Beza antara Bahasa Kelantan dan Bahasa Baku

Penggunaan perkataan pergi dan balik.

Orang Kelantan sangat sayang akan tempat asalnya. Mungkin sedikit fanatik. Maka mereka membezakan antara tempat asal mereka dan tempat mereka bermastautin dengan penggunaan perkataan pergi dan balik.

Baiklah. Kita kemukakan satu situasi. Adzim berasal dari Kg. Bertam Baru, Gua Musang. Sekarang dia belajar di UKM.

Jadi, apabila tiba musim balik kampung, orang Kelantan akan bercakap begini:-

1) Apabila Adzim ingin balik ke kampungnya di Gua Musang:-

-Orang yang berada di UKM akan bertanya, "Mu nak balik bilo?"
-Orang di kampung akan bertanya, "Si kelik bilo?"

Di sini, jelas bahawa apabila seseorang itu pulang ke tempat asalnya, orang Kelantan akan menggunakan kalimah balik atau kelik. Balik dengan kelik itu sama sahaja maksudnya - pulang, kembali.

2) Apabila Adzim ingin kembali semula ke UKM:-

-Orang kampungnya akan bertanya, "Nak gi bilo UKM?"
-Orang yang berada di UKM akan bertanya, "Mu mari bilo?"

Jadi, orang kampung akan menggunakan perkataan pergi. Itu bermaksud seseorang itu akan menempuh perjalanan daripada tempat asalnya ke tempat yang lain, mungkin tempat kerja, tempat belajar atau tempat tinggalnya yang lain.

Manakala orang yang berada di tempat mastautinnya (dalam situasi ini UKM) akan menggunakan kalimah mari. Mari dalam bahasa Kelantan bermaksud datang. Perkataan ini secara tidak langsung menyedarkan orang yang di soal itu bahawa dia adalah pendatang di tempat orang. Oleh itu hendaklah pandai menjaga diri dan hendaklah dia ingat asal usulnya (teori aku sendiri...hahaha)...Begitu juga perkataan pergi. Pergilah dengan berhati-hati.

Bagaimana kalau seseorang itu memiliki dua kampung? Contohnya, kampung asal ayah ibunya di A, tetapi kemudiannya dia berkahwin dan menetap di kampung B. Dalam keadaan ini, penggunaan istilah itu terpulang kepada individu dan situasi. Ada yang memakai istilah seperti situasi di atas, ada juga yang menggunakan balik sahaja untuk semua situasi.

Semasa aku mula-mula belajar di DQ dahulu, aku sedikit pening apabila pulang semula ke DQ dari kampung. Teman sebilik aku bertanya, "balik bila?"

Berkerut dahi aku. Aku tanya balik, "balik ke mana?" Sebab, aku sudah datang ke DQ, mustahil juga dia baru hendak bertanyakan bila aku pulang ke kampung. Sudah sebulan lebih. Dalam pemahaman aku yang berasal dari Kelantan ini, balik itu bererti balik ke rumah.

"Balik ke sinilah," jawabnya.

"Oh, sampai pagi tadi." Aku menggaru kepala.

Untuk semua keadaan, mereka menggunakan perkataan balik sahaja. Bila balik ke kampung dan bila balik ke UKM.

Oleh itu, sebagai kesimpulannya, Bahasa Kelantan itu amatlah kaya dengan istilah-istilah yang tepat untuk menggambarkan hal keadaan situasi. Siapa yang setuju, angkat tangan!

Itulah sepanjang pengetahuan aku berkenaan bahasa Kelantan, dan sepanjang pemerhatian aku terhadap bahasa pertuturan rakan-rakanku seluruh Malaysia.

Bahasa dan loghat lainpun kaya juga, dalam cara mereka yang tersendiri pula. Aku berbangga dengan bahasa Kelantan, dan aku mengagumi loghat Utara, loghat Pahang dan lain-lain. Kita semua sama, beza bunyi sahaja.

