Kenapa beliau membenci anda?”

“Tak tahu. Dia marah kata aku selalu bagi kek kat adik dia sahaja, tak bagipun kek kat dia. Dia tuduh aku kalau adik dia tak ada atau tak nak terima kek aku, baru aku cari dia bagi kek kat dia.”

“Yang engkau buat macam tu kenapa?”

“Mana ada! Aku tak...”

“Kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang.”

“Bergoyang sebab ada beruklah bongok!”

“Cuba kau jaga sikit mulut tu. Sebab itulah orang benci, cakap main lepas mulut sahaja.”

“Baiklah tuan. Segala nasihat dan ingatan tuan akan saya ambil perhatian yang sewajarnya.”

“Kenapa kau bagi kek kat adik dia sorang sahaja?”

“Kau nak tahu cerita sebenarkan. Ok, aku cerita. Kalau kau nak tahu, masalahnya, dulu, masa mula-mula aku kenal dia, aku bagi kek kat dia sorang sahaja. Tapi, lepas tu, dia jarang ambil kek aku. Aku datang dia tak ada kat rumah. Bagi kek dia tak ambil. Akupun masa tu ingat aku ada buat salah ke, apa ke...ada terbagi kek basi ke, kek tak sedap ke. Dia sakit perut ke lepas makan kek aku. Takpun ada orang mengata kat dia ke selalu dapat kek daripada aku. Tapi aku masih mengirim lagi kek-kek. Lepas tu, aku fikir mungkin dia sibuk kot, selalu tak ada bilik aku datang bagi kek.”

“Hmmm, pelik pula cerita engkau ni ya...”

“Pelik tak pelik. Lepas tu, aku tak naklah ganggu dia selalu. Akupun bagi kek kat adik dia pula. Adik dia terima aja kek aku, banyak manapun aku bagi, dia terima. Selalu aja ada kat rumah. Lama-lama aku jadi banyak bagi kek kat adik dialah daripada bagi kat dia. Tapi, bukan bermaksud aku dah lupa kat dia..”

“Kejap, kejap, sejak bila kau kenal adik dia pula?”

“Aku kenal dia dengan adik dia serentak. Tapi masa awal-awal aku tak rapatpun dengan adik dia, aku lagi baik dengan dia. Bila aku dah rapat dengan adik dia, bukan bermaksud aku dah lupa kat dia. Tapi dia cakap, masa adik dia tak ada sahaja, baru aku nak bagi kek kat dia. Masalahnya, kalau pagi-pagi aku bagi kek kat dia, tak pernahnya dia nak ambil. Tapi, masa tu mungkin dia dah terasa dengan aku kot...Hurmm, susah, susah!”

“Apa susahnya?”

“Tak adalah. Tak seronoklah ada orang benci aku macam ini. Aku dah minta maafpun. Sekarang makin hari makin dia benci aku. Semua yang aku buat semuanya tak kena.”

“Err, kenapa kau suka kat dia pula?”

“Sebab aku luruslah aku suka kat dia. Takkan nak suka kat engkau pula. Kang tak pasal-pasal kau pergi ke pejabat agama mana-mana pula bersumpah wallahi, wabillahi.”

“Suka hati tuanku ajalah. Patik tiada apa-apa kepentingan dalam masalah ini. Ampun tuanku.”

“Aku suka dia sebab aku suka dialah, bo...er, mana aku tahu. Ada kau tahu kenapa kau tanya aku soalan pelik-pelik ni? Kau tanya aku sebab hati kau nak tanya kan, hati kau nak tahu kan. Macam tulah juga aku, dah hati aku kata suka kat dia..”

“Pandai pula kau berfalsafah ye. Orang dilamun cinta katakan.”

“Cinta tak cinta. Masalah sekarang ni, dia benci aku ni, nak buat macam mana?”

“Kau tak buat apa-apa?”

“Buat apa, semua yang aku buat ada aja yang tak kenanya. Makin buat dia benci aku adalah.”

