Bajet, PTPTN dan Pelajar.


Semalam, Bapa 1Malaysia ada di Parlimen membentangkan bajet 2010 untuk negaranya yang satu itu. Sempatlah juga aku mengikuti siaran langsungnya sekejap di TV3 sementara menunggu waktu asar. Tapi, tak faham sepatah harampun!! (dengar tengah-tengah, tak tahu mana ekor mana kepala, mana nak tahu jantan betina).

Pagi ini, aku terbaca tajuk berita 'Habuan Orang Muda'. Macam menarik. Tengok sikit. Dan memang aku dapati berita itu menarik. Antara yang menarik itu, ada satu perenggan yang aku kira sangat menarik. Ia berbunyi begini (bagi yang belum baca berita ini):

...Selain itu, Najib turut mengumumkan langkah menukar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa untuk para pelajar yang berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dengan kelas pertama atau setaraf dengannya...(sumbernya di sini)

Sebenarnya kalau dikira-kira, berita ini tiada kaitan dengan akupun, walaupun aku pelajar Ijazah Sarjana Muda. Tetapi aku rasa berita ini menarik, dan bajet ini menarik adalah kerana ia sangat menguntungkan golongan pelajar yang ada 'urusan' dan 'hubungan akrab' dengan ptptn.

Berita ini sepatutnya menjadi satu pembakar semangat kepada setiap pelajar yang berkenaan untuk terus berusaha dengan lebih gigih dan belajar dengan bersungguh-sungguh. Kalau sebelum ini, ramai yang merungut dan 'cemburu' akan aku, "Kau tak apalah Azim, biasiswa, kita orang ni pinjaman," sekarang kamu orang tak ada alasan lagilah. Kalau kamu tak mahu bayar balik pinjaman, sama seperti aku, haa, mulai sekarang, kenalah 'bercawat kote' kata orang Kelantan.

Tambahan lagi, peperiksaan sudah mampir dan melambai. Tinggal lagi, kita semua masuk dewan, senyum, dan jawab dengan tenang. Untuk dapat jawab dengan senyum dan tenang, perlu membaca dan mengulangkajilah. (Seronok bagi nasihat!) Biar kita semua, bermula daripada semester ini mendapat keputusan yang tertinggi, menjadi pelajar yang cemerlang.

(Nasib baik dia tak ada syarat sop skill. Kalau tak, aku nak nasihat suruh aktif persatuan semua).

Kepada kawan-kawan yang mengadu tak dapat Ijarah (Ujrah?) apa kebenda tu, marilah sama-sama kita berusaha untuk mencapai four flet (dalam bahasa dia). Jadikanlah berita ini (kalau tukang umum itu tak ada maksud nak menipulah-dan aku harap ia akan sampai ke muara, tak tersangkut pada akar buluh, akar aur di tebing di hulu) sebagai satu pemangkin untuk melipatgandakan usaha ke arah kecemerlangan.

Memanglah kita belajar untuk mendapat keredaan-Nya. Memanglah niat kita dalam belajar tidak boleh dipesongkan. Tetapi, berita sebegini agak sesuai untuk dijadikan pemangkin. Hanya pemangkin. Sekadar untuk mengejutkan motivasi yang kuyu mata di dalam jiwa. Sekadar untuk melancarkan darah di dalam pembuluh.

Kalau pinjaman kita ditukar menjadi biasiswa, jimaaaaatttt RM 19,000 (sekurang-kurangnya). Bukankah Allah menyuruh kita sentiasa berjimat sehabis boleh?.

Maka aku kira, adalah sewajarnya berita ini disambut dengan gembira. Ada ketika-ketikanya, kita tidak perlu terlalu bermasam muka dengan kerajaan. Ya, kita tidak harus sentiasa bermasam muka. Senyumlah, kerana senyum itu boleh memanjangkan usia.

Namun, dalam gembirapun, kita harus menunggu juga. Tengok dulu, pelaksanaannya seperti apa. Siapa akan dapat. Bila akan mula. Dan lain-lain perkara. Sebab, negara yang satu ini, yang baru ada KPI ini, sangatlah kuat dengan apa yang dipanggil berok krasi. Dan, tengoklah dulu, takut-takut definisi biasiswa 1Malaysia ini tak sama maksudnya dengan biasiswa yang sudah ada dalam pasaran. Mana tahu kan. Proton Sagapun ada dua versi. Kot-kotlah definisi biasiswapun ada dua tiga empat versi pula. Minta jauhlah, sebab aku dengar-dengar pengasas 1Malaysia ini sangat prihatin kepada rakyat jelata.

Terima kasih 1Malaysia. Pilihan raya, itu cerita lain pula.

nota: kita wajib selamanya menyokong kebaikan dan kebenaran.

Selamat maju jaya untuk peperiksaan.

