Aku tak pernah mengerti. Aku tak pernah mengerti dengan orang-orang dan golongan-golongan yang suka sangat mencari dan menonjolkan perbezaan. Suka sangat menyebut-nyebut perbezaan, dan suka sangat membeza-beza.
Memang, aku tidak pernah menafikan bahawa setiap makhluk itu sangat berbeza. Biar aku kecilkan skop. Kita bicarakan sahaja soal manusia. Ya, memang manusia antara seorang dengan seorang yang lain sangat berbeza. Antara satu golongan dengan golongan yang lain pasti berbeza. Pasti berbeza walaupun sedikit. Pasti ada. Kerana memang Tuhan ciptakan setiap sesuatu itu berbeza-beza. Sengaja Tuhan ciptakan begitu.
Sengaja.
Akan tetapi, perbezaan itu diciptakan bukan untuk diperbesar-besarkan, sehingga menimbulkan permusuhan dan persengketaan. Perbezaan diciptakan bukan untuk meluaskan jurang antara manusia. Bukan. Bahkan perbezaan itu diciptakan untuk mewarnawarnikan dunia ini, menghiasi hidup manusia. Perbezaan diciptakan dengan tujuan utamanya, untuk saling berkenalan dan saling menghormati, menumpahkan kasih sayang. Renunglah ayat Quran, jangan sekadar baca sambil lalu sahaja. Bukankah Allah ada menyatakan bahawa Dia menciptakan manusia itu bersuku-suku dan berbangsa-bangsa hanya supaya manusia itu dapat saling mengenali? Mengenali apa? Mengenali perbezaan dan mengenali keindahan perbezaan itu.
Maka Allah menyatakan, orang yang paling mulia adalah orang yang paling bertaqwa.
Oleh itu, aku sekali lagi berasa hairan kepada orang yang suka melebarkan perbezaan. Mengapa terlalu gembira mewujudkan jurang? Tambah lagi, unsur perbezaan itu ditokok dengan nafsu dan emosi.
Maka lahirlah (maafkan aku) 'dia itu Wahabi' 'itu ahli bid'ah', 'dia itu jemaah lain', 'jangan ikut dia, dia JIM', 'kuat PAS tu', 'ahli amno tu', 'kaum muda tu', 'ortodoks tu', 'keluaran pondok tu', 'dia tu Jabatan Quran Sunnah tu, anak murid ustaz sekian-sekian', bla bla bla..
"Dia tak baca qunut tu."
"Bid'ah sesat tu."
Habis cerita.
Itu baru selingkar 'Ahli Sunnah wal Jamaah'. Kalau nak tepat sikit, itu baru selingkar Malaysia. Kalau tengok luas sikit, ada lagi, 'itu Syiah, sesat'. Kalau luas lagi, 'Kristian tu, kafir!!!'
Seperti yang aku nyatakan awal-awal tadi, tidak salah wujudnya perbezaan. Sebab memang Allah jadikan begitu. Tetapi, yang sangat aku hairankan, mengapa terlalu bersemangat untuk membeza-beza? Mengapa?
Aku tak kisah kalau disebut perbezaan hanya sekadar keperluan. Contoh, "Adzim mana?" "Alaa, Adzim Quran Sunnah tu." Ok.
Tetapi malangnya, ramai yang menyebut perbezaan dengan nada membenci. 'Ahli bid'ah' sangat membenci 'Wahabi'. 'Wahabi' sangat menyesatkan 'ahli bid'ah'. (Segelintir sahaja yang berperangai begini sebenarnya, tetapi sudah cukup untuk membuat aku hairan). (Jangan marah dengan label-label yang aku tulis, sebab itulah yang selalu menyapa kuping aku yang dua ini). Orang yang mengikut usrah PAS sangat membenci golongan yang mengikut usrah JIM (istilah sahaja, ok).