Penulisan ini bukan untuk memperbesarkan perbezaan atau menunjukkan kefanatikan, tetapi sebagai satu penjelasan mengapa aku selalu pening apabila di soal, "balik bila?"...

=> dalam setiap denyut nadi, ada sebuah kerinduan.

p/s: bahasa kita kaya, mengapa malu untuk menggunakannya.

Apa nak jadi...

Hari ini, mari kita bercerita tentang mentaliti kelas ketiga. Biar kita definisikan mentaliti kelas ketiga itu dengan satu sikap yang kolot, mundur, tiada sivik dan lain-lain lagi perangai hodoh.

Sebelum kita mengupas tentang mentaliti kelas ketiga ini, ada baiknya kalau kita membaca satu berita yang disiarkan di akhbar Kosmo! hari ini. Kita petik ke sini:-

Ancaman objek terbang - Pelbagai benda dibuang dari tingkat atas termasuk batu giling, sinki

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammarjazlan.madlela@kosmo.com.my

ABDUL HAMID (kiri) dan Md. Saleh menunjukkan batu giling yang dibuang penghuni di PPR Batu Muda, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Impian mempunyai kediaman sendiri walaupun sekadar rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) sudah pasti menggembirakan.

Bagaimanapun, bagi penduduk di PPR Batu Muda khususnya di Blok F di sini, impian tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri ekoran sikap segelintir penghuninya yang kurang kesedaran sivik.

Walaupun disediakan rumah sampah namun ada pihak yang mengambil jalan mudah membuang sampah dari tingkat atas kediaman masing-masing.

Sebut apa sahaja daripada objek plastik hingga kepada kasut, sinki, topi keledar malah batu giling turut dibuang oleh penghuninya.


GAMBAR KANAN: Serpihan sinki yang dibuang oleh penghuni tidak bertanggungjawab di PPR Batu Muda, Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi Surau Al-Muhajirin, Abdul Hamid Abdul Ghani berkata, keadaan itu sudah berlarutan sejak PPR itu mula dihuni sejak lebih setahun lalu.

"Bagaimanapun, ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini, jika dulu sekadar sampah atau botol plastik sahaja kini ia membabitkan objek-objek berbahaya.

"Setakat ini, seorang penduduk cedera akibat terkena serpihan sinki yang dibuang dan kami tidak tahu siapa yang bertanggungjawab kerana PPR ini mempunyai 17 tingkat," katanya di sini semalam.

Abdul Hamid berkata, ekoran kejadian itu, para penghuni blok berkenaan semakin bimbang dan sentiasa berwaspada untuk keluar dan masuk ke kediaman masing-masing.

(sumber: klik di sini)


Berita ini dengan jelasnya menunjukkan kepada kita tentang budaya dan mentaliti dan sikap dan perangai kelas ketiga yang masih wujud dan berkembang subur dalam masyarakat kita pada hari ini, termasuk masyarakat bandar yang selalu dikatakan maju dan setapak ke depan berbanding masyarakat di kampung-kampung. Dan berita di atas dengan sejelas-jelasnya mengkhabarkan bahawa ia memang dilakukan oleh penduduk bandar, atau mungkin sedikit pinggir bandar.

Bandar ataupun tidak tuan-tuan, ia tidak menjamin tahap mentaliti seseorang. Ramai juga penduduk kampung sangat tinggi dan maju mentalitinya. Sebab itu adalah tidak wajar mengkampungkan orang-orang yang bermentaliti kelas ketiga ini.

Baiklah. Bagaimana mentaliti ini masih wujud dalam masyarakat kita? Aku pernah bersembang dengan seorang rakan tentang masalah ini. Aku berkata, "saya berpendapat bahawa orang yang tinggal di bandar itu datangnya dari kampung. Dan mereka masih mengekalkan ciri-ciri kekampungan mereka itu. Mereka membuang sampah merata-rata, membuat pembakaran terbuka...bla bla bla...Di kampung tak mengapalah kalau membakar sampah secara terbukapun..."

