Malu

Malu

Malu bertanya sesat jalan
Malu menyapa tak dapat kawan
Malu bekerja berat tulang
Malu berusaha mati kebuluran
Malu belajar ilmu kurang
Malu membaca ketinggalan zaman
Malu tersenyum dibenci orang
Malu berjiran kera sumbang
Malu mengaku bukan anak jantan
Malu beradab tiada siapa berkenan

Malu biarlah bertempat
Nak buat maksiat, malulah kepada Tuhan.


-C 080208-
Darul Quran.
ajim_mn@yahoo.com

F1 1Malaysia (Selingan 'jer')

Murni sungguh hasrat PM 1Malaysia kita. Murni sungguh. Beliau mahu menubuhkan satu pasukan F1 1Malaysia. Tengah-tengah ribut pasukan-pasukan ‘otai’ F1 menarik diri, atau berniat menarik diri daripada kancah perlumbaan F1, Perdana Menteri kita naik angin hendak berlumba. Tak mengapa katanya, pasti ramai yang akan menyumbang dana. OK lah, biarlah dia.

Yang murninya, pasukan F1 1Malaysia ini akan 100% Malaysia. Diulangi, 100% Malaysia. Begitulah kehendak Perdana Menteri.

Tadi, selepas solat Isya’, aku sempat menonton berita sukan TV3 sekejap. Berita menguar-uarkan tentang proses pemilihan pelumba. Dan Fairuz menjadi calon utama. Maka, banyaklah dibuat temu ramah, dan setiap yang ditemu ramah semuanya yakin bahawa Fairuz mampu menggalas cabaran sebagai pelumba F1 1Malaysia. Baguslah. 100% Malaysia. Konon.

Eh, betullah 100% Malaysia. Kereta Malaysia. Jurutera Malaysia. CEO Malaysia. Pemandu Malaysia. Minyak Malaysia. Apalagi? Danapun DUIT (rakyat) Malaysia. Semua Malaysia. Semua yakin, kereta Malaysia, jurutera Malaysia, pemandu Malaysia, minyak Malaysia, CEO Malaysia mampu membawa F1 1Malaysia ke peringkat global. Baguslah, akupun boleh tumpang bangga.

Tapi tadi, semasa aku menonton berita, semua yang diwawancara bercakap menggunakan bahasa Inggeris. Aik? Kata 100% Malaysia.

Semua Malaysia, kecuali bahasa. Kenapa? Apa Malaysia tiada bahasanya sendirikah? Bahasa Malaysia tidak mampu menyumbang kepada F1 1Malaysiakah?

Jadi, aku katakan, 100% Malaysia ‘wak lu’. Usahlah berusaha mencipta identiti Malaysia diperingkat antarabangsa kalau soal bahasapun masih terkeliru.

Siapa yang bersalah dalam hal ini, tidak pula aku ketahui. Akulah yang bersalah agaknya, terlalu fanatik dengan bahasa Malaysia.

Kesimpulannya, kalau tanya aku, aku kata tak payahlah mengada-ngada hendak 'mempromosi 1Malaysia' di litar F1. Membazir minyak sahaja. Bukankah minyak sekarang mahal? Minyak petrol rakyatpun kerajaan sudah tak larat nak tanggung subsidi. Minyak kereta F1 ada siapa hendak bayar subsidi?

Nota: aku sendiri tak tahu apa maksud ‘wak lu’, tapi kawan aku ada seorang itu selalu sebut perkataan tu. Jadi, aku bedal ‘aja’lah.

nota satu lagi: rakyat didahulukan, F1 diutamakan. (Nak buat macam manakan. F1 itu 1Malaysia.)

Perihal Suatu Detik dalam Sehari

Perihal Suatu Detik Dalam Sehari.

Setiap mentari pecah pagi
Si rajin keluar mencari sejernih rezeki
Sang pemalas bertindih cawan di kedai kopi
Si jahat berdegup hati bimbang pecah rahsia mencuri
Si bijak mula melangkah menadah setitik ilmu Ilahi
Si Abid masih di sejadah wirid bertali.

Kelak masa akan menjadi saksi
Baik jahat manusia di muka bumi.


Muhamad Nur Adzim Amran
-C 060508-
Al-Manar.

Kedekut, Jimat, Boros dan Membazir


Ada orang yang hanya makan sekali sehari, sedangkan dia mampu makan dua atau tiga kali sehari. Dan fitrahnya, dia memerlukan makan dua atau tiga kali sehari. Apabila ditanya, kenapa tidak makan, dia menjawab, "Nak jimat."

Jimatkah begitu? Kita tinggalkan persoalan itu seketika.

