Malam Yang Indah.

Saya ingin ceritakan satu perkara.

Tapi sebelum tu, saya ingin nyatakan beberapa perkara:

1 - esok pagi jam lapan, saya mid term.

2 - tengah hari nak hantar resume plak. contoh resume pun tak ada lagi. data-data pun tak kumpul lagi. saya gi khidmat masyarakat bila, jadi ajk bila, gi debat bila...mana ingat tarikh-tarikh itu.

tapi, saya seorang yang sangat kool. nak study pun nota tak ada lagi, tak beli lagi. jadi, tak payah study. resume tak payah buat.

ok, saya nak cerita:

malam ni, saya ke panggung seni. saya datang sebab ada orang ajak (walaupun orang tu pun tak hadir). di sana, saya tengok teater, pementasan yang terakhir dah pun.

saya nak cerita:

saya rasa begini:

betapa jauh saya yang fpi ni. teater tu cerita tentang persoalan jihad dan perjuangan (salah satu isi dia la). drama tu dipentaskan oleh sekumpulan pelajar yang bukan ambil jurusan agama, bukan fpi la (saya agak la, berdasarkan clue-clue yang ada kan).

saya fikir:

tak ada fpi yang akan buat ni. teater kot. dengar nama pun fpi dah berbulu. alangkah bagusnya kalau ada mesej-mesej Islam yang disampaikan secara bersahaja begitu, tanpa perlu ceramah-ceramah, tazkirah, forum - yang sah-sah tak ada orang nak datang. tak ada maksud saya, tak ramai lah kan.

saya rasa:

teater tadi bagus sangat. saya boleh katakan ia Islamik (dalam pandangan saya la - seorang fpi yang tak terlalu fpi), dan saya rasa ia satu teater yang bagus. dan saya rasa saya yang fpi ni jauh sangat dalam menggunakan wadah-wadah (cewah) yang ada untuk menyebarkan idea-idea Islam. sebab tu, banyak cerita khurafat, konon-konon nak sebar Islam, tapi mengarut. sebab apa, sebab yang buat tu bukan fpi. fpi di mana? fpi pantang.

saya tak kutuk fpi ya. saya cuma lontarkan satu idea sahaja. sebab saya juga fpi, dan saya tak pernah tengok teater.

sebenarnya, saya pun tak tahu nak cakap apa.

Couple tu haram ke?

"Couple tu haram ke?"
"Tak tahu."
"Awak rasa?"
"Tak tahulah. Awak macam mana?"
"Saya tak tahulah. Tu saya tanya awak. Ada ustazah saya cakap boleh, ada yang tak."
"Saya berpegang yang kata boleh."
"Kenapa?"
"Boleh saya couple juga."
"Yelah tu."

Kata-kata hikmat minggu ini

"Biarkan ia mengalir, menyerap ke hati seperti halnya hujan yang turun dari langit, mengalir dan menyerap ke bumi semau-maunya."

"Tersangat berahilah hamba akan tuan hamba tiada tertahan-tahan lagi."

"Kamu ni, kurang satu je."
"Kurang apa ustaz?"
"Comel, comel dah. Pandai, pandai dah, tapi kurang satu je."
"Kurang apa, ustaz?"
"Nak dengar?"
Angguk.
"Kurang zat."
Gelak.
"Zat apa ustaz?"
"Zat apa-apa sajalah."

Burung merpati terbang bersama bayan,
Singgah sebentar di pohon Meranti;
Rindu hatiku bukan gurauan,
Wajahmu tuan, termimpi-mimpi.

"Kami hanya kawan, apa yang terjadi hanya salah faham."

Drama sebabak

Latar masa: Selepas solat Maghrib. Sangat dekat dekat dengan waktu Isya'.
Latar tempat: Kolej Keris Mas, UKM. Perhentian bas.
Watak: Pelajar lelaki, dua orang kawannya, pelakon pembantu sebagai penunggu bas, pemandu bas, dan penumpang bas.

Suasana gelap dan suram.

Kelihatan seorang pelajar lelaki baru keluar dari surau kolej Keris Mas, kemudian bergerak ke perhentian bas di depan kolej. Kelihatan seorang pelajar perempuan Melayu sedang duduk di bangku tepi sebelah kanan, dan dua orang pelajar Cina berada di hujung satu lagi. Dia berjalan ke tengah perhentian bas yang panjang itu, tidak duduk, tetapi membaca-baca sesuatu yang dilekatkan di dinding perhentian bas.