Dan kebencian-kebencian ini, perbezaan-perbezaan ini melenyapkan titik kebersamaan kita. Betapa perbezaan diperbesarkan sehingga tiada ruang lagi untuk bersatu. Tiada jalan lagi untuk ahli bid'ah duduk berbincang dan bertukar hujah dengan ahli wahabi. Tiada jalan lagi pengikut usrah ini untuk berkongsi idea dengan pengikut usrah tersebut.
Mengapa kita tidak boleh duduk di atas satu (atau beberapa) titik persamaan? Mengapa kita tidak pernah cuba mengiktiraf bahawa antara kita banyak persamaan?
Kita bersama di atas kalimah tauhid. Kita sama-sama mengucap syahadat. Kita sama-sama mengikuti (atau berusaha) mengikuti Rasul. Kita solat. Kita mengadap Tuhan yang satu; sama-sama taat untuk mengadap kepala ke Baitullah. Sama-sama. Serupa.
Maka mengapa kita terlalu membesarkan 'dia tu syiah'-'sesat!'.
Siapa yang betul, siapa yang salah, itu terpulang kepada hujjah, dan Allah telah nyatakan bahawa orang yang paling mulia adalah orang yang paling bertaqwa. Mengapa kita perlu membenci orang lain yang tidak sama pemahaman dengan kita, sedangkan Allah tetap setia menilai ukur taqwa kita.
Ya, kebenaran haruslah disampaikan. Tetapi bukan dengan memperbesarkan nilai perbezaan. Cuba lihat Nabi Muhammad, bagaimana baginda menyampaikan kebenaran kepada raja Rom. Baginda tidak pernah membangkitkan 'Wahai kafir, engkau sekarang dalam kesesatan. Aku yang benar.' Tak pernah. Diulangi, tak pernah.
Apa nabi tulis dalam surat baginda? Antara pokok isinya, antara lain (lebih kurang) "Wahai ahli kitab, kita menyembah Tuhan yang sama." Kita menyembah Tuhan yang sama. Kalau Nabi boleh mengungkapkan begitu di dalam suratnya kepada orang yang pada pemahaman kita sangatlah kafir, maka mengapa kita tidak pernah cuba untuk menyatakan, 'kita menyembah Tuhan yang sama, Tuhan Yang Satu' kepada saudara kita, yang hanya berbeza dalam masalah qunut, yang berbeza dalam masalah imamiah, berbeza dalam masalah fiqh.
Itulah puncanya mengapa dakwah kita sangat dibenci orang. Diulangi, dakwah kita sangat dibenci orang. Sebab? Kita suka sangat melihat perbezaan.
Lihat kepada sukarelawan-sukarelawan 'kafir'. Sebelum itu, lihat kepada negara-negara 'malang' di seluruh dunia, siapa yang lebih ramai hadir menjadi sukarelawan? Mengapa ada di Palestin, sebuah negara berkomuniti Islam, ada sukarelawan bukan Islam?
Lihat kepada sukarelawan bukan Islam. Mengapa mereka datang dan menyukarelakan diri mereka membantu umat Islam? Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana dalam jiwa mereka di tanam semangat persamaan. Ya, mereka lihat banyak persamaan. Mereka lihat mangsa perang, tak kira Muslim, Kristian, Buddha atau apa sahaja, memiliki satu persamaan, iaitu, mereka memiliki hak asasi manusia. Maka mereka bergerak atas landasan hak asasi manusia.
Mereka menyedari setiap manusia mempunyai hak untuk hidup aman dan selesa, maka mereka bekerja untuk itu. Mereka melihat semua manusia sama sahaja, harus dilayan sebagai manusia.
Maka, alangkah kita, sudah tentu terlebih aula untuk melihat persamaan antara kita, persamaan budaya, persamaan agama, persamaan apa lagi...
Betapa harmoninya dunia ini andai manusia boleh bergerak atas titik dan landasan persamaan. Pasir di pantai, indah kerana 'mereka' bersatu dan berbaik kerana mereka memikirkan bahawa mereka adalah sama. Cuba kalau pasir-pasir asyik memperbesarkan perbezaan dan sering berkelahi.
