Semester enam.

Detik demi detik lenjap ditelan malam. Dan dengan tiada terasa umur manusiapun lenjap sedetik demi sedetik ditelan malam dan siang. Tapi masalah-masalah manusia tetap muda seperti waktu. Dimanapun djuga dia menampakkan dirinja. Dimanapun djuga dia menjerbu kedalam kepala dan dada manusia, dan kadang-kadang ia pergi lagi dan ditinggalkannja kepala dan dada itu kosong seperti langit. -Proemadya Ananta Toer.


"Semoga pencarian anda terhadap kecemerlangan insan berhasil dan tiada penghujungnya. semoga anda berkorban, tidak hanya terhadap matlamat yang anda tetapkan, tetapi mencapainya dan menetapkan lebih banyak matlamat lagi; bukan hanya berpegang pada impian yang anda capai, tetapi untuk mengimpikan impian yang lebih hebat daripada yang sebelumnya; bukan hanya menikmati bumi ini dan kekayaannya, tetapi menjadikannya tempat yang lebih baik untuk hidup; dan bukan hanya mengambil apa yang anda boleh daripada hidup ini, tetapi menyayangi dan memberi dengan murah hati." -Anthony Robbins.

Selamat melangkah ke semester enam, buat diri saya sendiri. Banyak impian yang ingin di gapai, banyak mimpi yang mengayam malam. Dan di sana, sentiasa ada bulan. Dan di sini, masih ada sekeping hati.

Pulangkan hatiku, dengan penuh cinta.

Parut di dagu.

Parut di dagu itu masih ada di situ, seperti dulu-dulu juga. Parut di dagu itu masih ada ketika aku menatap wajahnya lagi. Dan parut di dagu itu akan terus ada di kenanganku, mungkin untuk sejuta tahun lagi.

Senyumnya tetap menawan, seperti selalu, walaupun kali itu, dia sudah tidak banyak tersenyum lagi.

Dan seperti dulu-dulu juga, bila aku tanyakan tentang kesihatannya, dia menjawab dengan nada yang itu juga, “siiihaaattt…”, nada yang tak mungkin akan aku lupa untuk selamanya. Perkataan itu selalu ada di kuping telingaku, terngiang-ngiang dan masih terasa kesegarannya. Betapa, aku merinduinya dalam segenap cara, dalam semua aspek tentang dirinya.

Wajahnya yang itu, terkadang bercermin mata, terkadang tidak, selalu sahaja hadir dalam mimpi-mimpiku, dengan hidung itu, dengan mata itu, dengan bibir itu, dengan senyuman itu; yang aku kira, suatu masa dahulu, semua itu milik aku.

Aku ingin berlama-lama dengannya. Berdiri tanpa senyumpun tak mengapa. Separuh abad terasa terlalu singkat pula. Aku ingin memandang dan menikmati parut di dagu itu sedalam-dalamnya, seolah-olah di situlah segala kasihku tumpah. Aku ingin masa berhenti untukku, sehingga aku boleh bersama-sama dengannya dalam keabadian. Kalau boleh, akan ku berlari mengejar masa, sehingga saat bahagiaku berdiri di hadapannya tidak akan pernah luput, dan saat untuk dia pergi lagi tidak akan pernah datang menjemput. Namun seperti datangnya, dia akhirnya pergi juga, meluncur laju menghilang dengan Grand Livina putihnya.

‘Dia sudah berjaya,’ getus hatiku. Aku sahaja yang masih di mana-mana. Aku lepaskan juga dia pergi, meninggalkan aku tercegat berdiri, dengan segala berat hati, dengan segala rasa di dalam dada, memerhati Grand Livina itu sehingga luput di mata. Siapalah aku untuk menahannya pula. Aku lepaskan dia pergi, kerana aku tahu bahawa hanya jasadnya sahaja yang hilang daripada pandangan, sedang parut di dagu, sudah aku ambil dan simpan.

Dia tiada di mataku, – mungkin sahaja – kerana kami terpisah beribu batu; namun tak pernah pula hilang dari hatiku. Dan aku tidak pernah tega melepaskannya keluar, melepaskannya pergi, kerana, setiap saat, ada sahaja suara hati yang berkata bahawa dialah segalanya untukku. Dialah segalanya untukku.

Dan aku ingin menatapnya lagi.

Lebih daripada itu, aku ingin memilikinya lagi. Aku ingin meminjamnya lagi daripada Tuhan, dan kali ini, pasti akanku jaga dengan lebih baik lagi. Aku ingin meminjamnya lagi, dan aku ingin bersama-sama dengannya sampai ke syurga.