Jangan Panik

Jangan panik apabila dirompak. Jangan sesekali panik. Bertenang. Jangan takut. Buat selamba badak. Sebab perompak sebenarnya baik. Ya, perompak sebenarnya 'baik'. Cumanya, waktu perompak itu merompak, dia lebih menggunakan sisi jahat daripada sisi baik.

Tinggal lagi, bagaimana nak mengembalikan perompak itu supaya kembali berada dalam sisi baik dirinya supaya dia tidak jadi merompak. Supaya dia tidak jadi untuk berbuat jahat dan mencederakan kita. Seorang kerani perempuan di Amerika Syarikat ada caranya yang tersendiri dalam mematahkan cubaan merompak (lihat di sini).

Ha, perempuan mangsa telah memberi sebuah ceramah kerohanian kepada perompak. Sampaikan perompak itu menangis, melutut dan meminta maaf kepada mangsa. Itu sudah dikira bagus. Tak perlu loceng kecemasan, tak perlu mendail nombor kecemasan, tak perlu polis, tak perlu kekerasan, tak perlu pistol dan senapang, tak perlu ada tebusan. Itu memang sudah cukup bagus. (Boleh rehatlah polis).

Cubalah 'korang' buat. Bagi tazkirah sikit. Kalau nak 'kaw' lebih, bagi kuliah agama, sejam setengah. Perompak masuk sahaja, "Angkat tangan", cepat-cepat cakap, "OOO...kejap-kejap....ittaqullah...Wahai abang perompak, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah, kerana Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim, yang melampaui batas, yang suka berbuat kerosakan di muka dunia, yang suka merompak. Carilah rezeki yang halal...blablabla.." Cubalah.

Cubalah. Kalau tak jadi, jangan salahkan aku.

Namun, yang masuk berita itu, perompak di negara orang putih. Negara yang menyanjung tinggi budaya kebebasan bersuara (maksudnya perompak itu tahu mangsanya ada hak untuk bersuara). Kalau perompak di negara Malaysia ini, tak tahulah. hmmm, fikirlah sendiri. (Tengok-tengok, 'korang' pula masuk berita, 'Seorang penceramah agama di ehem-ehem kerana cuba menasihati perompak).

Itu merompak sebab tak ada duit nak sara anak. Ada yang merompak sebab nak bagi kaya anak. Ada!. Itu merompak terang-terang, ada yang merompak diam-diam. Ada! (Diam-diam tu bukan mencuri ke?) Itu merompak bagi amaran, "Diam, aku nak merompak ni!." Ada yang merompak bagi janji, "Kamu (baca rakyat) semua akan dapat manfaat daripada rompakan (baca projek) ini." Ada! Jangan tak percaya.

Macam-macamlah. Dan akupun tiba-tiba terfikir, "Aku ni tengah kena rompak kot..." (Sepatutnya sampai sebuah jambatan ke kampung aku. Tak sampai-sampai!! Lori yang punggah jambatan itu dirompak tengah jalan agaknya. AGAKNYA.). Dan lain-lain sebablah.

nota: terhibur dengan Peribahasa Gigit Faisal Tehrani.

Dan untuk menggunakan teknik di atas, jangan lupa, akhir sekali, berdoa. Jangan pernah lupa untuk berdoa.

Dari Jendela.

Langit sendawa, termuntah air
Bercampur debu asap pembangunan.
Sesekali kilat menyambar
Kata orang ia memanah syaitan
Tapi itu semua kerja Tuhan.

Dari jendela
Aku menghampar impian
Dicelah rintik hujan.
Terkenang segala kisah lama
Betapa masa terbuang sia-sia.

Melihat sekeping gambar kawan
Dalam kesejukan di tengah putih salji
Hatiku tak terpujuk lagi.

Kawan
Engkau sedang menggapai awan
Aku masih di jendela ini.


Moral dan pengajaran:
Sesal dahulu pandapatan, sesal kemudian tak berguna lagi.


-C 220507-
Darul Quran.
ajim_mn@yahoo.com


-Sajak ini telah tersiar dalam ruangan Puisi Siswa, majalah Dewan Siswa Mac 2008.

Istiqamah

"Azim, boleh tak kita main gitar?" tanya seorang rakanku ketika kami sama-sama berada di UIA pada suatu petang Ramadhan, menunggu untuk ke tempat berbuka puasa.
"Boleh!" aku menjawab ringkas.
"Kenapa?" dia bertanya lagi, menyerlahkan sifat seorang pelajar Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam UKM; setiap hukum mesti didatangkan dengan dalil!.
"Sebab aku main gitar..." aku terbahak ketawa, dan menyambung lagi, "Cuba kau tanya pak-pak imam yang menghisap rokok, boleh tak kita menghisap rokok, dia akan jawab boleh...sebab diapun hisap rokok juga."
"Ye ye je kau ni Azim.." dan perbualan tidak tamat di situ.


