Seluruh dunia maklum bahawa Semenanjung Gaza diperintah oleh HAMAS. HAMAS yang asalnya mendapat mandat yang sah daripada rakyat untuk mentadbir seluruh wilayah Palestin, telah dihalau oleh Fatah daripada Tebing Barat dalam satu rampasan kuasa yang memalukan.
Kini, dengan Palestin terbahagi dua, satu ditadbir oleh Fatah dan satu lagi ditadbir oleh HAMAS, berlaku ketidakseimbangan yang ketara dalam masalah hak asasi manusia. Masalah ini timbul apabila Fatah yang memerintah Tebing Barat disokong oleh dunia, manakala HAMAS pula dilabel sebagai pengganas dan ditekan sejak hari pertama kemenangan mereka lagi. Pokok pangkalnya cukup mudah; Fatah sangat lunak dan ingin berbaik dengan Israel, manakala HAMAS pula sangat membenci dan memusuhi Israel. Bukan setakat bermusuh, malah HAMAS telah berikrar akan meneruskan usaha membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan Israel.
Abaikan sementara Fatah. Mereka sudah banyak mendapat 'kasih sayang' daripada dunia.
Hari ini, HAMAS bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup di Semenanjung Gaza. Sebagai pemerintah, HAMAS telah berusaha sehabis mungkin untuk menyediakan keperluan asas kepada setiap penduduk di Gaza. Namun dengan 1001 macam bentuk sekatan, HAMAS tidak mampu berfungsi dengan efisyen. Pun begitu, HAMAS tetap mendapat sokongan rakyat. Cakap-cakap yang mengatakan HAMAS akan jatuh selepas 3 bulan memerintah hanya tinggal cakap-cakap yang terbukti sebaliknya. Rakyat dengan sabar, ikhlas dan setia menyokong HAMAS. Mengapa hal ini berlaku?
Tidak lain dan tidak bukan, HAMAS mendapat sokongan kerana perjuangannya. HAMAS berjuang untuk sebuah Palestin yang merdeka, tanpa wujudnya sebuah entiti lain bernama Israel. Bukankah bumi Palestin itu bumi perjuangan? Dan bukankah penduduknya dimuliakan oleh Allah kerana perjuangan mereka? Oleh itu, tiada sebab untuk duduk berkompromi dengan Israel, dan tidak perlu berangan-angan untuk melihat Israel mematuhi perjanjian damai.
Selain itu, HAMAS juga sangat mesra rakyat. HAMAS merupakan sebuah parti yang bermula daripada bawah. HAMAS bukan sahaja berusaha menyediakan keperluan asasi, tetapi mereka juga mengadakan banyak perkhidmatan sosial secara percuma, seperti perkhidmatan hospital percuma. Asy-syahid Rantisi misalnya, terkenal sebagai seorang doktor rakyat, walaupun beliau merupakan pemimpin tertinggi HAMAS. HAMAS bahkan menyediakan perkhidmatan cari jodoh kepada penduduknya. Hal ini berbeza daripada parti politik lain, yang melihat kedudukan hanya untuk mencari pengaruh dan kesenangan serta sebagai peluang mengumpul harta.
Maka jelaslah mengapa dalam suasana paling sulit sekalipun, rakyat tetap menyokong HAMAS.
Malangnya, sokongan mereka kepada HAMAS tidak mendapat restu dunia. Mereka akhirnya dihukum kerana sokongan mereka itu. Makanan disekat. Pintu sempadan ditutup. Air dicatu, elektrik diputuskan. Ubat-ubatan tidak dibenarkan dibawa masuk. Bahan binaan juga dilarang. Pendek kata, semuanya tidak boleh. Satu-satunya perkara yang mereka boleh dapatkan dengan senang dan percuma adalah udara untuk disedut ke dalam dada - itupun tercemar dengan bahan kimia - fosforus - daripada bom-bom Israel. Kalau udara boleh disekat daripada masuk ke Gaza, nescaya udarapun mereka tidak akan dapat. Tinggallah terlolong-lolong di dalam penjara terbesar itu, tiada siapa peduli.
Namun, sebagai sebuah parti pemerintah yang sama-sama merasai azab yang ditanggung rakyat, HAMAS memanjangkan akal mencari kaedah untuk membawa masuk bekalan makanan dan keperluan ke Gaza. Mereka mula membina terowong dan 'menyeludup' barangan daripada Mesir melalui terowong tersebut. Dalam masa yang singkat, terowong bercambah dengan cepat dan bilangannya bertambah dengan mendadak. Dengan terowong itu, penduduk Gaza bolehlah sedikit menyambung hayat.
Namun, usaha musuh tidak pernah putus untuk menghancurkan HAMAS. Israel mengebom terowong-terowong tersebut. Tak berjaya. Akhirnya, Israel menyuruh Mesir menanam tembok besi di tengah-tengah terowong di sempadan Gaza dan Mesir, sehinggakan penduduk Gaza tidak lagi dapat menggunakan terowong tersebut. Bukan itu sahaja, Israel bahkan akan mengalirkan air laut ke dalam terowong-terowong tersebut, sehinggakan terowong itu dipenuhi air masin dan tidak dapat digunakan sepenuhnya.