Alangkah banyaknya masa yang tidak perlu dibazirkan. Alangkah banyaknya tenaga yang boleh dijimatkan. Dan alangkah, mahkamahpun boleh kurang satu kes.
Sebenarnya, kita sering dilagakan. Ahli Sunnah dengan Syiah, Salaf dengan Khalaf, PAS dengan apa tu....(senyum)....
Tak mengapa untuk kita berbeza dan mengekalkan perbezaan. Tak mengapa. Sebab memang begitu dunia diciptakan. Tetapi, usahlah memperbesarkan perbezaan-perbezaan sehingga timbul permusuhan dan persengketaan.
Bukankah perbezaan itu dijadikan supaya saling mengenali dan saling menyanyangi?
nota: sokonglah kebenaran di manapun ia datang.
Lagi-lagi cinta
Hens termenung sendiri. Apa yang tidak pernah diberitahu oleh ayahnya (atau mungkin pernah diberitahu, tetapi Hens tak sempat simpan dalam kotak ingatan) adalah, cinta bukan sahaja boleh menyebabkan orang membunuh diri sendiri, tetapi cinta juga boleh membuatkan orang tergamak membunuh orang lain.
Dan itulah yang dibacanya dalam akhbar kemarin. "Kalau aku tak dapat, biar orang lainpun tak dapat." Maaf, itu bukan tajuk berita. Itu cuma kata-kata hero dalam cerita tersebut.
Lama Hens termenung, mengunyah baris demi baris kisah yang tertulis di dalam akhbar tersebut. Seorang lelaki, bekas pelajar UKM, berasal dari Kelantan, dihukum gantung kerana telah membunuh seorang perempuan, (bekas) kekasihnya.
Tahulah Hens bahawa cinta itu berbahaya rupanya. Atau, mungkinkah cinta tidak berbahaya, tetapi, akibat daripada cinta itu yang berbahaya? Entahlah, Henspun malas untuk berfikir. Yang terdetik di dalam sanubari Hens hanyalah rasa kasihan kepada mangsa; mangsa dengan erti kata mangsa yang telah mati ditikam dengan pisau. Alangkah ruginya, seorang Muslim yang terpelajar hilang begitu-begitu sahaja. Tapi, yang telah lepas itu telahpun menjadi takdir, biarlah. Yang penting, ia perlu dijadikan pengajaran untuk masa mendatang.
Tiba-tiba terdetik pula dalam hati Hens, mengapa kisah cinta 'agung' biasanya berakhir dengan episod yang menyanyat hati, berakhir dengan tragedi? Memang begitukah kisah cinta harus disulam untuk terabadi dalam sejarah sebagai cinta agung?
Cinta Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun masyhur sebagai kisah cinta yang agung, namun penuh tragedi dan tidak kesampaian (Hens sendiri tak pernah mendapat gambaran lengkap tentang kisah cinta ini). Agung hanya dibawa atas landasan suci dan tulus hati, bukan agung dilihat pada happy atau sad endingnya.
Dan hati Hens tertanya lagi, mengapa di Alam Melayu ini tidak ada satu kisah cinta yang agung? Atau ada, cuma Hens sahaja ada di bawah tempurung? Apa yang Hens pernah tahu, cinta yang ada di Alam Melayu ini cuma kisah Tuah melarikan Tun Teja (ngok - fikir Hens, bawa lari, bagi kepada orang lain), kisah syarat Puteri Gunung Ledang yang berkehendakkan tujuh dulang hati kuman dan darah putera mahkota untuk diterima lamaran. Itu sahaja. Cinta apa macam tu!
Tetapi, Hens sangat pasti, dalam bahasa pertuturan hariannya, sangat banyak ayat cinta yang agung. Lautan berapi sanggup ku renangi (memanglah, mana ada lautan api), bulanpun sanggup aku belah, aku akan gapai bintang di langit, bla bla bla. Dan betapa agungnya cinta, aku akan tunggumu di pintu syurga, atau, tunggulah aku di pintu syurga (ingat syurga itu che dia yang buat?) (kalau Hens, nak aja dia suruh kekasih dia tunggu dalam syurga terus, tunggu di pintu buat apa!)