Maka rakan saya itu menjawab. Dia jawab begini:

"Akupun hairan," katanya. "Sebanyak-banyak benda di kampung itu, ciri kotor itu juga hendak di bawa ke bandar. Padahal di kampung ada budaya tolong-menolong. Di kampung ada budaya tegur-menegur. Di kampung, kita kenal jiran kita, bahkan satu kampung kita kenal. Di kampung ada semangat gotong royong. Banyak benda baik ada di kampung. Tapi kita tak bawa ke bandar. Kita di bandar tak kenal jiran. Kita di bandar tak bertegur sapa, bahkan kita marah kalau ada orang menegur kesalahan anak kita. Yang kita bawa hanyalah sikap buruk kita, perangai hodoh kita. Tengoklah flat..." katanya lagi, "sampah penuh, berbau busuk...penyakit banyak...bla bla bla..."

Itu daripada segi kekampungannya. Yalah, tidak semua. Kan. begitu juga aku melihat dalam kes PPR di atas. Mereka itu dulunya tinggal secara 'biasa-biasa' dalam kemajuan bandar. Apabila melihat keadaan ini, dan keadaan mereka ini boleh 'mencacatkan' 'kemajuan' sesebuah bandar, maka kerajaan mengambil inisiatif untuk 'memodenkan' mereka. Terima kasih kepada kerajaan. Sekurang-kurangnya kerajaan prihatin kepada masalah mereka, yang dulunya berumah 'ala kadar' sahaja.

Kerajaan mengambil inisiatif untuk memberi kemudahan kelas 'pertama' kepada mereka. Boleh dipersoalkanlah kan sejauh mana pertamanya kemudahan tersebut, tetapi, secara bandingannya, ia jauh lebih baik daripada hal keadaan mereka dahulu. Lihatlah keadaan setinggan, dan lihat pula keadaan PPR. Aku selalu pergi ke Taman Maluri Cheras, dan dekat-dekat situ ada PPR...Wah, mewah, siap ada taman permainan kanak-kanak...ok lah kan. Tersusun. Selesa. (sedikit selesa - bagi yang tak bersyukur).

Namun, yang menimbulkan masalahnya adalah, mereka yang berpidah ini, daripada kehodohan tempat tinggal mereka yang lama kepada yang cantik, tidak berpindah daripada akhlak dan perangai yang hodoh dulunya diamalkan semasa tinggal di tempat yang hodoh kepada akhlak dan amalan dan sikap dan sifat yang murni dan terpuji dan mulia. Maka tinggallah mereka dalam mentaliti kelas ketiga itu terus-menerus, zaman berzaman.

Maka timbullak berita seperti di atas. Timbullah isu sampah, isu busuk, isu kotor. Tuan cantik. Rumah cantik. Taman cantik. Tapi busuk. Busuk kenapa? Kerana sampah, kerana najis. Kenapa ada sampah, ada najis? Kerana sikap sambil lewa dan tidak ambil peduli dan tidak ambil kesah dan tidak ambil berat. Inilah tuan-tuan perangai yang sangat kita sesalkan.

Banyak lagi yang boleh diperkatakan sebenarnya. Tetapi biarlah. Tak ada gunanya juga kita membuka pekung di dada. Bukankah?

Tuan-tuan, cuba kita melihat kepada masyarakat di Barat. (mungkin orang akan mempersoalkan - tapi tak mengapa - memang di mana-mana ada mentaliti kelas ketiga ini). Cuba lihat di Barat. Masyarakat mereka sangat mementingkan etika, nilai, akhlak dan moral dalam kehidupan mereka.

Kita bagi contoh ya, tentang kebersihan, sebab isi utama perbincangan kita hari ini adalah tentang kebersihan. Masyarakat di Barat sangat mementingkan kebersihan. Hatta sampahpun mereka basuh terlebih dahulu sebelum dibuang ke dalam tong sampah, supaya tidak berbau. Mereka mengasingkan sampah yang kering dengan sampah yang basah. Mereka menolong jiran mereka yang tidak peka untuk menguruskan sampah. Buktinya? Ha, pandai-pandailah cari sendiri...hahaha...