(Tidak lama berselang)
(Bunyi kenderaan)

Bas datang. Pelajar itu menjenguk-jenguk ke arah bas. Kelihatan tertulis di depan bas 6K/6Z. Pelajar itu menunggu sehingga bas berhenti. Bas berhenti di hujung perhentian bas. Pelajar itu bergerak menuju ke arah bas. Apabila pintu bas terbuka, pelajar itu naik.

Bas agak penuh.

Seseorang (duduk di kerusi): Hai Ajim.... (sambil melambai-lambai tangannya).
Ajim: (Memandang kepada punca teguran itu. Kelihatan dua orang kawan sekolej dengannya) Hey!! (melambai juga - Teruja).
Ajim: Kau dari mana nih? (masih melambai-lambai – menggerak-gerakkan tangannya)
Seseorang: Aku dari London.
Ajim: Oh ya?? (memandang tepat ke arah kawannya).
Ajim: (Hendak menyatakan sesuatu, tetapi tidak jadi, terus melangkah ke belakang mencari kerusi untuk duduk – kelihatan berfikir-fikir).


Oleh:
Narma Mizda
-C110211-

Persoalannya, apakah yang hendak dicakapkan oleh Ajim selepas mendengar jawapan kawannya? Apa yang difikirkan olehnya? Sila nyatakan idea anda. Idea dan jawapan yang paling menarik akan diberikan hadiah. Tarikh tutup penyertaan adalah: bila dah ramai penyertaan. Hehehe...













Quote

"Beb, wa kan FPI..." -Adzim.



















=)

Broken heart by Axel Rudi Pell

I'm lost in a dream, with a mind's full of sadness,
I remember the good times, that we had in our madness,
frozen tears with illusions of fire,
all of my life was filled with desire

Oh I wish we could go back to where we started,
Love, lost love, you're so cold, cold hearted,
the fire in your eyes gets me out of my mind,
how could it be, that you're so blind

Hunting the shadow, that was lost in the past
like a soldier of fortune, who's life couldn't last,
falling tears, from a love's not in vain
time tells no lies, could our love come back again

[Repeat Bridge]

Don't leave me alone
with my broken heart
can't you see, that I've loved you from the start
Don't leave me alone
with my broken heart
can't you see, that I've loved you from the start

[Repeat Chorus]

Basic skill of public speaking

Basic skill of public speaking:


1. Always start by telling people what you are going to tell them.

2. Tell them.

3. Tell them what you have told them.



Second skill of public speaking:

1. Write down any story or fact or example that resonates with you.

2. Practice telling it out loud. Listen to yourself actually saying the words.

3. These stories will become your “beads,” as in the beads of a necklace.

4. All you have to do when giving a speech is string your beads in the appropriate order, and you will give a speech that seems as natural as conversation

5. Use 3-by-5 cards or a clipping file to keep adding new beads to your string.


~copied from somewhere...creadit to the original author...

Bisik pada hati

Aki, Aki tak tahukah, Mija sangat sayangkan Aki? Mija sangat sayangkan Aki. Dia tahu, Aki tidak mendengar suara hatinya. Aki tidak ada dekat dengannya. Dan kalau Aki ada dekatpun, Aki tak akan dengar, sebab dia hanya berbicara dengan hatinya. Telinganya sendiripun tidak dapat mendengar. Hanya dia sendiri – dengan hatinya juga – yang mampu mendengar suara hatinya.

Aki, dengarlah, Mija sangat sayangkan Aki. Terbayang wajah Aki di tubir matanya. Aki, Akilah cinta pertama Mija. Akilah yang mengajar Mija tentang cinta. Akilah yang mengajar Mija makna rindu. Aki, Mija rindu akan Aki. Aki tak tahukah?

Kenapa Aki dah tak mahu menyambut cinta Mija? Apa kurangnya Mija?

Aki, Mija tahu, Mija tak sempurna. Mija pernah buat salah. Memang Mija akui, Mija dah buat kesilapan yang terbesar dalam hidup Mija. Tapi, Mija tak bermaksud untuk menjauhkan diri daripada Aki waktu itu. Setiap hari Mija fikirkan tentang Aki. Setiap hari Mija rindu akan Aki. Akilah satu-satunya lelaki dalam hidup Mija. Aki tak tahukah?