“Peliklah engkau ni, pasal kek pun nak gaduh.”

“Siapa kata kami bergaduh?”

“Tu benci membenci...”

“Eh, tolong sikit. Aku tak benci dia, okay. Aku suka kat dia.”

“Yelah, yelah. Tak faham betul aku dengan engkau ni.”

“Ada aku suruh kau faham?”

“Kaupun satu, tau dah suka kat dia, buat lagi perangai pelik-pelik. “

“Yelah, nak buat macam mana. Aku tak ada niatpun macam apa yang dia cakap tu. Kadang-kadang kita salah faham, biasalah tu. Kan?”

“Suka hati engkaulah. Eh, biar ajalah dia benci engkau...”

“Beb, mana boleh. Umat Islamkan tak boleh tak bertegur sapa lebih dari tiga hari?”

“Kalau yang kau suka, nak ikut Islam pula ya? Hmmm, kenapa kau tak cakap awal-awal kau suka kat dia? kalau kau cakap, mungkin tak jadi macam ni.”

“Hmmm, aku rindu kat dia.”

***


 
~Draf awal sebuah cerpen. Cerita adalah rekaan semata-mata. Ada kaitan dengan yang masih hidup dan belum mati~

Sekelas. Mid sem.

Masa awal sem:

"Jomla sekelas dengan aku."
"Tak naklah sekelas dengan kau zim."
"Nape lak?"
"Segan aku dengan kau"
"Ada pulak gitu. Nak segan mende?"


Masa nak mid sem:

"Jim, aku nok dok sebeloh mu deh."
"Bakpo?"
"Buleh tiru mu."
"Haha. Buleh. Tapi rugi nniru."
"Aku nak amik syafaat mu doh ni."

Begitulah adanya. Ingin menikmati keindahan hidup di universiti, di kampus, tapi, hati ini terlalu penuh dengan kesedihan.

Takhrij?

~Riyad al-Salihin, rujukan ghayr asliyyah~



 
~Sahih al-Bukhari, rujukan asliyyah~


~Sahih Muslim, rujukan asliyyah~

Oh takhriiiiiiijjjjjjj....(nyanyi macam lagu Oh ibuuuuuu, kau disiram bayu pagi...).....kau tersangatlaa susaahhh...hehehehe...

~kredit kepada penerbit kitab-kitab di atas. Dan apa boleh kita cakap untuk ulama-ulama dahulu yang mengumpul hadith. Kesungguhan mereka, kesabaran mereka, ketekunan, ketelitian, dan keikhlasan. Jazaahum Allah. Rahimahum Allah.~

Yang Terbaik

Sumber: mesej daripada adik yang ketiga (tak tahulah dia dapat dari mana).
Gaya bahasa dan bentuk penulisan diubah suai.

Di sekolah murid bertanya, "Macam mana nak pilih orang terbaik yang paling kita sayang dan macam mana nak kekalkannya?"
Cikgu menjawab, "Kamu pergi ke padang dan jalan di atas rumput di hadapan dan pilih rumput yang mana cantik tanpa menoleh ke belakang, dan petiklah rumput tersebut."

Apabila sampai ke kelas, tak ada sehelai rumputpun yang dipetik. Murid menjelaskan, "Tadi semasa saya berjalan mencari rumput yang paling cantik, memang ada, tapi cikgu kata yang paling cantik, jadi saya terus berjalan. Tapi bila tiba dihujung padang, saya tak jumpa yang paling cantik, mungkin antara yang paling cantik ada di belakang, tetapi cikgu tak bagi menoleh ke belakang. Jadi, tak adalah rumputnya."