Tak ada kah masyarakat kita begitu? Adaaa..Cumanya...Hmmm..malas nak menyebut.

Baiklah. Daripada segi keselamatan sosial misalnya, keselamatan kanak-kanak, mereka sangat peka. Mereka sangat menjaga ketenteraman awam. Dengan kata mudahnya, mereka memiliki satu mentaliti kelas pertama. Sesuailah dengan kemajuan yang mereka miliki. (Walaupun akhlaknya bobrok!)

Kita? Usahkan nak basuh sampah tak nak bagi berbau, usahkan nak tolong buang sampah jiran, usahkan nak asingkan sampah kering dengan sampah basah; sudah ada tong sampah betul-betul depan matapun, boleh lagi buang sampah di tepinya alias di luarnya tong sampah itu. Tidakkah itu bahlol namanya? (kalau aku boleh sedikit berkasar).

Ok, kemudiannya, kita mengatakan kita Muslim. Ya, kita Muslim. Negara kita negara Islam. Ya, daripada satu sudutnya. Tetapi...ya, tetapi tuan-tuan, akhlak kita...sangat tidak Islam. Ya, sangat tidak Islam. Akhlak Islamkah itu baling-baling batu tenggiling dari tingkat atas ke bawah, baling singki ke bawah, padahal ada tong sampah? Hatta kalau tak ada tong sampah sekalipun, akhlak Islamkah itu baling-baling?

Kita hari ini Muslim pada nama, pada kad pengenalan, pada masyarakat, pada negara, tetapi tidak Islam pada akhlak dan muamalah dan perangai. Kita tahu bahawa Islam sangat menjaga akhlak dan Islamlah yang mampu membawa kemajuan kepada manusia.

Tetapi kita lihat Umat Islam, Muslim sangat mundur. Atau supaya tidak nampak terlalu teruk, kita katakan bahawa umat Islam mundur (tak ada sangat). Kenapa? Sebab mereka tidak mengikut garis-garis Islam, tidak mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh Islam. Alah, soal kebersihan itu kecil ajeee...kita kan sudah solat, pergi haji. Bagus! bagus sekali pemikiran seperti itu.

Kalau yang kecil-kecil begitupun kita tidak boleh bagi komitmen, bagaimana kita hendak berinteraksi dengan nilai-nilai dan ajaran-ajaran dan prinsip-prinsip besar Islam? Sebab itu hari ini banyak berlaku rasuah (walaupun tonggeng-tonggeng orang tahu itu haram), remaja minum arak (walaupun sejak kecil orang tahu itu haram). Sebabnya, kita tidak diajar untuk menghalusi perkara-perkara kecil seperti isu kebersihan dan mentaliti ini.

Kemudian, tinggallah kita berkekalan dalam mentaliti kelas ketiga keempat kelima itu. Bawa datanglah mekanisme manapun, bawa datanglah infrastuktur apapun, bawa datanglah kemudahan kelas pertamapun, semuanya tidak akan membawa manfaat sedikitpun. Beli bas baru, rosak. Buat taman permainan baru, hancur. Sediakan rumah lawa-lawa, busuk. Sediakan telefon awam, jahanam. Buat pagar landasan keretapi, gunting. Tandas awam, bergelumang tahi. Begitulah, dan sampai kiamat Malaysia ini tidak akan maju.

Maju itu bermula dalam diri. Maju bukan bererti ada bangunan tinggi, ada kemudahan canggih, tetapi maju adalah kemampuan menggunakan setiap nikmat yang Tuhan beri dengan penuh berhemah. Maju tak zaman Nabi? Maju! Dengan teknologi dan kemudahan yang ada, mereka menggunakan sebaik mungkin kearah kebaikan dan kelestarian.

Kita tidak dikira maju kalau sampai bumipun nak hancur.