Aki, dalam surat Aki (surat yang terakhir untuk Mija), Aki cakap, Aki akan sayang Mija sampai bila-bila. Aki cakap Mijalah satu-satunya cinta Aki. Tetapi, kenapa akhirnya Aki tinggalkan Mija? Kenapa cinta Aki terhadap Mija pudar dan hilang?

Mija tahu, semua tu salah Mija. Tapi, Mija tak pernah berniat nak buat macam tu. Dulu Mija memang jahil tentang cinta. Mija jahil tentang perasaan lelaki. Mija tak faham perasaan Aki. Aki, maafkan Mija. Terimalah Mija lagi. Aki, Mija merayu pada Aki, terimalah Mija lagi. Mija sayang sangat-sangat akan Aki.

Dia memandang siling. Hitam dan kelam dalam pekat malam. Namun, serasa ada wajah Aki di situ, di siling yang menghitam. Lampu telah lama dipadamkan, namun matanya masih belum juga berat untuk tertutup. Dipaksakannya juga menutup matanya, namun akhirnya pedih sendiri. Dia membuka matanya lagi, dan di mana-manapun, ada wajah kekasih hatinya, ada wajah Aki.

Dia menarik selimut, menutup badannya. Kipas yang tergantung di siling berputar agak laju juga. Aki, terimalah Mija lagi. Mija cinta akan Aki. Cinta Mija akan Aki tak pernah berkurang, malah bertambah dari hari ke hari.

Dia mengiring, mencapai telefon bimbitnya yang berada di sisi. Ditekannya punat-punat di pad kekunci telefon bimbit itu, menaip satu mesej, ‘Selamat malam Aki. Mimpi indah.’ Dia kemudiannya memasukkan nombor telefon Aki, kemudian menekan butang send. Dia meletakkan kembali telefon itu ke sisinya, di bawah bantal. Pandangannya dihalakan lagi ke siling. Pandangannya itu serasa menembus, terus ke langit yang kelam, mencapai bintang-bintang. Dia tahu, Aki tidak akan membalas mesejnya. Tak mengapalah, dapat menghantar mesejpun sudah cukup bahagia dia rasa.

Aki, datanglah dekat Mija. Terimalah Mija lagi.

Aki, Mija tahu, Mija tak layak untuk Aki. Tetapi hati Mija ini tak pernah berhenti untuk mengharap pada Aki. Hati Mija hanya untuk Aki. Hati Mija hanya mengharapkan Aki. Mija sendiri tidak tahu mengapa. Cinta Mija sangat kuat terhadap Aki.

Mija ingat lagi, semasa kita berjumpa dahulu, Mija pakai selekeh sahaja. Mija tak cantik. Aki hensem. Mesti Aki malukan jalan-jalan dengan Mija. Tetapi Mija sayangkan Aki. Mija ingat juga, masa itu, Mija makan nasi di medan selera, Aki tak nak makan. Aki teman dan tengok sahaja Mija makan. Bila Aki pula makan di McD, Mija pula tak mahu makan. Mija tak pandai nak makan McD. Mija gadis kampung sahaja. Tentu Aki malukan ada awek macam Mija.

Lepas tu, bila Aki nak shopping, Mija tak teman. Mija suruh Aki pergi sendiri, Mija hanya duduk dan tunggu sahaja di bangku di tingkat bawah dalam Mall itu. Mija bukan sengaja tak nak teman Aki, tapi Mija tak larat. Mijakan datang dari jauh nak jumpa Aki. Mija tak tidur semalaman. Tak mengapalah, semua tu kan dah lepas.

Bila nak tengok wayang, Mija tak pandai nak beli tiket. Mija biar sahaja Aki beli tiket sorang-sorang. Memang Mija gadis kampung, tak pernahpun masuk panggung. Lainlah Aki, orang bandar. Biasa tengok wayang, main bowling, shopping, makan KFC, McD; dunia Aki luas. Mija tak tahu semua tu.

Tapi Aki, itu dulu. Aki, sekarang Mija sudah berubah. Mija sudah sedar. Mija sudah tahu, Mija tak boleh biarkan Aki sorang-sorang. Dulu, Mija tak mesej Aki, sebab Mija takut ganggu Aki nak belajar, Aki nak menduduki peperiksaan akhir. Mija takut Aki tak lulus. Tapi, sekarang, Mija sudah tahu, Aki perlukan teman untuk Aki belajar, atau buat apa sahaja. Aki, Mija janji, Mija akan sentiasa menemani Aki, tak akan berjauhan dengan Aki lagi. Terimalah Mija lagi.