Cikgu: "Itulah jawapannya. Maknanya bila kita telah jumpa dengan orang yang kita sayang, jangan kita cari yang lebih baik daripada itu, kerana kita patut menghargai apa yang ada di depan kita sebaiknya. Jangan toleh ke belakang kerana yang telah berlaku tetap berlaku. Semoga yang berlalu tidak berulang lagi. Dan jagalah orang yang paling kita sayangi, kerana itulah yang paling cantik dan baik walaupun ada yang lebih baik di luar sana."

p/s: terima kasih kepada pemilik asal cerita ini.


You come to love not by finding the perfect person, but by seeing an imperfect person perfectly. – Sam Keen.





Yang Maha Cantik

Wahai Tuhan Yang Maha Cantik. Wahai Tuhan yang suka akan kecantikan. Wahai Tuhan yang menjadikan setiap sesuatu dengan kecantikan. Wahai Tuhan yang menjadikan manusia suka akan kecantikan.

Wahai Tuhan Yang Maha Cantik, cantikkanlah akhlakku secantik langit senja dengan sejuta warna. Cantikkanlah akhlakku secantik langit malam bertabur jutaan bintang. Wahai Tuhan, tenangkanlah hatiku sehening siang terik mentari. Wahai Tuhan, bersihkanlah hatiku sebersih bumi selepas ditimpa hujan.

Wahai Tuhan Yang Maha Cantik, cantikkanlah akhlakku dengan kecantikan al-Quran.

Wahai Tuhan Yang Maha Cantik. Wahai Tuhan yang sukakan kecantikan. Maha Suci Engkau yang menjadikan hatiku tenang dengan melihat kecantikan ciptaan-Mu. Maha Suci Engkau yang menghias langit senja. Maha Suci Engkau Yang Menciptakan setiap makhluk-Mu dengan kecantikan.

Cinta Pertama

نقل فؤادك حيث ما شئت      ما الحب إلا للحبيب الأولى

Pindah-pindahkanlah hatimu kemanapun engkau suka
Tiada cinta melainkan kepada kekasih yang pertama

كم من منزل في الأرض يخلفه الفتى      ولكن فؤاده في المنزل الأولى

Berapa banyak rumah di dunia ini dihuni oleh seorang pemuda
Tetapi hatinya tetap pada rumah yang pertama

Itu dua rangkap syair Arab, yang hamba dapat dalam kelas tutor Amthal. Maka, daripada syair Arab itu, bolehlah hamba qiaskan begini:~

Berapa banyakpun awek hamba, cinta hamba tetap pada awek yang pertama. Buleh?

Boleh gitu?

Hahahaha...

~jangan marah aa~

Best syair Arab. Hamba teringin sangat nak hafal. Nanti boleh jiwang-jiwang dengan isteri..Hahaha...Takpun boleh main-main bahasa nanti dalam debat. Ah, engkau!! Hafal Quran pun malas, ada hati nak hafal syair Arab konon!!!!

Shadap yuuu!!!

itulah hakikatnya tua-tuan...

~sape tak leh baca syair atas tu, mtk sesape boh baris~

Hamba dan Syiah. <--- (ok x kalu wat tajuk gitu?)

Lokasi: Surau Times Square, tingkat 8.
Waktu: Zohor.

Siap amik wuduk, hamba masuk ke dalam surau. Semua orang solat berterabur, tiada imam. Saf depan kosong. Haish, macam mana nak solat ni, nak ke depan, nanti langkah orang solat pula. Mana boleh lintas orang solat. Kalau solat kat belakang, nanti ada orang lintas pula. Maka hambapun mengambil keputusan untuk solat di belakang seorang lelaki itu.

Bukan nak ikut dia. Bukan nak jadikan dia imam. Cuma nak jadikan dia sutrah. Dia dah menghadap dinding. Hamba belakang dia. Hamba niat kalau dia sudah awal, kemudian keluar, hamba akan berjalan ke depan mendekat ke dinding pula.