Oleh itu, dalam semangat Hijrah ini, dan tahun baru Masihi yang sedikit hari lagi akan menjelma, alangkah baiknya kalau kita mampu berhijrah, bukan sahaja dari kampung ke bandar, tetapi daripada akhlak 'kampung' ke akhlak 'bandar'. Berhijrah dari akhlak 'setinggan' ke akhlak 'PPR'. Dengan erti kata lain, berhijrah dengan maju setapak dalam pengamalan akhlak harian. Mungkin kita di Malaysia ini sangat malas untuk membasuh sampah, tak mengapalah, memadai untuk meletakkan sampah dalam tongnya yang betul.

Tak perlu dah rasanya kerajaan menbazir duit menyiarkan lagu tandas dalam tv. Mentaliti kita ini, janganlah bila ada orang mengikut peraturan, kita booo pula dia dengan 'skema' dan sebagainya.

Kadang-kadang, bukan orang tak nak berakhlak mulia, tetapi, gelaran untuk orang yang berakhlak mulia itu sangat kejam sehingga membantutkan hasrat murni mereka. Usah ada lagi skema, lurus dan sebagainya.

begitulah. Maafkan atas penggunaan istilah yang tidak tepat.

=> dalam setiap denyut nadi, ada sebuah kerinduan.

p/s: mengalu-alukan tren laju KL-Ipoh. Ke Kelantan bila?

cuti yang tak berapa cuti...

Cuti aku semester lepas bermula berapa hari bulan ya? Akupun tak ingat. Tapi, tidak seperti kebiasaannya aku terus balik apabila bermulanya cuti, kali ini, aku menggagahkan diri untuk bertahan di UKM dahulu...Ada beberapa program yang aku ikuti semasa cuti kali ini. Adalah agak pelik juga bila aku fikirkan kembali, kerana biasanya sebelum ini aku tidak pernah mengorbankan cuti aku untuk mengikuti apa-apa program, melainkan yang wajib sahaja. Harap maaf, bila aku cuti, aku memang hendak berada di rumah. Sahaja! Mungkin bagi orang lain bercuti itu adalah cuti daripada belajar dan pergi bergembira dengan rakan-rakan, mengikuti perkhemahan, melancong, berkumpul dan bertemu dengan rakan lama, tetapi, aku tidak begitu. Cuti bagi aku adalah berada di rumah. Bersama-sama ayah, ibu, adik-beradik dan keluarga.

Tapi kali ini lain.

Program pertama di permulaan cuti. Aku mengikuti rombongan ke Seremban, Negeri Sembilan bersama Sekretariat Rakan Muda UKM. Apa nama program itu entah, akupun malas nak ingat..hahaha...jangan marah ya ketua pengarah dia.

Dalam mengikuti program ini, aku telah dilantik (konon-kononlah) sebagai...apa ya? entahlah, akupun tak ingat...hahaha....haru tak? Tapi tak mengapa, biar aku ceritakan benda lain.

Di Seremban, kami menginap di Hotel Sri Malaysia, dan aku sebilik dengan dua orang lagi sahabatku, sama-sama daripada Fakulti Pengajian Islam. Banyaklah kami berbincang tentang penerimaan orang terhadap kami, dan penghinaan orang terhadap kami. Kemudian ditambah lagi ada beberapa orang pelajar perempuan yang juga datang daripada Fakulti Pengajian Islam, perbincangan kami menjadi lebih menarik. Sampaikan kami secara berseloroh mengatakan bahawa PhD kami hanyalah mengira populasi cicak di masjid sahaja. Ok lah kan...

Kami semacam satu kepala. Kebetulan pula aku pergi ke sana memang untuk mengambil sedikit angin selepas tamat musim peperiksaan. Jadi, akupun buatlah perangai sedikit sebanyak. Sampaikan bila dekat-dekat nak balik, aku secara bersahaja membuat polemik, dengan mencipta istilah 'geng FI'. Dan kami yang satu bilik berseloroh pula, "kamu daripada fakulti apa?", "FIS, Fakulti Islam Sosial." Hahaha...