Cinta bukan bererti memiliki. Cinta bukanlah menerima; cinta adalah memberi. Akan ku hamparkan lagi cintaku yang setia.

Dan, seperti setiap saat yang telah berlalu, aku merinduinya dalam segenap rasa. Bila lagi kita akan bersua? Adakah suatu waktu untuk kita bersama?

Di udara, lagu Untukmu Kekasih, nyanyian Ebiet G. Ade terbang entah ke mana-mana:

Ingin berjalan berdua denganmu kekasih,
Lewati malam setelah usai rinai gerimis,
Lelawa jadi luruh dengan rumput biru,
Jemari tangan kita lekat jadi satu,
Pipimu memerah, hasratku merekah,
Kenapakah waktu tertinggal jauh...

                --xxx--

Malam, suntingkan rembulan untukku,
Agar cinta tak berpaling dariku,
Lama aku pelajari satu puisi,
Sayang, bila hanya angin yang mengerti,
Oh burung bernyanyilah,
Demi terjalin cinta...
Oo hooo....hooo...

It's time to say thank you

Alhamdulillah, puji dan syukur hanya kepada Tuhan.

Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah-pensyarah saya yang telah memberikan markah A kepada saya. Apa yang lebih penting daripada A tersebut adalah, mereka terlebih dahulu dengan sabar dan tekun mencurahkan ilmu kepada kami – yang nyata sangat perlu diterimakasihkan.

Terima kasih kepada emak dan ayah dan keluarga dan adik beradik dan nenek dan sanak kerabat dan saudara mara kerana sumbangan, sokongan, harapan, kasih sayang, ambil berat – yang ternyata berlebihan dan melimpah. Kasih sayang mereka sudah tentu jauh melangkaui langit dan bumi.

Terima kasih kepada sahabat dan teman. Paling tidakpun, terima kasih kerana sudi juga mengajak saya menyertai study group bersama-sama (walaupun itu bukan cara saya belajar – dari dulu lagi). Terima kasih kerana sudi juga melayan kerenah saya yang terkadang terlebih angin juga. Terima kasih kepada kawan yang sudi membuat tugasan bersama-sama, menyertai kumpulan. Dan yang lebih penting, terima kasih kerana senyum yang menawan.

Terima kasih kepada teman yang jauh di mata, namun sentiasa ada di alam maya, ada di mesej, terlebih dekat dihati.

Terima kasih kepada yang sentiasa memberi inspirasi. Menyepi bukan bererti melupakan.

Dan terima kasih kepada semua yang berjasa. Anda tahu siapa diri anda.

Ada doa yang dipanjat: Wahai Tuhan, aku tidak meminta nikmat yang banyak, tetapi aku meminta kecerdikan yang lebih besar, agar dengannya aku dapat menggunakan nikmat-Mu dengan lebih baik lagi.

Dan akhirnya, saya rasa sepi sendiri. Sunyi. Kosong. Dan, sedihpun datang bertandang – dari setiap sudut, menyerap dalam pernafasan, masuk dan larut di dalam hati.

Sayapun tinggal begitu-begitu juga. Sendiri dan sepi.

Cinta tertinggal di mana?

Terima Kasih

Hari ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih secara terbuka kepada sahabat saya, saudara Safuan bin Yusuf kerana dengan kerja kerasnya dan semangat kerjasama yang ditunjukkan olehnya, membolehkan kami mendapat markah penuh dalam kerja kursus subjek Tafsir 1. Waooo...

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana beliau tidak pernah merungut bekerja sama dengan saya dan tidak serik (mungkin lepas ni serik) dengan kecerewetan saya dalam membuat kerja. Sudahlah cerewet, malas pula tu. Suka buat kerja last minute, suka bertangguh.

Namun dengan berkat ketekunan beliau, dan rasa tanggungjawabnya yang tinggi, kerja itu berjaya disiapkan, dan berjaya mendapat markah penuh. Semua pujian dan sanjungan selayaknya diberikan kepada beliau.

Saya bangga dan gembira boleh bekerjasama dengan anda, Safuan bin Yusuf. Memang anda seorang sahabat yang baik, pemimpin yang adil, seorang yang sangat mengambil berat dan empati.

Sebanyak manapun saya menulis dan memuji di sini, ia tidak akan sama dengan apa yang ada pada beliau. Oleh itu, saya berhenti di sini dengan satu ucapan, terima kasih.