Islam sangat mendidik umatnya supaya menjadi satu umat yang berjimat cermat. Hatta, dalam perkara ibadat khusus sekalipun, umat Islam digesa supaya berjimat cermat. Pernah Rasulullah menegur Saad bin Abi Waqqas kerana berlebih-lebihan dalam mengambil wudu'. Mengambil wudu'pun ada pembaziran? Ya, walaupun di sungai yang mengalir. Walaupun pada logiknya, air sungai tidak akan luak kalau kita sedikit berlebihan, tetapi, betapa 'berkira'nya Islam dalam perkara ini, perbuatan itu adalah dilarang.

Jadi, wajibkah berjimat? Ya, wajib. Cuma tinggal persoalan, apakah berjimat itu? Kita akan faham apa itu jimat apabila kita memahami apa itu kedekut, boros dan membazir. Kedekut adalah enggan mengeluarkan harta yang patut untuk kegunaan dan keperluan diri. Maksudnya, jika setiap hari seseorang itu memerlukan RM 10.00 untuk keperluan dirinya, sebagai contoh, tetapi dia hanya membelanjakan RM 3.00 sahaja, sedangkan dia memiliki RM 15.00, maka itu dikira kedekut. Lain ceritanya jika dia hanya memiliki RM 3.00. Kesimpulannya, kedekut adalah enggan mengeluarkan harta padakadar yang sepatutnya diperlukan.

Boros pula adalah membelanjakan harta secara berlebihan pada perkara yang harus. Perkara yang harus adalah perkara-perkara yang tidak ditegah oleh syara'. Berlebihan pula bermaksud lebih daripada keperluan, dan andai perkara tersebut tidak ada, ia tidak memudaratkan diri sendiri. Sebagai contoh mudah, seseorang yang memerlukan makan 3 kali sehari, tetapi dia makan sehingga 9 kali sehari. Sepatutnya dia hanya cukup membelanjakan RM 10.00 sehari, tetapi ia membelanjakan RM 70.00 sehari. Itu boros namanya. Maka, ini tidak diharuskan oleh syara'. Berbelanjalah sekadarnya, sekira-kira cukup keperluan. Harta yang lebih daripada perbelanjaan haruslah disimpan atau dikembangkan dengan cara yang bertepatan dengan syara', bukan boleh ditabur sesuka hati.

Manakala membazir pula adalah membelanjakan harta pada perkara yang diharamkan oleh syara'. Sebagai contoh, menggunakan harta untuk berjudi, walaupun sedikit, membeli perkara haram, walaupun sedikit. Untuk contoh yang mudah, duit digunakan untuk membeli arak, walaupun yang berharga RM 2.50 satu tin, itu dikira membazir. Dan membazir adalah haram dalam Islam. Diulangi, haram. Orang yang membazir itu dikira saudara syaitan. Jadi, kita perlu jelas dalam perkara ini, bahawa membazir adalah haram, dan membazir itu tidak semestinya mengeluarkan harta dalam nilai yang banyak, cukup sekadar kalau membelanjakan pada jalan yang diharamkan syara'.

Sekarang, jimat itu berada di mana? Adakah Islam menyuruh berjimat dengan mengikat perut sedangkan kita berkemampuan? Tidak. Jimat itu adalah membelanjakan harta pada kadar yang sepatutnya, pada tempat yang sepatutnya, pada waktu yang sepatutnya, oleh individu yang sepatutnya. Maksudnya, kalau kita memerlukan RM 10.00 sehari, dan kita membelanjakan RM 10.00, itulah berjimat namanya. Kalau kita perlu makan nasi, dan kita membeli nasi, itulah jimat namanya. Kalau kita memerlukan nasi yang berharga RM 3.50 untuk sekali kenyang, kemudian kita membeli makanan segera yang berharga RM 9.90, tetapi tidak juga kenyang, itu boros namanya. Kalau kita membeli makanan tak halal, itu membazir. Kalau kita tidak membeli langsung, hanya minum air kosong, itu kedekut.

Maka, jelaslah kepada kita bahawa Islam menyuruh umatnya berjimat bukan bererti mengongkong atau melawan fitrah, tetapi, hanya sekadar mengawal diri supaya tidak terlalu mengikut nafsu.

Sekarang, berbalik kepada persoalan pertama yang ditimbulkan di atas, adakah ia jimat? Atau kedekut? Atau boros? Atau membazir? Atau apa? Biarlah persoalan tergantung di situ.

Itu perbincangan dalam konteks perbelanjaan kepada diri sendiri. Maka, termasuk juga dalam konteks ini, perbelanjaan dalam bersedekah, memberi hadiah dan seumpamanya.

Sebagai kesimpulannya, janganlah kamu membiarkan tangan kamu terbelenggu di leher kamu, dan janganlah kamu terlalu membukanya (terlalu pemurah). Berbelanjalah secara berhemah dan bersederhana.

nota: sahutlah seruan kerajaan Malaysia, bijak berbelanja!!