Tak kesahlah yang tu. Hambapun angkat takbir, solat. Niat solat zohor, secara sendiri-sendiri. Maka hambapun solatlah macam biasa. Tiba-tiba masa hamba nak sujud di rakaat ketiga, hamba nampak sesuatu yang pelik ada ditempat sujud abang yang depan hamba tersebut. Aik? Hambapun tengoklah kan. Khusyuk tak hamba solat? Khusyuk kan? Sempat lagi intai benda kat depan, bukan nak tengok tempat sujud.

Apa benda tu? Eh, batu? Bila hamba nak sujud sekali lagi, hamba tengok lagi. Ya, batu. Batu yang bulat dan leper, macam syiling gitu, tapi tebal, berwarna koko. Tau warna koko? Bagi sesiapa yang tak tahu, warna koko tu adalah warna cokelat.

Ok, bila nampak je batu itu, dan sahih dah benda tu batu, terus terdetik dalam hati hamba, "Syiah ke dia ni?" Khusyuk kan hamba solat. Syiah ke? Nak tengok muka, tapi mana nampak kan. Dia kat depan. Mengadap kiblat. Hambapun mengadap kiblat, tapi belakang dia. Yang nampak pinggang dia jela, bila baju singkat dia terangkat masa dia sujud.

Pastu, hamba nampak dia sujud atas batu tersebut. Sah-sah syiah ni. Mesti dari Iran ni. Habis dah solat aku!!! Nape la aku solat kat belakang ni. Hmmm, dia sujud lagi, memang sujud atas batu tersebut.

Terus hamba teringat kepada cerita ustaz yang mengajar hamba taranum masa di DQ dulu. Dia cerita, bila dia pergi bertanding taranum di Iran, dia gi melawat tempat-tempat menarik di sana, dia nampak orang syiah solat dan sujud atas batu, sebab dia tafsir ayat Quran macam mana entah. Masa ambil wuduk, dia hanya sapu kaki, tak basuh. Bila solat berjemaah, tak ada imam. Jadi, ni hamba tengok dia solat sujud lapik batu ni, sah-sah la syiah kan.

Bila dia qiam, eh, baru hamba perasan sesuatu. Dia tak letak tangan kat perutpun. Hanya lurus macam kita lepas i'tidal sahaja. Rileks siot. Kita di Malaysia ni sibuk gaduh nak letak tangan kat mana, nak letak atas perut ke, atas pusat ke, bawah pusat ke, atas dada ke, sebelah kiri ke, tengah-tengah ke, kanan ke, nak bagi pergelangan tangan sama ke, lebih ke...dia tak ada, dengan selambanya solat macam tu..Bukan tak sah kan.

Lepas tu, bila dia siap solat, hamba tak siap lagi. Dah ready dah nak tengok muka dia. Hehehe...Lepas tu, dia berpaling, nak keluar, hambapun jeling la sikit tengok muka dia. Memang ada iras Iran. Maka, bolehlah hamba buat hipotesis awal, dia memang Syiah. Hakikat sebenarnya, hanya Allah Yang Maha Tahu.

Kalau dia Syiah, apa masalahnya? Bagi hamba, tiada masalah. Selagi seseorang itu mengaku Allah itu Tuhan dan Nabi Muhammad itu Nabi, tak ada masalah bagi hamba. Kalau dia tak langgar syarat-syarat yang terkandung dalam dua syahadah tu la. Mengucap sahaja buat apa kan. Macam ambil lesen sahaja, tapi bawa kereta langgar lampu merah sana, langgar sini, pandu sebelah kanan. Bernilai tak lesen dia? (Tadi malam, nampak dengan mata sendiri, kereta JPJ dipandu oleh pegawai JPJ wat U-turn ditempat xboleh u-turn, dan langgar lampu merah..JPJ menatang ape gitu. Time test budak baru nak dapat lesen, bukan main lagi...). Kalau kata wahyu salah turun, Ali sepatut jadi Nabi, itu memang tak boleh terimalah kan.

Ok, berbalik kepada cerita asal, kalau dia betul-betul Syiah, beruntunglah hamba, sekurang-kurangnya hamba tak perlu ke Iran untuk tengok orang solat sujud lapik batu. Kan.