Aki tahu tak, Mija selalu nak Aki ada dekat dengan Mija. Kenapa Aki tinggalkan Mija sorang-sorang? Aki cakap dalam surat Aki, walau macam mana marah sekalipun Aki kat Mija, Aki akan tetap sayang Mija. Kenapa Aki tinggalkan Mija?

Aki, remuknya hati Mija, hanya Tuhan yang tahu. Betapa, bila rindukan Aki, Mija tak tahu macam mana nak rasa – sakit, rindu, sayang, sedih, kecewa, cinta – semuanya meghiris-hiris dada Mija. Aki, terimalah Mija lagi. Mija pohon dengan tulus, terimalah cinta Mija untuk Aki.

Aki, Mija tahu, memang Mija tak romantik. Mija tak pandai nak layan Aki. Mija selalu menyakitkan hati Aki. Mija selalu buat Aki marah. Tapi bila Mija tanya, Aki marahkah, Aki selalu jawab, tak, cuma geram. Aki, mana Mija tahu, bila lelaki cakap geram, maksudnya marah. Mijakan tak pernah ada kawan lelaki sebelum Aki. Akilah lelaki pertama yang Mija berkawan, kemudian terus jatuh cinta. Mija dahulukan sekolah perempuan sahaja. Mija tak faham perasaan lelaki. Maafkan Mija bila waktu itu, Mija tak pandai layan Aki.

Aki, terimalah Mija lagi. Mija janji, kalau Aki terima Mija lagi, Mija akan jaga perasaan Aki dengan sebaiknya, Mija tak akan buat Aki marah Mija lagi, Mija tak akan buat Aki geram lagi. Mija janji akan layan Aki dengan baik.

Aki, berilah satu peluang untuk Mija ambil berat tentang Aki lagi. Berilah peluang untuk Mija menyayangi Aki lagi. Berilah satu peluang untuk Mija memenangi hati Aki lagi. Mija merayu pada Aki. Mija sangat sayangkan Aki. Mija tak boleh lupakan Aki.

Aki, tak pernah sedetikpun Mija lupakan Aki. Tak pernah sekelip matapun, tak pernah sehembus nafaspun Mija melupakan Aki. Aki ada dalam denyut nadi Mija. Aki ada dalam hembus nafas Mija. Mija tak boleh lupakan Aki. Mija tak pernah boleh berjauhan dengan Aki.

Aki, datanglah dekat Mija. Terimalah Mija lagi. Berilah peluang untuk Mija menyimpan hati Aki lagi. Kerana, hanya ada Aki dalam hati Mija. Hanya Aki.Hanya ada Aki dalam hidup Mija. Selamanya.

Terasa Aki hadir mendekat dengannya. Terasa Aki begitu dekat. Terasa Aki mendengar suara hatinya. Terasa Aki memenuhi hatinya, dadanya, jiwanya, fikirannya, memenuhi dirinya. Dan, tanpa dia sedari, ada sejernih air melintasi pipinya.

Aki, datanglah. Mija rindu akan Aki.

Aki, datanglah.

Dan di dalam selimut, dia teresak sendiri.



Oleh
Narma Mizda (nama pena).
-C090211-
KIY, UKM.

Musafir berdosa

oleh
Narma Mizda (nama pena)



“Lesen dengan road tax.”

Dia membuka dompetnya. Membelek-belek, kemudian mengeluarkan lesennya dan road tax yang baru diperbaharuinya sejam yang lalu. Pegawai itu menyambut hulurannya, membelek-belek dan meneliti dua keping – lesen dan road tax – itu.

“Ni P ni, ada P?” pegawai itu bertanya sambil mencari sticker P.

“Ada, ni,” jawabnya bangga sambil menunjukkan ke sticker P yang ditampal. Pegawai itu membelek-belek lagi lesen dan road taxnya.

“Nak gi mana ni?” tanya seorang pegawai lain yang duduk di kerusi di bawah khemah.

“Balik kampus.”

“Kenapa pakai selipar?”

Alamak.

“Masa test dulu pakai apa?”

“Kasut,” jawabnya ragu-ragu.

“Boleh tak pakai selipar?”

“Tak boleh.”

“Dah tu?” Dia memandang ke seliparnya.