Dan kamipun baliklah. Tetapi aku tidak terus pulang ke kampung. Aku bertahan dahulu beberapa hari di UKM, menginap di rumah sahabatku yang sama-sama ke Seremban sebelumnya. Hal ini kerana aku terpaksa...terpaksa apa ya? hmm, terpaksa...apa ayat dia ya? Sekejap...terpaksa menduduki ujian JPJ. Menduduki? Mendudukilah kot. Mengambillah sedap sikti. Aku mengambil ujian JPJ. Apabila sudah dapat lesen P, akupun baliklah. Rugi wooo...Hangus seminggu lebih cuti aku.

Aku balik, sudah dekat sangat hendak raya haji. Kemudian, raya hajipun datanglah. Emak aku tidak membuat ketupat, kerana beberapa sebab. Dan nenek aku melakukan ibadah korban.

Raya Haji 27 hari bulan kan? 30 hari bulan, aku datang lagi ke UKM. Sedih tau. Rugi cuti aku. Tapi tak mengapa, kerana aku datang adalah kerana (apa punya belit dah ayat) untuk menyertai Debat Bahasa Arab antara IPT 2009 yang bertempat di UM. Sampai 1hb di UKM, kami dalam kekalutan telah membuat beberapa persediaan. Tapi mana cukup beb. Dengan tak ada pengalamannya lagi...

3hb, kami berangkat ke UM. Dan bermulalah satu episod lagi kenakalan aku. Entah mengapa, entah diserang angin apa, entah disampuk apa, aku menjadi terlebih teruja, dan seorang kawan daripada UPSI menggelar kami (aku dan beberapa orang lagi) 'kepoh'...hahahaha...padan muka siapa-siapa yang menjadi mangsa. Kami segera akrab dengan 'runner' yang cantik-cantik dan manis-manis, segera mesra dengan kawan dari UPSI, UMK, UM dan lain-lain lagi. Dan aku digelar 'Abu Sorfi'...hahahahahaha..(Aku tengah gelak ni sambil taip).

tapi yang menjadi masalahnya, bila tiba waktu berdebat, aku jadi tergagap. Yelah, ingat senangkah nak bercakap arab. Spontan pula. Kalau orang hebat tak mengapalah kan. Ini aku, yang tak mengerti. Maka hancurlah pasukan debat bahasa Arab B UKM.

Tak mengapa. Yang penting, aku mendapat banyak pelajaran, pengajaran dan pengalaman. Aku mendapat beberapa nasihat berguna daripada para hakim; satunya, perubahan itu roh kepada kehidupan. Hanya mati sahaja tidak perlu kepada perubahan. Jadi, aku mesti berubah ke arah yang lebih baik, dan berubah dan berusaha berubah untuk terus menguasai bahasa Arab dengan lebih baik. Begitulah.

Kemudian kamipun balik. Aku boleh berbangga dengan pencapaian aku. Puihh..

Aku tidak terus balik kampung. Tidak tuan-tuan. tapi, aku melencong pula ke Port Dickson untuk menyertai Kolokium Sekretariat Rukun Negara, wakil UKM la ni...hahaha..seluruh IPTA dan IPTS ada datang, dan UKM sedikit menyerlah dengan pengelibatan sahabat-sahabatku, terutamanya pengerusi kami. Aku pergi sekadar mencukupkan korum sahaja. Dan aku pergi untuk makan. Hahaha

Kat sini, ada orang panggil aku ustaz...mana aci begitu.

Kemudian akupun baliklah pada 11hb. Lama tu beb.

Duduk di rumah dua tiga hari, aku terpaksa datang lagi ke UKM. Kenapa? Kerana semester baru akan bermula. Bila aku bersiap hendak kembali ke UKM, mak aku bertanya, "Berapa hari je cuti?"

"Cuti sebenarnya sebulan lima hari. Sebulan lebih seminggu. Sebulan tujuh hari."

Itu sahajalah.

nanti aku letak beberapa keping gambar. kalau ada salah eja, maaf. aku malas nak semak. esok-esoklah ya.

p/s: 1Malaysia.

salam

Masa terus berlalu, berdetak dan berdegup, dengan setia merakam setiap kisah manusia dan segala isi dunia untuk menjadi sejarah esoknya. Bilah-bilah hari bergantian, yang pergi tak akan berpatah kembali lagi. Ia pergi bersama kenangan, bersama sejumlah kejayaan dan juga beberapa kegagalan dalam hidup manusia.