Cane nak khusyuk dalam solat ha??

~gambar disumbangkan oleh google~

Buat Anak Buang Anak

Seorang abang menasihati hamba, bahawa kita kena berfikiran proaktif, bukan reaktif. Proaktif ni macam main golf katanya, kita menentukan dan mencorak semua keputusan. Reaktif pula seperti bermain bola sepak, kita react kepada pasukan lawan yang menyerang. Kita memberi reaksi, bila mereka serang begini, kita kena tahan begini, strategi begini..kemudian, kita counter attack begini begitu. Itu reaktif katanya, bila timbul satu masalah, barulah kita memberi reaksi, barulah terhegeh-hegeh mencari penyelesaian.

Sepatutnya kita boleh predict (Betul ke istilah?) awal-awal apa yang akan berlaku, then kita boleh menghalang daripada masalah tersebut timbul.

Dan kita orang Melayu, entah mengapa, suka sangat berfikir secara reaktif. Ya, ada baiknya, tetapi, biasanya orang yang berfikir reaktif ini terlambat selangkah dua. Memang ada baiknya. Itu tak dinafikanlah, dan bukan juga semua Melayu begitu. Main pukul rata tak adil juga. Kan.

Itu mukaddimah.

Baik. Hamba ingin bersetuju dengan pandangan dan soalan Us. Yusri dalam forum perdana tengah hari tadi, bahawa kita di Malaysia ini selalu terkeliru dengan isu sebenar. Begitulah lebih kurang. Maksudnya, kita ada satu isu yang lebih besar, lebih apa orang kata?, lebih mencabar, lebih memerlukan perhatian (tak jumpa perkataan tepat dia), tapi, tiba-tiba kita disogokkan dengan isu sampingan.

Ustaz Yusri bagi contoh tadi, isu pembuangan bayi, anak luar nikah. Isu sebenar adalah mengapa anak luar nikah itu ada, bukan mengapa bayi itu dibuang merata-rata. Tapi hari ini, semua media arus perdana sibuk menyiarkan berita kes pembuangan bayi. Sibuk highlightkan buang bayi itu salah, tak berperikemanusiaan, tak ada hati perut, bla bla bla...kan..kemudian lancar kempen kami prihatin dan sebagainya. (Memanglah benda itu salah).

Itu, seperti yang hamba sebutkan awal-awal tadi, berfikiran reaktif. Kemudian, lebih besar daripada itu, kita salah prioriti. (Memang benda itu bapok salohnye, tapi apa sebab kepada perkara tersubut? Apa isu yang lebih besar?)

Maka, hamba ingin mengatakan begini: Sepatutnya kita kata, jangan buat bayi. Isu utamanya adalah, buat bayi itu haram, tak boleh. Kalau nak buat juga? Kahwin!! Bukan tak boleh. Maka, bila kita kata jangan buat bayi sembarangan, atau jangan buat 'proses' atau 'perbuatan' yang boleh menghasilkan bayi - apabila orang faham, anak-anak muda faham, mereka tak akan buat. Mereka tahu benda itu salah.

Bila orang tak buat 'proses' yang boleh menghasilkan bayi secara sembarangan, maka tak akan ada bayi yang akan lahir ke muka dunia tanpa ada bapa, tanpa ada wali. Bila tak ada bayi yang lahir, maka, ada tak bayi yang boleh dibuang? Taubat tak ada, kan.

Sebab apa orang buang bayi? Sebab ada bayi yang lahir, dan mak 'bapak' bayi tak nak bayi tersebut. Sebab apa bayi tu boleh lahir? Sebab mak dan 'bapak' bayi tu dah buat satu perbuatan yang boleh menghasilkan bayi. Jadi, kalau bayi tu dah lahir, dan mak 'bapak' dia taknak, mereka akan tetap akan buang dia.