“Hmmm, kasut tak ada, tercabut tapak. Hari tu masa balik kena hujan, tercabut tapak.”

“Turun dulu, gi selesai dengan pegawai tu,” arah pegawai yang memegang lesen dan road taxnya.

‘Pulak,’ bisik hatinya. Dia mematikan enjin, membuka topi keledar, menyangkutnya di cermin pandang sisi, turun dari motosikal, pergi ke khemah tempat pegawai itu duduk. Pegawai-pegawai lain sibuk menahan motosikal-motosikal yang lewat, dan memeriksa lesen dan road tax setiap penunggang.

Sebaik sahaja dia mendekati khemah, pegawai yang duduk itu bangun dan meninggalkannya, pergi mendapatkan penunggang lain yang baru tiba. Pegawai yang memegang lesen dan road tax motosikalnya datang mendekat.

“Duduk dulu,” pegawai itu mempelawa. Dia duduk. Tersengih-sengih.

“Awak ni dari segi luaran dah ok, lesen ada, road tax ada, P ada. Tapi dari segi dalaman, awak ada masalah. Awak pakai selipar.”

“Hmmm...”

“Kenapa pakai selipar?”

“Kasut rosak. Hari tu, masa balik kena hujan, tercabut tapak.”

“Awak tahu tak, awak dah melakukan kesalahaan.”

“Tak,” dia mengeleng.

“Saya boleh charge awak tidak memakai alas kaki semasa memandu. Kalau saya buka buku, buku ada kat belakang tu, sekarang ni, operasi raya cina, awak kena bayar dua ratus ringgit, tahu?”

“Ooo..”

“Jadi, macam mana? Awak nak saya tulis dalam buku tu ke, nak runding?”

“Rundinglah.”

“Kalau nak runding, sebelah tanganlah (sambil mengangkat tangan kirinya dan membuka telapak tangannya), ni jabatan ni, bukan macam jabatan lain, dua puluh ringgit, tiga puluh ringgit. Ni jabatan ni, lima puluh ringgit.”

‘Mampus,’ jerit hatinya. Dalam dompetnya hanya ada enam puluh tiga ringgit.

“Maaf cik, saya tak ada duit ni. Saya ada lima puluh ringgit je, nak buat isi minyak.” Dia mengeluarkan dompet, membukanya, dan menunjukkan isi dompetnya kepada pegawai tersebut.

“Itu saya tak tahu. Kalau nak runding, lima puluh ringgit. Kalau tak saya buka bukulah, awak kena dua ratus ringgit. Awak pilihlah.”

“Maaflah cik. Saya tak ada duit ni.”

“Kalau tak ada duit, saya buka bukulah, dua ratus ringgit. Awak pilihlah, jangan kata saya paksa. Awak nak rugi dua ratus ke awak nak runding, bayar lima puluh ringgit. Awak jangan kata saya paksa, saya tak paksa, terpulang kat awaklah. Saya tak paksa.”

“Maaflah cik. Ni first time ni. Saya ada lima puluh je, nak isi minyak.”

“Awak jangan cakap macam tu. Kalau tak ada duit, cakap ‘cik saya tak ada duit, buka bukulah’, saya boleh buka buku, awak kena dua ratus.

Dia diam. Perasaannya berperang sendiri. ‘Suruh sahaja dia tulis, nanti bayarlah dua ratus.’

‘Nanti susah pula. Nanti ada rekod. Duitpun tak ada nak bayar.’

‘Kalau bagi lima puluh sekarang, nak ambil duit di mana pula? Jauh lagi nak sampai. Nak isi minyak dengan apa?’

‘Nanti cucuk la kat ATM di stesen minyak mana-mana.’

‘Nak bagi lima puluh ke nak bayar dua ratus.’

“Cepatlah, orang lain ramai lagi nu. Macam mana? Nak suruh saya tulis ke nak runding? Awak jangan kata saya paksa. Saya tak paksa. Saya bagi awak pilihan. Kalau saya tulis terus, nanti kata tak ada tolak ansur, tak ada runding. Ni saya rundinglah. Awak nak yang mana?”

“Maaflah cik, sekali ni je.”

“Tu saya tak nak dengarlah. Awak belajar lagi?”

“Ha’ah.”