Aku menulis ini bukan untuk menghuraikan hukum belajar gitar. Bukan. Akan tetapi, aku ingin menyentuh tentang istiqamah. Apa kaitannya dengan gitar dan cerita tadi? Kaitannya begini. Seperti yang disebutkan di atas, aku sebenarnya sedang belajar untuk bermain gitar. Tetapi, aku bukan mengikuti kelas gitar secara formal, cuma belajar melalui internet sahaja. Aku belajar daripada free guitar lesson - Justin Guitar. Terima kasih buat Justin Sandercoe untuk semua pelajaran percuma tersebut. (thank you very much for all your free lessons).


Apa yang ingin aku ceritakan di sini adalah kekaguman aku kepada Justin. Beliau membuat sebuah laman web dan mengajar secara percuma. Dengan mottonya Teaching the world to play - semuanya percuma - akses percuma, muat turun percuma, tiada tempoh percubaan; sesuatu yang terlalu amat jarang untuk diperolehi dalam internet. Beliau hanya meminta sumbangan daripada orang yang mampu dan sukarela sahaja untuk membiayai projeknya.



Kebaikan dan murah hati Justin tidak perlu dipersoalkan. Aku sebaliknya ingin mencuit tentang kesungguhannya dalam menjadikan Justin Guitar lebih bermakna. Kesungguhan itu, dalam bahasa agama, disebut Istiqamah. Ya, Justin cukup istiqamah dalam mengajar dunia secara percuma. Sekarang, cuba renungi diri. Cuba timbulkan satu persoalan. Kalau seorang pemain gitar begitu istiqamah menyebarkan ilmu gitar (secara percuma!) ke seluruh dunia, adakah kita, sang pembawa kebenaran, juga begitu?



Jawapannya, yang aku selalu perhatikan, kita umat Melayu Islam jarang ada yang betul-betul istiqamah dalam melakukan sesuatu, tambahan lagi, kalau ia percuma, dan tiada membawa sebarang hasil! Usah pergi jauh, lihat sahaja laman-laman blog keagamaan atas talian, berapa banyak yang terbengkalai. Itu hanya merupakan satu contoh.


Banyak lagi perkara sebenarnya. Ramai dikalangan kita yang hanya bersifat hangat-hangat tahi ayam. Tak kiralah dalam apa jua aspek dan bidang, kebanyakan kita bersemangat pada awal-awalnya sahaja. (Akupun!). Baik dalam berdakwah, dalam berpersatuan, dalam menulis blog, dalam berniaga, (dalam bercinta?), dalam semua aspek kehidupan. Tambahan lagi, bila ada halangan yang menghadang jalan, lagilah cepat berputus asa.


Terutamanya dalam dakwah. Mudah sangat futur, kata seorang teman. Masa belajar, bukan main lagi, cakap berapi. Bila sudah bekerja, sepi. Waktu bujang, lantang. Bila sudah berumah tangga, eh, dihinggap penyakit bisu pula. Waktu senang, hebat, bila digertak sedikit, menikus. Waktu semangat datang, bukan mainlah, empat blog sekali buat, tujuh entries sehari. Lepas dua tiga hari...eh??


Begitulah. Akupun begitu. Kadang-kadang hangat tahi ayam tu lebih lama daripada hangat semangat di dalam dada. Padahal agama Islam sangat menganjurkan istiqamah. Buatlah apa-apapun, yang penting istiqamah. Duduklah atas jalan Islam, kemudian istiqamah, kamu akan masuk syurga. Islam bahkan lebih menyukai sesuatu yang kecil yang istiqamah daripada besar, tapi cepat mampus (kata orang Kelantan - mati hanya untuk manusia).


Cuba perhatikan, kalau seorang pemain gitar boleh sebegitu istiqamah, kenapa kita tidak boleh? Sedangkan kita berada di jalan kebenaran. Sedangkan kita dijanjikan. Sedangkan kita sentiasa ada peluang. Sedangkan kita tiada cacat cela dan kurang. Sedangkan kita umat pilihan. Sedangkan setiap gerak kerja kita dikira amalan. Sedangkan kita ada Tuhan! Mengapa kita tidak boleh? Mengapa?


Tanpa istiqamah, kita tidak akan ke mana. Agama kita juga. Dakwah kita.


Oleh sebab itu, bolehlah kita berazam untuk mempertingkatkan lagi tahap istiqamah kita. Bukan hanya dalam amalan kerohaniaan, tetapi juga dalam gerak hidup seharian. Semoga dengan itu, kita umat terbaik ini kembali dikagumi dan dihormati.


Terima kasih Justin Sandercoe dengan Justin Guitar anda. Thank you very much. Halalkanlah segala ilmu gitar yang saya belajar.:D (semoga anda menemui kebaikan dan ketenangan hidup). (nantilah, kalau ada kesempatan, saya akan hubungi untuk projek penterjemahan, dan saya akan terjemahkan ke dalam Bahasa Melayu). Insya Allah.


nota: boleh contohi istiqamah Harun Yahya dalam berdakwah.