Dan kita nak harapkan mak-mak bayi yang tak ada ayah ni nak ada belas kasihan dalam diri? Kiamatlah. Orang-orang yang membuat bayi sebelum kahwin, Allah dah cabut perasaan belas kasihan dalam diri mereka, cabut perasaan sayang. Banyak lagilah kalau nak bincang.

Dan kita juga selalu skeptikal. Jumud. Bila buang bayi, semuanya salah perempuan. Perempuanlah yang buang bayi. Perempuanlah yang pandai-pandai mengandung. Padahal, perempuan tak akan mengandung tanpa ada lelaki yang mendajalkan dia. Cuba kalau lelaki tak sentuh perempuan, maka bayi taubat tak akan lahir. Maksudnya, hamba bukanlah nak cari salah siapa-siapa, tapi, jika kita menunding kepada perempuan semata-mata, seratus peratus, itu amatlah tidak kenanya. Kalau ingin salah-menyalah, lelakilah yang terlebih utama, terlebih aula, terlebih wajar untuk disalahkan. Tak bertanggungjawab. Mengambil kesempatan. Dan lain-lain.

Habis.

Kemudian, kita ini, sudahlah reaktif. Sudahlah tersalah tebak masalah. Salah pula cari jalan penyelesaian. Sepatutnya dalam masalah yang berkaitan secara langsung dengan agama begini, penyelesaiannya haruslah diambil daripada saranan agama. Apa kaitan yang jelasnya? Ya, masalah ini telah dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran. Jelas, dalam al-Quran Allah mengharamkan zina. Jadi sepatutnya kita mengambil langkah penyelesaian, pencegahan, pengawalan daripada al-Quran.

Sebab apa? Sebab penyelesaian dalam al-Quran, pencegahan daripada al-Quran bersifat berpanjangan, berkekalan, adil, sesuai untuk semua, logik, menginsafkan dan banyak lagi kelebihan lainnya.

Tapi kita tak. Apa kita buat?

"Saya cadangkan pihak-pihak tertentu seperti NGO atau kerajaan memulakan pendidikan pencegahan kehamilan melalui media massa seperti akhbar dan televisyen.

Anak-anak muda kita perlu dididik tentang penggunaan kondom dan pil pencegah kehamilan juga alat pencegah kehamilan seperti IUD dan di mana ia boleh didapati. Mereka juga perlu dididik tentang tanda-tanda kehamilan. Apa yang saya cadangkan di atas adalah seperti mana langkah pihak hospital menyediakan jarum suntikan kepada penagih dadah untuk mengelakkan HIV.

Ini bukanlah bermaksud kita menggalakkan pemuda kita menjadi penagih tetapi sekurang-kurangnya kita sudah cuba menjauhkan masalah yang lebih besar iaitu HIV.

Saya hargai langkah Utusan Malaysia melancarkan kempen Kami Prihatin untuk menyelamatkan bayi yang ditinggalkan. Saya juga cadangkan Pendidikan Pencegahan Kehamilan dimasukkan dalam kempen ini.

...

Kita perlu fikirkan tindakan segera kerana sekiranya sehari kita lewat bertindak maka sembilan bulan lagi kita akan menerima lagi mayat bayi yang dibuang.

Seandainya hari ini kita mula memberikan pendidikan pencegahan kehamilan serta kaedah-kaedahnya saya pasti masalah ini akan berkurangan atau hilang terus selepas sembilan bulan akan datang.

Mungkin ada yang berpendapat cadangan ini akan mengundang masalah perzinaan pula. Bagi saya biarlah kita selesaikan masalah yang besar ini dulu kemudian kita cuba betulkan kembali punca masalah ini, mungkin dengan pendidikan agama dan penyerapan nilai ketakwaan dalam diri pelajar sekolah.

Saya akui pendapat saya di atas bukanlah cara penyelesaian yang terbaik dan banyak juga kesan yang tidak baik tetapi adalah diharapkan kaedah itu akan dapat menyekat masalah kehamilan luar nikah serta pembuangan bayi menjadi parah.

Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan cadangan saya, saya minta marilah kita bersama-sama mengeluarkan pendapat yang berdasarkan fakta dan kaedah yang lebih baik untuk mengurangkan dan menghapuskan masalah di atas dengan segera.

Semoga dengan cara ini kita tidak lagi akan berjumpa dengan mayat bayi didalam longkang, tong sampah, masjid atau surau."

Sumber: Utusan Online (klik di sini.)
 
Daripada satu sudut, betul juga apa yang dia cakap. Dan tugas hamba bukan nak menyalahkan sesiapa. Bukan juga nak cakap hamba betul. Tapi hamba nak cakap bahawa kita suka berfikir secara reaktif, selalu tersalah prioriti dan salah menebak masalah, dan selalu sangat mengambil langkah penyelesaian bersifat sementara.

Kalau semua itu reaktif, apa yang proaktifnya? Itu, cuba tanya diri sendiri. Cuba fikir sendiri.
 
Akhirnya, tanyalah diri kita sendiri, apa yang terbaik. Berdiam diri sahajakah?

Apa pendapat tuan hamba?
 
p/s:
Taubat = gerenti


Kisah kasut

Tabiat kita adalah masuk rumah dengan memakai kasut. Tak mengapalah, sebab memang kita masuk rumah kita sendiri. Ikut suka kitalah nak masuk pakai kasut atau nak pakai apapun. Hak kita. Rumah kita.

Tapi, bila kita hendak tinggal dirumah orang, dan orang itu melarang kita daripada masuk ke rumahnya dengan memakai kasut, kita hendaklah membuka kasut. Ikut suka dialah, rumah dia kan. Kita hanya nak menumpang sahaja.

Eh, tak boleh, itu hak kita. Hak kita nak pakai kasut masuk ke dalam rumah. Tahulah hak, tapi sekarang ini, kita hendak menumpang di rumah dia, kenalah ambil hati dia. Hak kita tu, kita mintalah dengan cara yang elok. Mungkin dia tak bagi sebab dia tak faham, dia ingat kasut kita kotor. Terangkanlah kepada dia bahawa kasut kita tak kotor. Malah, banyak kebaikan kalau pakai kasut dalam rumah. Kalau benda itu betul baik, dia pasti akan terima.

"Ah, dah jenuh dah terang. Asyik cakap benda yang sama, terang benda yang sama, mereka tetap tak mahu terima juga."

Laa, kata dakwah ikut cara Nabi. Nabi mana pernah putus asa. Nabi juga asyik ulang perkara yang sama sahaja. Ulanglah sejuta kalipun, kalau kita yakin bahawa pakai kasut dalam rumah itu elok, banyak kebaikan, bermanfaat. Ulang, ulang, ulang. Masa makan cakap. Masa tengok tivi, cakap. Masa rehat, cakap. Masa main takraw, cakap. Cakap elok-elok, jangan sumpah-sumpah.

"Kalau kita pakai kasut dalam rumah, kita tak perlu tinggalkan kasut di luar. Bila kita tak tinggalkan kasut di luar, kasut kita memang tak ada harapan nak kena curi. Jadi, kita selamat, rumah kita selamat, kasut kita selamat. Kita tak perlu upah pengawal untuk jaga di pintu pagar untuk memeriksa setiap kasut orang yang keluar masuk."

"Bila kita pakai kasut dalam rumah, hati kita tenang, sebab dah tak fikirkan hal ehwal kasut di luar rumah. Bila hati tenang, kita boleh belajar dengan berkesan. Kita juga boleh beribadat dengan khusyuk."