“Ha, awak belajar, awak tahulah kan. Nanti awak keluar, awak nak jadi orang besar juga. Awak pandai lagi daripada saya. Awak dah buat salah ni. Awak pilihlah, nak suruh saya tulis ke, nak runding. Cepatlah, ramai lagi orang lain.”

“Saya tak ada duit ni cik. Maaflah”

“Ni undang-undang, kalau saya buat longgar, nanti lagi ramai yang buat. Awak ni penunggang motosikal, bahaya. Dua tiga hari lepas, dua orang naik motosikal terjun dalam gaung. Ni awak ni, kalau saya tak tegas, masuk gaung jugalah. Kami tak kesah kereta, tengok, mana ada kami tahan kereta, kami tahan motosikal sahaja. Motosikal ni bahaya, sebab tu kena terperinci sikit.”

‘Yelah tu.’

Dia diam lagi.

“Cepatlah.” Pegawai tersebut tidak sabar lagi. ‘Suruh sahaja dia tulis, nanti bayar dua ratus. Apa masalahnya. Bayar sahajalah.’

‘Nanti susah pula.’

“Kalau awak nak, saya tulislah dalam buku kat belakang tu, awak bayar dua ratus.”

“Kalau tulis tu, macam mana?”

“Awak bayarlah dua ratus.”

“Bayar sahaja?”

“Ya, bayar sahaja, tak kena naik mahkamah ke apa, kompaun sahaja.”

‘Oklah, tulis,’ jerit hatinya.

“Hmmm,....



Bersambung...

Ingin mengetahui kesudahan cerita ini? Apakah keputusan yang diambil oleh penunggang motosikal tersebut? Adakah dia memberi lima puluh ringgit, atau menyuruh pegawai tersebut menulis dalam buku? nantikan sambungannya...


-C080211-
KIY, UKM.

Pantun Dua Belas Tengah Malam

Sebelum tidur, ada mesej masuk ke dalam cell.

Badan panas seperti kopi,
Tekak perit tak terperi,
Kepala denyut-denyut sayur sawi,
Rupanya menahan demam kuah kari,
Selamat malam sambal kiwi..


Ooo, nak berpantun ya. Meh kita berbalas pantun, detik hatiku sendiri. Dan tanganpun menaiplah:

Ke mana tumbuh pucuk,
Pucuk tumbuh naik tak tinggi,
xxxx sungguh bucuk,
Bucuk tubuh sebab tak mandi.


Bucuk xxxx bukan sebab tak mandi,
Bucuk xxxx bucuk kereta kenari,
Kalau berani jangan main lari-lari,
Jangan tak sedar Ajim yang perasan wangi.


Biar pucuk tak melata,
Salin tempat burung nak bersarang,
Biar bucuk tak mengapa,
Ajim tak ada orang nak sayang.


Kail panjang merentas kuala,
Tempat burung belajar mengeja,
Kalau tak ada yang sudi tak mengapa,
Carilah pasangan hidup selamanya.


Karangan itu lama sekali,
Tiada tanda itu budi,
Pasangan itu cuma mimpi,
Tiada siapa yang sudi.


Mulut tidak seiring dengan hati,
Kenapa perlu mengalah di permulaan hari,
Hidup sudah ditentukan yang pasti,
Ayuh bangun untuk mencari?


Bertiup angin ke kuala dua,
Kejar ke hulu sampai ke muara,
Hidup Ajim di kala muda,
Belajar dahulu sampai berjaya.

(ia boleh juga berbunyi)
Bertiup angin ke Sungai Dua,
Kejar ke hulu sampai ke muara,
Hidup Ajim sebagai pemuda,
Belajar dahulu sampai berjaya.


Itu sudah kata putusnya,
Ilmu bagi penuh di dada,
Doa sentiasa mengiringinya,
Untuk Nur Ajim sentiasa bahagia.


Dah, tak habis ni malam ni asyik berbalas pantun.

Bunga selasih kain lipatan,
Dalam dapur dua gelas di atas talam,
Cuit krim dengan jari tengah,
Terima kasih Ajim ucapkan,
Jomlah tidur, sudah dua belas tengah malam,
Sweet dream dan mimpi indah.


Hahaha, saya gelak sendiri. Apa punya pantun dah saya buat ni, susunan berterabur, rangkap tak sekata. Hahaha, sekali enam rangkap you, saya bagi. Amik kau...hahaha...

Sudah tak reply. Sayapun pejam mata. Dan tiba-tiba dapat idea lagi. Habislah.