Begitulah, dan aku hari ini kembali datang ke UKM untuk memulakan satu semester baru. Percaya ataupun tidak, aku sudah menginjak semester empat di UKM ini.

Keputusan peperiksaan semester tiga sudahpun diumumkan, dan aku sedikit kecewa. Sedikit sahaja,kerana aku rasa aku patut lebih banyak bersyukur. Aku kecewa kerana tidak mencapai sasaran dan ada subjek yang aku tak jangka aku akan dapat A-. Mana aci begitu... Keputusan aku jatuh berbanding dengan semester lepas. Itulah, banyak main. Tapi, yang syukurnya, aku cuma jatuh 0.01 sahaja, dan pngk aku naik 0.01...hahaha...

Aku kembali ke UKM hari ini menunggang motosikal. Ditimpa hujan dalam perjalanan. Biasalahkan.

Sampai di UKM, aku berasa sunyi sangat-sangat. Kemudian, kesedihanpun mengambil tempat dalam hati. Sedih apabila memikirkan apa yang telah berlaku, apa yang telah hilang. Sedih apabila mengenangkan kenangan-kenangan semalam. Semuanya telah pergi. Kemudian sedih pula memikirkan hari-hari mendatang, bagaimana harus aku hadapi. Tabahkah aku? Kuatkah?

Akhirnya aku tak mahu berfikir apa-apa. Dan ia mematikan daya kreativiti aku. Mematikan idea aku. Aku tak mampu untuk menghasilkan apa-apa buah fikiran.

Dan aku hidup begitu-begitu juga. Satu-satunya perkara yang boleh aku buat adalah datang ke kelas dan mendengar kuliah. Itupun datang dengan separuh perasaan. Dengar kuliahpun separuh perhatian. Maka keputusan peperiksaanpun separuh-separuh sahajalah.

Tak mengapa, semester ini banyak perancangannya.

Ah, malas nak menulis lagi. Tak mengapalah, nanti aku ceritakan lagi....

Hmmm, syukur itu kunci kebahagiaan. Aku ingin bersyukur. Kerana aku ingin hidup bahagia. Aku ingin bahagia. Hmmmm, bersyukurkah aku?

Ya Allah, aku inginkan kebahagiaan. Aku inginkan kedamaian. Aku inginkan ketenangan hati. Hmmm, bukankah itu kehendak semua manusia? Bukankah kita sering melihat betapa ramai orang yang menumpuk harta kerana ingin hidup senang dan bahagia? Tapi tak juga didapatkannya. Bukankah kita sering melihat betapa manusia bersuluk, menyendiri, menjauhkan dunia kerana ingin tenang dan bahagia? Tetapi tidak juga didapatkannya? Bukankah kita sering melihat ramai manusia menogok arak hingga berbuih mulut semata-mata ingin melupakan semua masalah dan mendapat ketenangan jiwa? Bukankah kita sedar bahawa mereka tidak pernah mendapatkan apa yang mereka inginkan itu?

Kemudian, bukankah kita orang Islam selalu sedar bahawa punca ketenangan jiwa dan kedamaian hati itu hanya ada pada Tuhan Pencipta jiwa? Bukankah kita selalu sedar bahawa cara terbaik untuk mendapatkan kebahagiaan adalah dengan duduk bersimpuh di kaki Tuhan Yang Maha Pengasih?

Maka mengapa kita masih terlolong-lolong? Maka mengapa kita masih mengecer-ecer cerita...

Sebagai penutupnya, kita mungkin boleh mendapatkan tilam yang cukup empuk, tetapi, kita belum tentu dikurniakan tidur yang lena.

Sekian dulu aku merapu pada malam ini.

p/s: belajarlah bahasa Mandarin seperti seruan PM 1Malaysia.