Tuan rumah tetap tak nak terima hujah kita. Tak masuk akal katanya. Berbahaya. Idea bodoh. Boleh memecahbelahkan ahli keluarganya. Boleh menyebabkan pengaruhnya merosot. Nanti geng-geng pakai kasut dalam rumah akan mengambil alih rumah tersebut. Tak mengapa, kalau dia tak nak terima apa yang kita cakap, tak apa. Kita tunjukkan bukti. Kita tunjuk bukti, kita yang pakai kasut dalam rumah ini perangai elok, wajah hensem dan jelita, otak cerdas. Kita buat manis muka.

Ini tak, kitalah jembalang, hantu syaitan. Siapa nak suka kat kita?

Kalau kita nak keras kepala juga, dan tak nak menumpang di rumah dia, tak mengapalah, pakailah kasut ke dalam rumah dia, buatlah apa yang dia tak suka. Nanti bila dia halau, jangan salahkan dia.

Masalahnya, kalau dia halau kita seorang tak mengapa. Tapi nanti dia halau sekali dengan penyokong kita, orang yang bersimpati dengan kita, orang yang suka dengan prinsip kita. Bila mereka kena halau, kita salahkan tuan rumah, apa ni, dia tak pakai kasutpun masuk rumah, dia tak melalak-lalakpun sound tuan rumah. Kenapa kena halau juga? Ini tak adil. Berniat jahat. Come on, cuba salahkan diri sendiri.

Kalau tak nak menumpang kasih orang tak mengapalah, sayapun tak kesah. Tapi saya nak menumpang di rumah orang. Maka saya tak tunjuk saya pakai kasut dalam rumah. Maka saya tak langgar syarat-syarat sah tinggal di rumah tersebut. Saya tak melawan tuan rumah. Saya memang menyokong pakai kasut dalam rumah. Sayapun nak hak-hak saya dijamin, dijaga, tidak dicabul, tidak diliwat, tidak diperkosa.

Tapi saya tak nak kena halau. Jadi, saya tak bermegah-megahlah dengan pakai kasut dalam rumah depan tuan rumah. Saya penakut? Ya, saya penakut. Sebab saya memang nak menumpang di rumah dia. Walaupun saya tak memakai kasut di dalam rumah secara terang-terangan, saya boleh mengajar idea tersebut kepada anak-anak tuan rumah yang ramai lagi yang ada dalam rumah tersebut, bahawa memakai kasut dalam rumah ini sebenarnya baik. Nanti kalau dia tak nak pakai kasut dalam rumah, mungkin nanti anak dia boleh terima idea tersebut.

Jadi, kepada orang yang nak menumpang, buatlah cara nak menumpang. Bukan lama, dua tiga tahun sahajapun. Ada banyak baiknya juga. Tapi, kalau memang tak nak menumpang, tak mengapalah. Tak payah salahkan sesiapa kalau kena halau. Dan cubalah tolong kawan-kawan yang turut sama kena halau sebab menunjukkan simpati kepada kamu, atau sebab makan sekali bersama kamu atau sebab tidur sekali dengan kamu.

Saya tak kesah, sebab di mana-manapun ada baik buruknya. Cumanya, jangan salahkan orang. Tabiat itu tidak baik. Bagus juga tak menumpang di rumah orang, nanti boleh pakai kasut dalam rumah sesuka hati. Itukan hak kita.

Dan bila kita berani memakai kasut dalam rumah dia, bila kita berani buat dia marah, kita kenalah berani dan bersedia menerima risiko. Sebab awal-awal lagi kita sudah tahu, bahawa, bila melawan kehendak tuan rumah, kita ada harapan untuk dihalau. Bila kita berani ambil risiko, kita kena berani dan tabahlah menanggung risiko tersebut. Semoga Allah bagi ganjaran pahala kepada kamu orang yang tetap teguh memperjuangkan hak, jika kita memang daripada golongan yang benar. Saya juga berjuang, dengan cara masing-masing.

"Masalahnya sekarang ini, orang yang tak aktifpun tak dapat jugak!!!"

Itu yang aku tengah garu kepala sekarang.

Hmmm, belajarlah bersungguh-sungguh.