Alim bukan sebarang alim,
Alim ini memakai lebai,
Ajim bukan sebarang Ajim,
Ajim ini orang pandai.

Tapi, ‘memakai’ dengan ‘orang’ tu tak sepadan lah. Tak sama bunyi langsung. Sayapun fikir-fikir, cerdik, herdik, bijak, pijak, bijaksana, alim ini kurang lebai. Aih, tak boleh pula, lebai kan kopiah, mesti kena pakai. Apa ya...akhirnya:

Alim bukan sebarang alim,
Alim ini mengajar isteri,
Ajim bukan sebarang Ajim,
Ajim ini pelajar bistari.

Jangan marah aa..


Baru sahaja saya send, sampai mesej:


Badan yang lemah tak mampu tertanggung,
Ajim tidur untuk tenaga rendang,
xxxx tak sedap badan tunggu suhu menurun,
Mimpi yang indah ye untuk Ajim yang sopan.

Selamat malam ye.

Kemudian, tak lama.


Alim Ajim kuat tapaknya,
Untuk isteri dan keluarga harmoni hendaknya,
Carilah yang mampu kawal keluarga,
Kebahagian memang dicari semua.

Kesimpulan, memang Ajim pandai pantun. :)

Habis.

Persoalannya kini (baca macam Hujan nyanyi Dugaannya), adakah ku pandai berpantun? Hahaha...

p/s: Saya tak pernah menyebutkan nama orang lain dalam penulisan saya, kecuali beberapa orang yang saya rakamkan penghargaan secara khusus seperti Xinniralubayna, Safwan dan Wana. Sebab saya fikir setiap orang mempunyai privasi masing-masing, dan saya tidak ada hak untuk mendedahkan mereka kepada dunia internet yang tiada sempadan. Saya tiada hak untuk menulis, kecuali cerita-cerita saya sahaja. Bahkan, dalam ‘diari manual’ saya, ‘Beberapa Catatan Waktu’ dan ‘Sebuah Cerita Suka Duka’; yang tiada orang yang membacanya selain saya – saya juga tidak pernah menyebutkan nama orang lain, hatta nama awek saya sendiri. Saya seorang yang bersifat protektif dan melindungi. Sebab, apa dan siapa yang saya hargai dan saya sayangi, saya simpan di dalam hati, dalam mimpi-mimpi. Anda tahu siapa anda.

p/s 2: Saya juga keberatan untuk menguploadkan gambar-gambar orang lain dalam facebook saya, (misalnya). Juga kerana alasan bahawa setiap orang perlu dilindungi hak privasinya masing-masing. Hanya terkadang, saya menguploadkan juga atas permintaan-permintaan daripada individu tertentu, dan sebab terkadang, kamera saya menjadi kamera public.

p/s 3: Sebab itu, saya tidak suka gambar saya dimuatnaikkan ke dalam alam maya – tambahan pula, memang tak pernah gambar saya kelihatan sehensem saya (sila muntah jika perlu). Tapi terkadang, saya menempel dalam gambar orang, kan? Takkan nak cut kan buang gambar saya.

p/s 4: Saya memang suka menggangu orang, mesej, terkadang menyakitkan hati. Saya minta maaf. Tetapi, menghebahkan nama orang (yang disukai atau tidak disukai) ke alam maya, saya tak buat.

p/s 5: Sebab itu, saya keberatan juga bila ada orang menjejerkan nama saya dalam tempat-tempat tertentu (Aku benci Muhamad Nur Adzim bin Amran – contohnya). Tapi, kalau dah orang benci, dan dia dah buat, nak buat macam mana. Tentulah kebencian dia itu lebih besar daripada hak privasi saya – dan lagi pula, saya tidak lah sepopular mana.

p/s 6: Setakat ini, saya google nama saya, yang keluar, blog saya sendiri dan laman web Dewan Bahasa dan Pustaka, nama saya sebagai penyumbang sajak-sajak untuk majalah Dewan Siswa dan Tunas Cipta.

p/s 7: Sesiapa yang nak namanya ditulis di sini, boleh request dengan saya. Segala permohonan akan dipertimbangkan – memandangkan ini adalah cerita saya, dan guru saya mengajarkan: jangan tulis cerita orang lain.

Oh, dah 01:58.

oh ya, hak cipta pantun-pantun di atas adalah milik Ajim dan kawannya. Dilarang plagiat.