Setakat ini, terowong itu merupakan cara terakhir penduduk Gaza meneruskan hayat mereka. Dan sekarang, pembinaan tembok itu sudah dimulakan. Dengan kata lain, sedikit masa lagi, penduduk Gaza tidak akan dapat menggunakan lagi terowong mereka.
Berhenti sekejap dengan kisah itu. Perhatikan satu lagi kisah, iaitu kisah Viva Palestina. Viva Palestina mengumpulkan dana dan anggota daripada seluruh dunia, dan bergerak ke Palestin dengan misi membawa bekalan makanan dan ubatan. Seperti biasa, apa-apa bentuk bantuan kepada Palestin tidak akan direstui oleh 'jiran' mereka, Israel. Tak mengapalah, semua orang faham bahawa dua 'jiran' ini memang 'suka' 'bermusuhan'.
Yang menjadi kehairanannya adalah, 'jiran' yang sepatutnya menjadi 'saudara' sanggup juga membunuh saudara sendiri. Tidak lain dan tidak bukan, 'jiran' itu adalah Mesir. Mesir, bukan sahaja mengikut telunjuk Israel dan Amerika dengan menanam tembok keluli untuk memutuskan terowong, tetapi juga mendengar 'nasihat' 'sahabat baik'nya untuk tidak membenarkan apa-apa bantuan sampai kepada Palestin - Gaza khususnya. Pada perang awal 2009, lambakan makanan tersadai dan rosak di sempadan. Ubat-ubatan tidak boleh dibawa masuk. Pintu sempadan tidak dibuka. Begitu juga kini, situasi sama dihadapi oleh konvoi Viva Palestina. Mereka tersadai di pelabuhan dengan segala bentuk barang yang mereka bawa. Betapa bersungguhnya Mesir ingin membunuh rakyat Palestin, mereka sampaikan bergaduh dan mencederakan ahli konvoi Viva Palestina.
Kemudian, Mesirpun (kerajaannya) menjadi lebih Israel daripada Israel. Mereka sanggup melihat saudara seagama mati kebuluran, asalkan kerusi empuk tetap terpelihara. Kalau tunjuk perasaan di Jordan misalnya, mereka meletakkan bintang David di dahi Hosni Mubarak, itu tidak mencukupi, dan tidak menunjukkan keadaan yang sebenar, kerana bintang David telah lama terpahat di dalam hati mereka, Hosni Mubarak khususnya.
Ya, tanpa bantuan Mesir, Israel tidak akan mampu melemahkan HAMAS dan Palestin. Tanpa persekongkolan Fatah, Israel tak akan mampu memusnahkan HAMAS. Israel adalah batil dan HAMAS adalah haq. Dan sampai kiamatpun, Haq akan sentiasa menang ke atas batil. Tetapi apabila ada musuh dalam selimut, apabila ada munafik, yang haq akan tersepit. Dan itulah yang terjadi.
Iraq jatuh kerana Amerika dibantu oleh puak Kurdish dari Utara. Afghanistanpun jatuh kerana ada bantuan dari dalam negara.
HAMAS juga kebuluran kerana Israel dibantu oleh Mesir, Fatah dan 'sahabat-sahabat karib' yang lain.
Dan kita, ingin menjadi sahabat kepada siapa?
Tidak cukup kalau kita hanya sekadar menyedari bahawa yang haq itu sentiasa akan menang, dan tidak cukup untuk kita sekadar beranggapan bahawa HAMAS pasti menemui jalan keluar yang lain. Tidak cukup untuk kita mengharapkan Allah menurunkan bantuan-Nya, dan kita hanya duduk dan memerhati.
HAMAS telah menjalankan tanggungjawab mereka. Penduduk Palestinpun telah meneruskan jihad dan memenuhi tanggungjawab mereka. Kita?
Terpulanglah. Kerana Allah tidak memerlukan kitapun untuk memenangkan tentera-Nya. Dalam surah al-Taubah, ada kisah yang boleh kita renungkan, bahawa kalau tiga orang Sahabat itu tidak ikut berperangpun, Allah tak rugi, yang rugi kita sendiri.
Kita nak jadi seperti tiga Sahabat Nabi yang terlanjur itu? (Mereka tak mengapalah - sempat bertaubat dan taubat diterima). Ingin jadi Hosni Mubarak? Ingin jadi Israel?
Tidak adakah peluang untuk rakyat Gaza disantuni? Kalau bukan (tidak mahu menyantuni) sebagai saudara seagama, paling kurang disantuni atas dasar kemanusiaan sejagat? Kalau kita tak mahu menyantuni, mengapa pula melarang orang lain yang ingin menyantuni? Tak malukah yang Viva Palestina itu, sebahagian besarnya bukan Islam, dan mereka hanya bergerak di atas dasar kemanusiaan?
Bukankah kita, Muslim, Mukmin itu bersaudara? Atau kita telah lama menjadi munafik? Patutlah Allah mengatakan bahawa munafik itu ada di dasar neraka, kerana orang bukan Islampun ada perasaannya - yang tidak ada pada munafik sedikitpun.
Allahumma-nsur ikhwanana al-mujahidin al-mustad'afin fi Filastin.
Gambar diambil daripada laman Viva Palestina.
link: Viva Palestina
Gambar diambil daripada laman Viva Palestina.
link: Viva Palestina
No comments:
Post a Comment