Tetapi dengan ayat-ayat itu, tak pernah lahir dalam sejarah Melayu satu kisah percintaan yang agung.
'Kalau aku cipta sejarah, macam mana?' tanya hati Hens pada dirinya sendiri.
Buatlah sejarah. Carilah cinta agung. Jangan sampai membunuh, sudah.
Maka, mengertilah Hens, cinta itu terkadang boleh membuatkan orang membunuh diri sendiri, terkadang boleh pula membuatkan orang membunuh orang.
Pada Hens, itulah cinta tanpa iman. Dan cinta sejati itu, hanya pada Tuhan.

Tenang dan sepi
Betapa dunia ini sangat hening dan suci, sunyi dan mendamaikan jiwa. Betapa kasihnya Allah kepada manusia, Dia menciptakan satu suasana yang indah untuk jiwa. Suasana yang tenang, tenteram. Cuma manusialah yang menghirukpikukkan dunia ini, dengan segala macam kekalutan.
Allah menjadikan jiwa manusia sukakan ketenangan. Sukakan kedamaian. Sukakan keheningan.
Ada banyak cara mencari ketenangan hidup. Satunya, kembali kepada fitrah. Mandi, membersihkan diri, mencuci pakaian, memotong kuku, bercukur dan mengemas rumah boleh mendatangkan ketenangan. Cubalah kalau serabut, kemas rumah, kemas meja, kemas almari, mandi, dan jiwa akan menjadi tenang dan lapang.
Ketenangan juga boleh dicari dengan mengasingkan diri daripada hiruk pikuk manusia. Lari daripada kebingitan kota, derum kereta, bising manusia, dan menyendiri di deburan air terjun, desir angin, pupuk bayu, melihat daun-daun menari, lalang-lalang melenggok akan juga mententeramkan hati. Kesunyian alam semula jadi dengan cicip burung amat mendamaikan jiwa.
Dan inilah yang aku rasakan saat ini. Petang dengan panas terik mentari, tanpa bunyi melainkan desir angin sangat menyentuh jiwa. Betapa Maha Pengasihnya Allah. Pemandangan daun berguguran dan redup bayang-bayang meresap masuk langsung ke hati. Betapa dunia ini indah andai dihayati.
Terkenang pula aku memori-memori zaman kanak-kanak yang ceria. Yang indah, yang manis. Waktu-waktu begini sangat hening, dan kesunyian melingkari rumah aku. Aku kalau tidak membaca, pasti akan turun ke tanah mengelilingi rumah, dan paling-paling tidak, memanjat pokok rambai atau jambu atau masuk ke dalam semak belakang rumah.
Waktu itu, yang ada hanya bunyi ayam dan burung. Di dalam rumah, biasanya ayah dan emak lena tidur setelah sepagi penat bekerja. Dan aku, anak kampung, malulah kalau tidur siang. Jadinya, aku sangat menikmati keindahan sunyi itu, sehingga mempengaruhi sebahagian besar jiwa dan perasaan aku sehingga kini.
Aku sekarang masih berada di UKM, namun kolej aku yang tinggi ini mampu juga mewujudkan keheningan itu.
Aku sangat menyukai dua suasana di bumi ini, suasana hening tengah hari dan suasana bersih selepas hujan. Ia sangat meresap ke dalam jiwa.
Kemudian, keheningan boleh juga dicari dengan mendekatkan diri kepada Allah. Bangun malam itu salah satu jalan. Namun, mengekalkan diri dilandasan kebaikan dan tidak melakukan maksiat juga amat membantu menenangkan hati.
Keheningan yang hakiki ada pada Tuhan. Mendekatlah kepada-Nya, nescaya ia dilimpahkan ke dalam hati kita.

Subscribe to:
Posts (Atom)